
ZEEKR Malaysia mempertontonkan buat pertama kali Zeekr 009 Grand sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, sekali gus memberi bayangan ketibaan MPV elektrik ultra mewah itu ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Model berkenaan kini dibuka untuk tempahan awal dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada tahun depan dengan harga bermula sekitar RM600,000, menjadikannya varian paling eksklusif dalam keluarga Zeekr 009.
Direka Khas Untuk Penumpang VIP
Berbeza dengan Zeekr 009 biasa yang ditawarkan dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, 009 Grand hadir dengan susun atur empat tempat duduk yang memfokuskan sepenuhnya kepada keselesaan penumpang belakang.
Konsep tersebut menjadikan model ini sesuai untuk golongan korporat, ahli perniagaan, selebriti atau mereka yang mahukan pengalaman perjalanan setaraf kabin kelas pertama pesawat.
Ruang Belakang Lebih Privasi

Salah satu ciri utama Zeekr 009 Grand ialah penggunaan dinding pemisah (partition) antara ruang pemandu dan penumpang belakang.
Rekaan tersebut memberikan tahap privasi yang lebih tinggi kepada penumpang, namun masih menyediakan tingkap kecil yang boleh dibuka bagi memudahkan komunikasi dengan pemandu apabila diperlukan.
Material Premium Di Seluruh Kabin

Bahagian dalaman menggunakan kombinasi kulit aniline premium, fabrik Ultrasuede dan permaidani bulu lembut yang menyerlahkan imej mewah.
Menariknya, Zeekr turut menggunakan kemasan marmar semula jadi pada beberapa bahagian kabin bagi meningkatkan lagi eksklusiviti MPV premium tersebut.
Kerusi Ala Kelas Pertama Pesawat

Dua kerusi individu di bahagian belakang direka menyerupai tempat duduk kelas pertama syarikat penerbangan premium.
Kerusi tersebut dilengkapi pelbagai fungsi termasuk pemanas, pengudaraan, urutan pelbagai mod serta terapi batu panas yang digabungkan dengan sistem urutan sehingga 20 titik tekanan untuk keselesaan maksimum.
Skrin Mini-LED 43 Inci

Sebagai sebuah MPV yang menumpukan kepada pengalaman penumpang, Zeekr 009 Grand dilengkapi skrin mini-LED gergasi bersaiz 43 inci di bahagian belakang.
Kebanyakan fungsi kabin seperti kawalan tempat duduk, penghawa dingin, tingkap dan hiburan boleh dikendalikan menerusi panel sentuh yang ditempatkan pada konsol tengah.
Peti Sejuk, Meja Lipat Disediakan

Konsol tengah turut menempatkan ruang simpanan berkunci yang boleh diakses menggunakan kod PIN.
Selain peti sejuk terbina dalam, Zeekr turut menyediakan meja lipat individu serta ruang khas untuk menyimpan kasut, menjadikan pengalaman berada di ruang belakang lebih menyerupai lounge bergerak.
Kuasa 789PS, Jarak Sehingga 702km
Unit yang dipamerkan di KLIMS merupakan model spesifikasi pasaran China yang masih menggunakan sistem elektrik 800V.
Ia dipadankan dengan bateri NMC berkapasiti 108kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 702km mengikut kitaran CLTC.
Pacuan AWD Dengan Prestasi Luar Biasa

Dari segi prestasi, Zeekr 009 Grand menggunakan dua motor elektrik dengan satu unit dipasang pada setiap gandar.
Gabungan kedua-duanya menghasilkan kuasa maksimum 789PS dan tork 810Nm, menjadikannya MPV elektrik paling berkuasa pernah ditawarkan oleh Zeekr setakat ini.
Lengkap Dengan Teknologi Terkini
Turut melengkapi pakej premium tersebut ialah rim tempa (forged) bersaiz 20 inci serta sensor LiDAR yang menyokong sistem bantuan pemandu termaju.
Walaupun masih dalam fasa previu, kemunculan Zeekr 009 Grand di Malaysia menunjukkan jenama itu semakin serius untuk bersaing dalam segmen MPV mewah, yang ketika ini didominasi model-model premium seperti Lexus LM dan Toyota Alphard Executive Lounge.





































