Close Menu
PanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
Facebook Instagram YouTube TikTok Threads
  • UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI
  • DriveFast.com.my (English)
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
PanduLaju.com.myPanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
PanduLaju.com.my
Home»Roda2»#TahukahAnda: Inilah 7 Jenis Frem Motosikal yang Perlu Anda Tahu
Roda2

#TahukahAnda: Inilah 7 Jenis Frem Motosikal yang Perlu Anda Tahu

ZYBy ZY05/12/20211 Comment
Facebook Twitter Telegram Threads
Share
Facebook Twitter Telegram Threads


ISTILAH seperti trellis, deltabox atau diamond yang menggambarkan rekabentuk frem motosikal pasti tidak asing bagi kebanyakan penunggang dan peminat dua roda.

Tetapi, tahukah anda kenapa frem tersebut ada istilah dan rekabentuk berbeza?

Sama seperti rangka tulang manusia, frem motosikal juga memiliki ciri dan fungsi sama, iaitu menyokong komponen utama seperti enjin, pivot stereng, swingarm dan lain-lain, termasuk berat penunggang itu sendiri.

Asal frem adalah daripada basikal yang dipasang enjin pembakaran dalaman, kira-kira seabad lalu. Sejak itu, motosikal mengalami banyak proses revolusi dalam aneka bentuk, saiz dan kuasa berbeza selain memenuhi pelbagai tujuan tertentu sama ada hanya sekadar ke pasar ataupun berlumba di litar.

BACA >>> #RetroAuto: Tentang Kawasaki yang Perlu Anda Tahu – Asal Kilang Kapal, Kini Bikin Motosikal

Bermula frem ringkas berupa basikal primitif, rata-rata motosikal moden masa kini dihasilkan dalam 10 variasi rekabentuk frem. Namun bagi tujuan pengenalan, kami fokuskan kepada rekabentuk frem popular yang biasa digunakan majoriti motosikal di Malaysia.

1. BACKBONE/SPINE

Yamaha Y15ZR dengan frem backbone.

Terdiri daripada sebatang kerangka utama yang bersambung kepala stereng dengan enjin tergantung pada rangka utama tersebut (kebiasaanya hujung, di bawah frem). Rekabentuk frem jenis ini ringkas dan murah untuk dihasilkan besar-besaran, dan biasa didapati pada motosikal praktikal seperti kapcai atau naked yang banyak terdapat di India atau Pakistan.

Contoh Motosikal: Majoriti kapcai 135cc ke bawah, Yamaha Y15ZR.

2. STEP-THROUGH

Honda PCX 150 dengan frem step through.

Seperti namanya, rekabentuk frem step-through membawa maksud mudah dilangkah. Motosikal dengan frem jenis ini memberikan keselesaan menunggang untuk penunggang yang berkain sarung atau berbaju kurung, terutama kaum hawa atau pak lebai.

Rekabentuk frem ini tidak digunakan untuk menyokong enjin, sebaliknya tugas sokongan itu diserahkan kepada lengan ayun (swingarm) yang bersambung pada hujung frem. Menariknya, majoriti kapcai datang dalam rekabentuk step-through walaupun menggunakan frem backbone.

Contoh Motosikal: Kebanyakan skuter automatik.

3. PERIMETER / TWIN SPAR / DELTABOX

Frem Deltabox pada Yamaha R1 (2015).

Konsep frem diameter menggunakan dua tiang rasuk (beam) bagi membentuk segitiga yang menghubungkan rak stereng (teering rack) kepada swingarm dalam garis lurus dan jarak terdekat bagi menguatkan ketegaran frem, serta pada masa sama memegang enjin. Frem ini dikenali sebagai frem perimeter kerana tiang rasuk ‘melingkari’ kepala enjin.

Menggunakan enjin sebagai komponen tekanan (stressed member), frem ini lebih kukuh dan tidak mudah lentur dalam keadaan ekstrem. Selain itu, rekaan frem juga bertindak sebagai penyalur (bukan penyerap) getaran yang mana getaran daripada enjin disalurkan ke setiap bahagian frem, termasuk penunggang. Ini bermakna getaran komponen enjin dan motosikal dapat dikurangkan untuk ketahanan jangka panjang.

Walaupun besar, penggunaan material ringan seperti aluminium membuatkan struktur frem lebih kukuh dan ringan. Frem jenis ini hanya didapati pada model sportbike, dengan Yamaha Deltabox adalah antara rekabentuk frem perimeter paling popular.

BACA >>> #BikinMotor: Pulsar NS200 Kena Sumpah Jadi Kawasaki Z1000

* Honda Sonic 150 di Indonesia menggunakan frem perimeter, sebaliknya model pasaran sini, Honda RS150R menggunakan frem diamond (penjelasannya di bawah).

Contoh Motosikal: Yamaha R1, Yamaha FZ150i, Modenas Pulsar NS200/RS200.

4. TRELLIS

Frem trellis yang jadi ‘trademark’ jentera KTM.

Frem trellis menggunakan konsep dan aplikasi sama seperti frem perimeter. Perbezaan utama adalah pembinaan tiang rasuk.

Jika frem perimeter menggunakan tiang rasuk lebar, frem trellis pula menggunakan rekaan jalaran (trellis) tiub besi yang dipateri melingkari enjin. Kelebihan utama, rangka jenis ini lebih murah dan mudah dihasilkan, serta ketegaran frem bergantung kepada seberapa banyak sambungan paip digunakan (frem lebih kuat jika jarak paip pendek).

BACA >>> Ducati Monster 797 Si Pembuli Jalanan – Harga Serendah RM55,900

Frem trellis banyak digunakan motosikal Itali seperti Ducati Monster atau Benelli TNT, dan juga sinonim dengan jenama Austria, KTM.

Contoh Motosikal: Siri Ducati Monster, Benelli TNT, KTM Duke/RC.

5. DIAMOND / TRUSS-DIAMOND

Frem Truss-Diamond Honda CBR250R mirip Trellis jika dilihat sekali imbas.

Rekaan frem ringkas dengan hanya sebatang tiub setiap sisi menghubungkan kepala pivot stereng kepada swingarm. Frem diamond ialah pilihan utama jika kos menjadi penghalang kepada aplikasi frem perimeter dan trellis dalam pembinaan sesebuah model, terutama sportbike.

Berbeza frem perimeter dan trellis yang melingkari enjin, posisi enjin pada frem diamond dihubungkan secara tergantung di bawah tiub frem yang disambungkan terus dari pivot stereng ke lengan ayun. Frem diamond kebiasaannya ringan dan ringkas, menjadikan kos pembuatan lebih murah. Bagaimanapun frem jenis ini tidak sekuat perimeter dan trellis.

Sesetengah rekaan frem diamond turut dipasangkan rangka kekuda (truss) untuk menambah kekuatan yang sekali imbas sangat mirip frem trellis. Bezanya, rangka kekuda (truss) disambungkan hujung kepada bahagian depan enjin, sebaliknya rangka bawah frem Trellis disambungkan kepada segmen lengan ayun (kecuali Ducati – rangka bawah disambungkan kepada bahagian tengah enjin L-Twin).

Contoh Motosikal: Honda RS150R, Ninja 250 (model 2013 dan sebelum), Yamaha YZF-R25, Honda CBR 250R.

BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Brek Dram Masih Relevan Walaupun Sudah Lebih 100 Tahun?

6. CRADLE (SINGLE / DUPLEX / SEMI-DUPLEX)

Yamaha RX-Z dengan frem semi-duplex cradle (1 rangka atas, 2 rangka bawah).

Cradle adalah antara rekaan frem terawal, dan ciri utama frem ini menggunakan tiub sokongan di atas dan bawah enjin yang bersambung dari pivot stereng ke lengan ayun – membentuk buaian (cradle) . Single, duplex dan semi-duplex pula merujuk kepada bilangan tiub rangka pada bahagian sambungan atas-bawah. Duplex bermaksud frem itu terdiri daripada dua rangka pada kedua-dua bahagian atas-bawah.

Kelebihan frem cradle ialah rekaan ringkas dan ringan. Bagaimanapun, evolusi kuasa enjin motosikal membuatkan frem jenis ini tidak lagi begitu cemerlang untuk menampung daya lenturan yang terhasil daripada situasi tunggangan ekstrem, seperti mengambil selekoh dan membrek dalam kelajuan tinggi.

BACA >>> Yamaha RZ350 (1984) Edisi Kenny Roberts Ini Akhirnya Dilelong RM30k!

Walaupun rekaan frem cradle masih dikekalkan, tetapi terhad kepada motosikal seperti sportbike atau motocross berkuasa rendah, atau motosikal berkuasa tinggi dengan pengendalian kurang sporty seperti sebahagian skuter maksi dan kebanyakan cruiser.

Contoh Motosikal: Yamaha RXZ, Naza Blade 250, Kawasaki KLX, Harley Davidson.

7. MONOKOK

Tanpa rangka tradisional, komponen disambungkan terus kepada enjin Ducati Panigale ini.

Konsep frem monokok (monocoque) menggunakan komponen luaran seperti enjin dan tubuh motosikal itu sendiri sebagai kerangka utama yang menyokong komponen lain.

Memandangkan pembinaan frem jenis ini lebih rumit berbanding lain, frem monokok cuma didapati pada motosikal mewah atau jentera lumba (kecuali skuter Vespa). Kelebihannya, tanpa kerangka tambahan, jisim dan dimensi jentera dapat dikurangkan, sekali gus memberikan nisbah kuasa kepada berat lebih tinggi.

Siri superbike Ducati Panigale menggunakan frem monokok dengan pivot stereng, kotak angin, sub-frem pelana dan lengan ayun yang bersambung terus kepada enjin. Selain Ducati 959, semua Ducati dalam siri Panigale seperti 899, 1199 dan 1299 memiliki berat kering tidak lebih 170kg, dan mampu mencapai seberat 155kg menerusi penggunaan material eksotik ringan pada komponen lain seperti terdapat pada Ducati 1199 Superleggera.

BACA >>> Ducati Diavel 1260 S (RM139k) dan Panigale V4 R (RM299k) Kini Rasmi di Malaysia

Contoh Motosikal: Skuter Vespa, Siri Ducati Panigale, Kawasaki Ninja ZX-14R, Kawasaki GTR1400.

autotainment backbone frame cradle cradle frame deltabox diamond frame duplex kerangka motorsikal monocoque motorcycle frame perimeter frame roda2 spine frame step-through frame trellis frame truss diamond frame twin spar frame
ZY
  • Website

Artikel Berkaitan

Konsep kapal boleh terapung atas air
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Bagaimanakah Kapal Boleh Terapung Atas Air Walaupun Berat Beribu Tan?

09/07/2026
Ambulans di jalan raya Malaysia dan Efek Doppler
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Kenapa Bunyi Siren Ambulans Berubah Nada?

09/07/2026
Malaysia bakal jadi hab EV Asean
Sembang Deras

#SembangDeras: Malaysia Bakal Jadi Hab EV Asean Seterusnya, Bukan Sekadar Pasaran Import Lagi?

08/07/2026
Autotainment

Protected: Pemilik Diesel, Jangan Rugi: Isi BUDI Diesel dengan eCard Pun Boleh Dapat Mata Ganjaran!

07/07/2026
Leave A Reply Cancel Reply

  • Facebook401K
  • Instagram194K
  • YouTube593K
  • TikTok1000K
  • Threads46.6K
Pilihan Ramai Minggu Ini
ARC XRS x Star Wars
Aksesori

Helmet Edisi Istimewa ARC XRS x Star Wars Rasmi Jual, Harga Mula RM135!

By Syafie08/07/2026
Roda2

Warna Baru Yamaha Ysuku, Y15ZR SE Sudah Tiba, Harga Bermula RM8,998

By Shazwan Hisam07/07/2026
ZXMoto 820RR-R 2027
Roda2

ZXMoto 820RR-R 2027 Lancar di China, Penunggang Baharu Dilarang Beli!

By Shazwan Hisam08/07/2026
Konsep kapal boleh terapung atas air
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Bagaimanakah Kapal Boleh Terapung Atas Air Walaupun Berat Beribu Tan?

By Shazwan Hisam09/07/2026
Nissan Tekton 2027
Roda4

SUV Segmen-C, Nissan Tekton 2027 Lancar di India dengan Enjin 1.0L Turbo, 1.3L Turbo

By Abang Hirata10/07/2026
Yamaha GearEV dan Yamaha News GearEV 2027
Kenderaan Elektrik (EV)

Yamaha GearEV, News GearEV 2027 – Skuter EV untuk Penghantaran Jarak 100km

By Abang Hirata06/07/2026
Geely siar imej acah Geely Preface L90
Auto Terkini

Imej Acah Sedan Segmen-D, Geely Preface L90 2027 Didedah dengan LiDAR, Pilihan Enjin Hibrid

By Han Othman07/07/2026
Roda4

Volkswagen Tayron Dilancar di Malaysia – 7 Tempat Duduk, Harga Bermula RM189,890

By Shazwan Hisam13/07/2026
PanduLaju.com.my
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
© 2026 PanduLaju.com.my · GYL Media Services Sdn Bhd (1257406-V)
designXCII TECH

Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.