DENZA Malaysia rasmi melancarkan Denza Z9GT 2027, sekali gus menjadikan Malaysia pasaran pertama di rantau Asia Pasifik menerima model grand tourer elektrik (EV) mewah itu.
Ditawarkan pada harga RM358,800, Denza Z9GT dibangunkan berasaskan Platform e3 terbaharu BYD yang menggabungkan prestasi luar biasa, teknologi pintar dan kemewahan moden dalam sebuah EV premium.
Pelancaran model tersebut menandakan permulaan era baharu mobiliti mewah pintar buat Denza di Malaysia.
Majlis pelancaran berlangsung berlatar belakang Menara Berkembar Petronas dan diserikan persembahan kuartet bertali, opera, balet dan demonstrasi teknologi seperti Compass Turn dan Crab Walk, sebelum diakhiri pertunjukan bunga api yang melambangkan kehadiran rasmi model utama jenama itu.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pelanggan hari ini bukan lagi sekadar mencari jenama premium, sebaliknya mahukan teknologi pintar yang mampu meningkatkan pengalaman pemilikan harian.
Justeru, Denza Z9GT dibangunkan dengan gabungan kecerdasan, prestasi dan inovasi bagi memenuhi keperluan tersebut.
Guna Platform e3 BYD
Denza Z9GT adalah antara model pertama yang menggunakan Platform e3, iaitu arkitektur pintar paling canggih pernah dibangunkan BYD untuk Denza.
Platform itu dipadankan bateri bilah BYD Blade Battery Generasi Kedua, sekali gus meningkatkan prestasi, kecekapan tenaga, keselamatan dan pengalaman pemanduan berbanding generasi terdahulu.
Selain itu, Z9GT juga direka untuk menyokong BYD Flash Charging Technology, yang membolehkan proses pengecasan ultra pantas menerusi seni bina voltan tinggi 1,000V.
Prestasi Pecutan Sepantas Kilat
Prestasi menjadi antara tarikan utama Denza Z9GT menerusi penggunaan sistem pacuan semua roda Tri-Motor AWD.
Spesifikasi utama:
- Tiga motor elektrik (AWD)
- Output kuasa 1,156ps (850kW), dan tork 1,210Nm
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 2.7 saat
- Jarak pemanduan hingga 701km (NEDC)
Dengan angka prestasi tersebut, Denza Z9GT berada dalam kelompok grand tourer EV paling berkuasa ditawarkan di Malaysia.
Lebih Tangkas untuk Pemanduan Harian
Keupayaan Platform e3 bukan sekadar menumpukan prestasi, tetapi meningkatkan tahap ketangkasan pemanduan harian. Antara teknologi yang ditawarkan adalah:
- Stereng gandar belakang sehingga 15º
- Radisu pusingan 4.62 meter
- Parking e3
- Gerakan ketam dari sisi ke sisi – Crab Walk
- Gerakan membulat dalam satu paksi bulatan – Pencil Compass Turn
- Kawalan Gerakan Kenderaan (Vehicle Motion Control, VMC)
Gabungan teknologi itu membolehkan Denza Z9GT lebih mudah diparkir, membuat pusingan dalam ruang sempit dan menawarkan kawalan lebih tepat di pelbagai kondisi jalan.
Blade Battery Generasi Kedua dengan Sistem 1,000V
Denza Z9GT ialah model pertama yang menggunakan teknologi bateri bilah BYD Blade Battery Generasi Kedua berkapasiti 122.49kWj.
Bateri tersebut menggunakan arkitektur voltan tinggi 1,000V yang menyokong BYD Flash Charging Technology. Keupayaan pengecasan ditawarkan ialah:
- 10 – 70 peratus sepantas 5 minit
- 10 – 97 peratus sepantas 9 minit
Selain pengecasan ultra pantas, bateri itu menawarkan ketumpatan tenaga sekitar 5 peratus lebih tinggi sambil mengekalkan tahap keselamatan yang sinonim dengan teknologi Blade Battery.
Kabin Premium dengan Audio Devialet
Ruang dalaman Denza Z9GT dibangunkan berteraskan konsep kemewahan moden dengan pelbagai teknologi terkini. Antara ciri ditawarkan ialah:
- Sistem audio premium Devialet® dengan 20 pembesar suara
- Google Built-in
- Pemproses prestasi tinggi
- Konektiviti pintar
- Material premium
- Pelbagai ciri keselesaan moden
Gabungan teknologi dan material berkualiti tinggi itu menjadikan Z9GT bukan saja EV prestasi tinggi, tetapi turut menawarkan pengalaman grand touring mewah.
Pilihan Warna
Denza Z9GT 2027 hadir dalam dua pilihan warna luaran:
- Rime Gold
- Obsidian Black
Bagi ruang kabin pula, pelanggan boleh memilih beberapa kombinasi kemasan seperti:
- Dark Chocolate dan Perg Beige
- Dark Chocolate dan Red Velvet
- Serba hitam dengan kerusi sued dan sulaman benang kuning
Waranti hingga 8 Tahun
Denza Malaysia turut menawarkan pakej pemilikan komprehensif kepada pelanggan Denza Z9GT 2027, iaitu:
- Waranti kenderaan enam [6] tahun atau 150,000km
- Servis penyelenggaraan berjadual percuma enam [6] tahun (maksimum enam kali servis) bernilai RM10,000
- Waranti bateri voltan tinggi lapan [8] tahun atau 160,000km
- Waranti unit pacuan lapan [8] tahun atau 160,000km
- Fon telinga premium DENZA x Devialet® bernilai RM2,000 untuk 99 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan (tertakluk terma dan syarat)
Harga Denza Z9GT di Malaysia
Denza Z9GT 2027 ditawarkan pada harga RM358,800, tidak termasuk insurans dan pendaftaran.
Dengan gabungan prestasi 1,156ps, teknologi Tri-Motor AWD, pengecasan ultra pantas 10 – 70 peratus sepantas hanya 5 minit, dan pelbagai ciri pintar berasaskan Platform e3, Denza Z9GT muncul sebagai antara grand tourer EV paling canggih dalam segmen EV mewah di Malaysia.
Model tersebut kini boleh dipandu uji di semua bilik pameran Denza Premium Showroom seluruh negara selepas Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama Asia Pasifik untuk pelancaran.










































