
BMW M GmbH memilih pentas perlumbaan 24 Hours of Le Mans untuk memperkenalkan BMW M Concept Neue Klasse kepada dunia.
Model konsep itu bukan sekadar pratonton bahasa reka bentuk baharu untuk model berprestasi tinggi BMW M, malah menjadi petunjuk jelas kepada hala tuju masa depan jenama tersebut dalam era elektrik.
Ia menggabungkan reka bentuk ekspresif, prestasi tinggi dan penggunaan bahan inovatif, sambil mengekalkan hubungan rapat BMW M dengan dunia sukan permotoran.

BMW menyifatkan model itu sebagai jambatan yang menghubungkan sejarah BMW M dengan masa depannya.
Pada masa sama, ia kekal menepati falsafah jenama tersebut yang lahir di litar dan dibangunkan untuk kegunaan jalan raya.
Menurut Ketua Reka Bentuk BMW Compact Class, Neue Klasse dan BMW M, Oliver Heilmer, bahasa reka bentuk baharu BMW M menjadi manifestasi paling ekspresif dalam keluarga Neue Klasse dengan setiap elemen direka berasaskan fungsi dan prestasi.
Bahasa Rekabentuk baharu BMW M

BMW M Concept Neue Klasse menampilkan perkadaran bertenaga, garisan yang tepat dan bahagian bahu sasa bersama lengkungan roda lebar yang menjadi identiti model prestasi tinggi BMW M.
Selain mengekalkan karakter sporty, beberapa elemen khas BMW M turut digunakan untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Antaranya termasuk:
- Cermin sisi aero M dengan terjemahan baharu dan kemasan warna BMW M
- Saluran udara pada bonet berbentuk V yang membantu penyejukan rangkaian kuasa elektrik
- Rekaan muncung jerung yang menghala ke hadapan
- Lampu hadapan dan gril buah pinggang yang digabungkan sebagai satu unit

Bahagian hadapan turut menampilkan M Yellow Lights yang memberikan identiti visual lebih agresif.
Grafik lampu berwarna kuning itu diinspirasikan daripada jentera perlumbaan GT serta BMW M Hybrid V8 dan bakal menjadi identiti baharu model BMW M pada masa depan.
Rekabentuk Luaran Diinspirasikan Sukan Permotoran

Bahagian apron hadapan menggunakan rekaan trimaran yang diinspirasikan daripada bentuk bot layar berkelajuan tinggi.
Rekaan tiga bahagian itu bukan sahaja menyerlahkan imej teknikal kenderaan, malah berfungsi sebagai struktur sokongan kepada pemisah depan yang ditempatkan pada bahagian bawah hadapan bagi membantu prestasi aerodinamik.
BMW turut memperkenalkan satu lagi identiti baharu menerusi Track Lights yang ditempatkan pada bahagian luar apron hadapan.

Di belakang, konsep rekaan trimaran dan Track Lights diteruskan bagi mewujudkan kesinambungan visual.
Ciri utama bahagian belakang termasuk:
- Track Lights yang membingkaikan elemen trimaran
- Difuser terapung
- Spoiler jenis ducktail
Menurut BMW, spoiler tersebut membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan daya mendap pada gandar belakang, selain menjadi elemen utama dalam reka bentuk permukaan belakang yang bersih dan kemas.
Penggunaan Bahan Gentian Semula Jadi

BMW menggunakan elemen gentian semula jadi pada bahagian luaran dan dalaman BMW M Concept Neue Klasse.
Bahan tersebut digunakan pada beberapa komponen termasuk:
- Pemisah depan
- Saluran udara pada bonet
- Difuser
Buat pertama kali, gentian semula jadi bukan sahaja digunakan dalam bentuk asal, malah diberikan kemasan khas bersama logo M pada grafik bumbung.

Penampilan luaran turut diperkukuhkan menerusi warna Monza Red Metallic yang dibangunkan khusus untuk model konsep ini, bersama rim kunci tengah dengan kod warna merah dan biru yang menonjolkan hubungan visual antara BMW M dan dunia perlumbaan.
Kabin Berorientasikan Pemandu

Ruang dalaman BMW M Concept Neue Klasse dibangunkan dengan pendekatan minimalis yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengalaman pemanduan sebuah BMW M elektrik generasi baharu.
Empat kerusi bucket sport yang dibangunkan khusus untuk model ini menawarkan sokongan badan yang lebih baik ketika pemanduan berprestasi tinggi dan turut mengintegrasikan struktur daripada bahan gentian semula jadi.
Kemasan tempat duduk menggunakan kulit Merino dua tona dalam warna Bathurst Blue dan Berry Red yang mengambil inspirasi daripada warna ikonik BMW M.

Elemen lain yang menyerlahkan karakter sport termasuk:
- Tali pinggang keselamatan lima sudut berwarna merah
- Pemilih gear M dengan kemasan merah
- Penukar gear pada stereng M
- Aksen merah pada paparan digital
Buat pertama kali dalam model BMW M, kulit nubuck hitam digunakan pada beberapa bahagian utama kabin seperti:
- Stereng
- Panel pintu
- Struktur roll bar
Papan pemuka terapung pula menggunakan kemasan fabrik tenunan hitam dengan pencahayaan latar berbentuk heksagon khas BMW M.

Trenkuasa BMW M eDrive Generasi Baharu
BMW M Concept Neue Klasse mewakili terjemahan baharu terhadap dinamik pemanduan, ketangkasan dan ketepatan yang menjadi identiti BMW M.
Model konsep itu menggunakan sistem BMW M eDrive yang dibangunkan khusus untuk model BMW M elektrik berasaskan teknologi Gen6 dalam keluarga Neue Klasse.
Sistem tersebut menggabungkan:
- Empat motor elektrik
- BMW M Dynamic Performance Control
- Komputer prestasi tinggi Heart of Joy
BMW M Dynamic Performance Control bertindak sebagai perisian kawalan pusat yang mengurus operasi rangkaian kuasa dan sistem brek secara bersepadu bagi setiap roda.
Dinamik Pemanduan dan Teknologi Bateri

Melalui kawalan khusus bagi setiap roda, BMW M eDrive membuka potensi baharu dari segi dinamik pemanduan dan keselamatan.
Sistem tersebut menawarkan:
- Prestasi regeneratif yang tinggi
- Tahap cengkaman optimum sehingga ke had pemanduan
- Tindak balas yang lebih pantas dan langsung
- Potensi dinamik pemanduan yang lebih tinggi
BMW turut menggunakan teknologi 800V bersama bateri voltan tinggi dengan kapasiti tenaga melebihi 100kWj bagi menyokong keupayaan jarak pemanduan yang jauh.

Versi khas sel silinder generasi keenam (Gen6) yang dioptimumkan untuk BMW M digunakan bagi menghasilkan output tinggi ketika membekalkan tenaga kepada motor elektrik serta semasa proses pengecasan.
Perumah bateri voltan tinggi itu diintegrasikan secara struktur dengan kedua-dua gandar hadapan dan belakang, sekali gus memberikan sumbangan tambahan kepada dinamik pemanduan.

































































