HOBI menunggang mesin dua roda bukan lagi khas untuk golongan lelaki saja, kini perempuan pun sudah ramai mengorak langkah sama dengan menyertai konvoi bermotosikal ataupun melakukan kembara solo saja. Perempuan zaman sekarang bukan saja boleh ke dapur, ke jalan raya pun sama hebatnya.
Trend tersebut dapat dilihat menerusi penubuhan beberapa kelab motosikal berkuasa besar seperti Harley Davidson, Ducati dan Kawasaki yang penyertaannya terdiri daripada wanita. Jadi, buat ladies yang baru hendak minat menunggang, baca dulu beberapa perkara asas yang perlu diketahui sebelum memulas terotel:
1. PANDANG JAUH KE DEPAN
Ketika kali pertama bermotosikal dengan kemahiran yang masih minimal, anda akan bermasalah dengan radius pandangan, terutama dalam menentukan arah ketika menunggang.
Tip kami, jangan terlalu pendekkan radius atau jarak penglihatan. Sebabnya, anda memang sudah pasti akan melalui jalan di depan, tetapi kalau boleh, cuba pandang lebih jauh ke depan dalam jarak 10 meter ke atas. Perhatikan apa yang berlaku di sekeliling.
2. LIHAT SELURUH SELEKOH
Ini sangat penting untuk difikirkan. Apabila menghampiri selekoh atau simpang jalan, lihat keseluruhan jalan di situ dan bukan bawah atau tengah. Adakah pembahagi jalan yang memisahkan lalu lintas dua arah? Adakah jalan berlubang?
BACA >>> 5 Tip Bawa Pembonceng dengan Selamat dan Selesa
Lihat kalau ada sebarang risiko bahaya lain yang boleh dielakkan, seperti serpihan objek atas di jalan? Perhatikan kelibat haiwan kecil, kanak-kanak, atau pejalan kaki? Anda akan lebih bersedia berdepan sebarang kemungkinan bahaya jika mengikut tip di atas, iaitu melihat jauh ke depan dan pada masa sama berhati-hati di simpang dan selekoh.
3. DEFENSIF KETIKA MENUNGGANG
Sebagai penunggang, kita perlu sentiasa berhati-hati dan sentiasa fikirkan seakan kenderaan lain cuba menghimpit motosikal kita. Ini kerana ada banyak pengguna jalan raya lain, terutama kenderaan lebih besar seperti kereta dan lori yang tidak perasan dengan kehadiran penunggang motosikal.
Hanya mereka yang ada berpengalaman menunggang saja akan peka, dan bersabar memberikan laluan. Tetapi ramai pula yang berhati kering dan buat tidak peduli. Ingat, anda mungkin perasan pemandu kereta, tetapi mereka tidak semestinya perasan kelibat anda. Bukan mahu menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diterima. Jadi, cuba kurangkan risiko kecederaan.
4. KAWAL TUNGGANGAN SENDIRI
Anda tidak boleh berbuat apa-apa tentang sikap pengguna jalan raya lain, kecuali beritahu mereka supaya berikan lebih perhatian kepada penunggang motosikal seperti anda. Jadi, apa yang boleh dilakukan ialah mengawal motosikal sendiri sepenuhnya.
Antaranya, menumpukan perhatian sebelum dan selepas memasuki persimpangan. Bukan hanya jalan berselekoh, tetapi juga lorong-lorong, tempat letak kereta, stesen minyak, dan di mana saja etiap kali cuba masuk laluan lalu lintas.
Imbas lalu lintas di depan untuk mengetahui sebarang kemungkinan bahaya. Adakah lorong bersambung di depan, kawasan pembinaan, trak utiliti sedang melakukan kerja, operasi sekatan jalan polis dan sebagainya? Semua kemungkinan itu boleh membawa kepada risiko kemalangan apabila ada pemandu lain yang tidak memberi perhatian beralih lorong secara melulu.
Setidaknya anda bersedia dengan risiko bahaya itu dengan cuba bertindak keluar dari laluan berkenaan atau membrek kecemasan. Penulis sendiri hampir tercium belakang kereta apabila pemandu menukar lorong secara tiba-tiba. Memang bahaya!
5. AWASI TITIK BUTA
* Bahagian gelap ialah kawasan titik buta
Paling penting, jangan menunggang dalam kawasan titik buta pemandu lain. Cuba berada di depan atau jauh di belakang supaya anda tidak dirempuh ataun dihimpit jika mereka menukar lorong secara tiba-tiba. Satu lagi tip berguna, jika anda dapat melihat diri sendiri dalam cermin sisi kereta, ada kemungkinan besar mereka dapat melihat anda.
6. PERIKSA CERMIN SISI
Laras cermin sisi motosikal sebelum menunggang kerana perlu dibuat secara manual. Motosikal tidak seperti kereta yang ada butang kawalan elektrik untuk melaraskan cermin sisi.
Caranya mudah, duduk atas pelana dalam posisi menunggang dan laraskan cermin sisi supaya pandangan belakang dapat dilihat jelas. Mendirikan motor menegak dengan tongkat dua lebih mudah untuk melaraskan cermin sisi dan mendapatkan posisi ideal.
7. TAHU JARAK KAPASITI TANGKI PENUH
Ada motosikal yang dilengkapi dengan indikator minyak, ada yang tidak. Ini bukanlah situasi motor baharu lawan motor lama, tetapi lebih kepada keputusan pengeluar. Kepada penunggang baru, anda cuma perlu setkan odometer atau mileage, dan dari situ kita dapat tahu bilakah tiba masa sepatutnya mencari stesen minyak.
Cara ini sesuai buat mereka yang mahu mengetahui jarak perjalanan untuk isian semula tangki penuh. Jika sebaliknya, bertanyalah kepada pengguna lain yang menggunakan jenis motosikal sama, ataupun rujuk saja lebai Google.
BACA >>> Ikut 4 Tip Ini Jika Mahu Seronok Layan 'Trackday'!
Sekiranya menunggang untuk berseronok meredah laluan berliku, mengembara merentasi jalan raya lama dan kawasan pedalaman, situasi begini sedikit berbeza berbanding menunggang dalam bandar. Pernah terjadi kepada rakan kami yang kehabisan petrol di tengah laluan lebuh raya Karak. Jadi, terpaksala diselamatkan dengan mencari sumber bekalan minyak.
8. JEANS BUKAN PELINDUNG PALING SELAMAT
Tiada siapa mahu cedera. Tetapi fakta sedih tetapi benar, kebanyakan penunggang akan mengalami situasi terbabit kemalangan (kecil atau besar) sepanjang pengalaman menunggang.
Percayalah, anda akan cenderung jatuh ketika awal belajar menunggang kerana masih tidak cekap mengendalikan motosikal. Penulis sendiri pernah jatuh ketika sedang berlatih mengambil lesen B-penuh (jatuh bodoh ketika berhenti di simpang sebab tidak dapat menahan motosikal). Bisa sakitnya sehari selepas itu baru terasa.
Jadi penting untuk anda memilih sut menunggang yang sesuai untuk melindungi diri. Di pasaran, ada jeans siap diperkuatkan kevlar yang menawarkan perlindungan lebih baik pada bahagian lutut dan pinggul. Boleh juga memakai sut menunggang lengkap daripada material tekstil atau kulit mengikut gaya sendiri. Cuma siapkan saja wang kerana aksesori menunggang di pasaran boleh tahan mahal juga harganya. Maklumlah, hobi kami mahal.
9. PILIH KASUT CENGKAMAN TERBAIK
Jalan boleh jadi licin. Ada beberapa sebab, antaranya hujan, dan kadangkala minyak jadi salah satu punca. Situasi ini tidak dapat dielakkan, jadi apabila menurunkan kaki ketika berhenti, tentunya kita ingin pastikan kasut yang dipakai akan mencengkam jalan dengan baik dan selanat supaya tidak tergelincir.
Saranan kami, pakailah kasut khas untuk bermotosikal. Mana-mana kasut yang bagus dan tidak licin adalah lebih baik daripada sneaker yang cuma gaya saja lebih. Sebelum marah, ingatlah, tidak semua kasut menawarkan cengkaman baik atas semua permukaan. Sesetengah kasut mungkin sempurna untuk lantai kayu, tetapi licin atas permukaan jalan tar. Ini kerana pembuat kasut menghasilkan kasut mengikut tujuan tertentu dan berbeza material.
10. PERIKSA TAYAR
Sebelum perjalanan, pastikan periksa kondisi motosikal. Waspada dengan kaca, skru, paku dan apa saja objek yang boleh menjejaskan tayar. Lakukan pemeriksaan supaya tiada bendasing pada tayar.
BACA >>> Apakah Maksud Kod & Simbol Tayar Motosikal Anda? Ketahui 20 Maklumat Rahsia Ini
Pusingkan tayar supaya keseluruhan bahagian dapat diperiksa. Mungkin isu kecil, tetapi nyawa anda terletak pada getah tayar. Jika tayar meletup atau pecah, kecederaan atau kematian boleh menimpa. Apatah lagi ini kali pertama anda menunggang. Tekanan angin tayar juga penting kerana menyumbang kepada prestasi pengendalian terbaik. Tekanan angin rendah akan menyebabkan motor sukar dikawal dan berbahaya. Ketahui tekanan angin (psi) tayar depan dan belakang.
Apabila sudah cekap, janganlah pula ditinggalkan semua perkara asas di atas. Kepada ladies di luar sana, tarik nafas dan selamat menikmati keseronokan menunggang serta berhati-hatilah. Jiwa kena kental. Janganlah jatuh sekali terus simpan motosikal. 🙂
Leave a Reply