
PENGGUNA jalan raya yang merancang memasuki kawasan Putrajaya hujung minggu ini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa laluan sempena penganjuran acara larian Toyota Outrun 2026 pada Ahad, 5 Julai ini.
Acara tahunan anjuran Toyota Malaysia itu dijangka menarik ribuan peserta dengan kawasan Dataran Wawasan dipilih sebagai lokasi Race Village selain menjadi titik pelepasan dan penamat bagi semua kategori larian.
Dataran Wawasan Ditutup Mula Jam 8 Malam Sabtu

Bagi membolehkan kerja persediaan dijalankan, laluan sekitar Persiaran Perdana berhampiran Dataran Wawasan akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 8 malam pada Sabtu sehingga jam 12 tengah hari Ahad.
Penutupan itu melibatkan laluan utama di kawasan berkenaan yang menjadi lokasi pemasangan fasiliti acara seperti khemah peserta, pentas utama dan kawasan pelepasan serta penamat perlumbaan.
Laluan Alternatif Pengguna Jalan Raya

Pengguna yang datang dari arah Lebuh Bestari menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lebuh Wawasan dinasihatkan membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Lebuh Wawasan – Persiaran Perdana berhampiran Kompleks Perdana Menteri.
Bagi kenderaan dari kawasan Perdana Menteri pula, laluan alternatif menerusi Jalan Tun Abdul Razak disarankan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan boulevard utama Putrajaya.
Pengguna dari Kementerian Kewangan Disaran Guna Jalan Tun Hussein

Sementara itu, pengguna dari Jalan P2t berhampiran kawasan Kementerian Kewangan (MOF) boleh menggunakan Jalan Tun Hussein sebelum memasuki Lebuh Bestari.
Pihak penganjur turut mengingatkan laluan perlumbaan akan merentasi beberapa kawasan utama di Putrajaya, dan pengguna jalan raya diminta memandu lebih berhati-hati serta mematuhi arahan petugas keselamatan di lokasi.
Beri Perhatian kepada Pelari, Petugas Keselamatan

Sepanjang acara berlangsung, orang ramai dinasihatkan memberi perhatian kepada kon keselamatan, papan tanda sementara, dan petugas marshal yang ditempatkan sepanjang laluan larian.
Sekiranya laluan yang ingin digunakan ditutup, pengguna jalan raya disaran mendapatkan kebenaran atau arahan daripada petugas keselamatan sebelum meneruskan perjalanan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Tiga Kategori Larian Bermula Seawal Jam 4.30 Pagi
Kategori separuh maraton (Half Marathon) akan dilepaskan terlebih dahulu jam 4.30 pagi sebelum disusuli kategori 10km pada jam 5.30 pagi.
Bagi peserta kategori larian santai sejauh 5km pula, pelepasan dijadualkan berlangsung jam 7 pagi di Dataran Wawasan.
Pengambilan Kit Perlumbaan di Kota Damansara
Peserta yang masih belum mengambil kit perlumbaan boleh berbuat demikian di Sunway Nexis, Kota Damansara bermula jam 10 pagi hingga 8 malam mengikut jadual ditetapkan penganjur.
Toyota Outrun sebelum ini pernah dianjurkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan ramai peserta berharap acara popular tersebut akan kembali mewarnai jalan-jalan utama ibu negara pada edisi akan datang.







