PENGEDAR rasmi kenderaan Subaru di Malaysia, TC Subaru Sdn Bhd hari ini rasmi melancarkan Subaru Crosstrek 2026, iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) atau crossover generasi baharu yang direka untuk memenuhi keperluan pemanduan bandar hingga off-road ringan, atau dalam bahasa mudah, satu kereta untuk semua situasi.
Model serba baharu itu ditawarkan pada harga RM190,788 (persendirian) dan RM190,988 (syarikat), tidak termasuk insurans, yang juga unit import penuh (CBU) dari Jepun, selari strategi Subaru yang kini beralih sepenuhnya kepada barisan model CBU untuk Malaysia.
‘One life. One Subaru.’ – Bukan Sekadar Kereta
Subaru Crosstrek 2026 bukan sekadar model baharu, tetapi manifestasi kepada falsafah jenama Subaru – ‘One Life. One Subaru.’
Konsepnya: inilah kenderaan yang boleh dijadikan ‘teman hidup’, dari ulang-alik harian di bandar hingga trip hujung minggu seperti meredah hutan atau berkhemah santai. Ya, semua boleh dijelajahi tanpa kompromi.
Kabin Premium, Sentuhan Jepun yang Lebih Matang
Menjengah kabin, Subaru Crosstrek 2026 kini tampil jauh lebih premium berbanding generasi terdahulu dengan menyerlahkan ciri seperti berikut.
- Unit infotainmen vertikal di tengah saiz 11.6 inci definisi tinggi penuh (Full HD)
- Kemasan kulit kualiti tinggi
- Pedal aluminium gaya sporty
- Stereng kulit
Kerusi depan direka untuk sokongan badan lebih baik, sekali gus menjadikan perjalanan jauh rasa lebih selesa walaupun jalan mungkin tidak seberapa rata seperti trek F1.
Prestasi, Off-Road – Kecil, Tapi Bukan Lemah
Di sebalik rupa sebuah crossover subkompak, Subaru Crosstrek 2026 masih mengekalkan kekuatan sebenar Subaru dengan spesifikasi berikut:
- Enjin FB20D 4-silinder Boxer aspirasi natural (NA) 2.0L
- Output kuasa 156ps @ 6,000rpm, dan tork 196 Nm @ 4,000rpm
- Transmisi automatik CVT dan pedal syif
- Sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD
- Ada ciri X-MODE dan jarak tinggi bumi 220mm, yang jelas menujukkan ini bukan sekadar SUV bandar biasa
‘Subaru Difference’ – 4 Teknologi Teras
Apa yang membuatkan Subaru Crosstrek 2026 berbeza daripada pesaing lain? Subaru mendakwa masih mengekalkan empat DNA utama jenama itu, iaitu:
- AWD dengan agihan tork pintar
- Platform Subaru Global Platform (SGP) yang lebih rigid
- Enjin Boxer dengan pusat graviti rendah
- Teknologi EyeSight 4.0 dengan pengesanan lebih luas
Keselamatan Dipertingkat
Subaru Crosstrek 2026 didatangkan dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) lengkap seperti:
- Sistem Henti Pandu Kecemasan (EDSS)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Brek Pra-Perlanggaran (PCB)
- Bantuan Pemusatan Lorong (LCA)
- Brek Kecemasan Undur (RAB)
- Kamera 360 dengan Sistem Pemantau Pemandu (DMS)
Praktikal, Mesra Pengguna
Selain prestasi dan keselamatan, Subaru Crosstrek 2026 juga menumpukan kepada kegunaan harian:
- Sistem pengecaman wajah
- Lampu LED belok
- Bantuan parkir lengkap
- Suspensi lebih stabil
Subaru Crosstrek 2026 mungkin bukan untuk semua orang, tetapi itulah yang membuatkan SUV subkompak itu menarik.
Kelebihan Utama
- AWD standard (jarang ada dalam segmen ini)
- ADAS EyeSight lengkap
- Kualiti pemasangan Jepun (CBU)
- Pengendalian tipikal Subaru
Kekangan
- Enjin NA mungkin rasa ‘kurang menyengat’ berbanding turbo pesaing
- Harga cecah RM190,000, sudah masuk zon kompetitif SUV segmen-C
Namun kepada mereka yang mahukan SUV dengan ciri AWD sebenar, dan karakter pemanduan unik, Subaru Crosstrek 2026 kekal sebagai pilihan yang unik dan langka (rare) di pasaran Malaysia.







































































