
KIT Manthey yang dibangunkan khas untuk litar lumba kini sudah tersedia untuk banyak model Porsche GT, dan buat pertama kalinya Porsche memperkenalkan kit sedemikian untuk kereta sport elektrik Taycan Turbo GT dengan Pakej Weissach bagi memacu prestasi ke tahap lebih tinggi.
Pemandu ujian Porsche iaitu Lars Kern telah pun mencatatkan rekod baharu di Nordschleife dengan Kit Manthey ini, yang mana ia bakal tersedia untuk pesanan bermula Jun sebagai kit naik taraf untuk semua unit Taycan Turbo GT dengan Pakej Weissach.
Rekod Baharu Kelas Kereta Eksekutif Elektrik

Melalui ujian yang dilakukan di litar Nürburgring Nordschleife sepanjang 20.832 km, Taycan Turbo GT dengan Kit Manthey berjaya mencatatkan masa pusingan 6:55.533 minit.
Catatan ini 9 saat lebih pantas berbanding rekod terdahulu bagi kelas kereta eksekutif elektrik. Selain itu, masa yang dicatatkan juga 12 saat lebih pantas berbanding rekod peribadi Lars Kern sebelum ini yang dilakukan pada Oktober 2023 menggunakan Taycan Turbo GT dengan Pakej Weissach tanpa Kit Manthey.
Keberkesanan kit ini terbukti apabila pemandu berjaya memacu kereta 14 km/j lebih laju di bahagian antara selekoh Lauda Links dan Bergwerk berbanding pusingan rekod sebelumnya.
Peningkatan Aerodinamik dan Dinamik Pemanduan

Fokus utama pembangunan Kit Manthey adalah pada peningkatan daya mendap yang kini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding model standard.
Pada kelajuan 200 km/j, jumlah daya mendap telah ditingkatkan daripada 95 kg kepada 310 kg. Manakala pada kelajuan maksimum 310 km/j, kit ini mampu menghasilkan sehingga 740 kg daya mendap secara keseluruhan.

Komponen aerodinamik utama merangkumi sayap belakang baharu dengan plat sisi yang lebih besar, difuser depan yang dioptimumkan, difuser belakang prestasi tinggi dengan sirip yang dipanjangkan, serta deflektor udara bawah badan yang lebih besar.
Selain itu, penggunaan cakera aero (aerodiscs) karbon pada roda belakang turut membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Trenkuasa

Sistem rangkaian kuasa elektrik turut menerima talaan semula bagi meningkatkan output.
Melalui pengoptimuman pada bateri voltan tinggi, unit kawalan, dan pulse inverters, arus nyahcas maksimum telah ditingkatkan daripada 1,100 kepada 1,300 amp.
Ini menghasilkan peningkatan kuasa sistem sebanyak 20 kW (27 ps) menjadikan jumlah keseluruhan kepada 600 kW (816 ps).
Tork maksimum apabila menggunakan Launch Control pula meningkat sebanyak 30 Nm kepada 1,270 Nm.
Apabila pemandu mengaktifkan Attack Mode, lonjakan kuasa tambahan sehingga 130 kW (177 ps) tersedia untuk tempoh singkat, menjadikan output sementara meningkat kepada 730 kW (992 ps) berbanding 700 kW (952 ps) pada model standard.
Komponen Mekanikal dan Visual

Kit ini turut merangkumi penggunaan rim aluminium tempa 21 inci rekaan Manthey yang lebih ringan.
Bersama penggunaan skru roda titanium, berat keseluruhan rim ini adalah lebih 3 kg lebih ringan berbanding rim standard.
Tayar sport litar yang sah digunakan di jalan raya turut ditawarkan sebagai pilihan, dengan saiz 4 cm lebih lebar di bahagian hadapan dan 3 cm lebih lebar di bahagian belakang.

Sistem brek pula menggunakan cakera yang lebih besar bersaiz 440 mm di depan dan 410 mm di belakang bersama pad brek prestasi.
Bahagian luaran kereta dihiasi dengan komponen gentian karbon terdedah seperti pada liang gerbang roda, skirt sisi yang dilebarkan, dan sayap belakang untuk menyerlahkan imej sukan lumba.
Porsche Taycan Turbo GT dengan Kit Manthey
- Kuasa sistem: 600 kW (816 ps)
- Kuasa maksimum Attack Mode: 730 kW (992 ps)
- Tork maksimum: 1,270 Nm
- Kelajuan maksimum: 310 km/j
- Daya mendap maksimum: 740 kg pada kelajuan 310 km/j
- Penggunaan tenaga elektrik gabungan: 24.8 kWj per 100 km
- Emisi CO2 gabungan: 0 g per km
- Saiz cakera brek: depan 440 mm, belakang 410 mm
- Rim: 21 inci aluminium tempa Manthey














