WAKIL pengedar motosikal Honda di India, Honda Motorcycle & Scooter India (HMSI) rasmi memperkenalkan Honda XR300L dan Honda XR300 Rally serba baharu.
Ini menambah pilihan dalam segmen motosikal dwi-guna (dual-purpose) dan advencer ringan yang kini semakin mendapat perhatian di pasaran global.
Pelancaran itu turut menyaksikan kemas kini beberapa model lain seperti ADV160, CB500, CB350S, termasuk Rebel 300 dan Rebel 500.
Namun, kemunculan dua model XR baharu itu menjadi tumpuan utama kerana menawarkan alternatif lebih mampu milik kepada peminat motosikal advencer dan lasak.
XR300L Fokus Tunggangan Harian, dan Off-Road, XR300 Rally Lebih Sesuai Kembara
Honda XR300L dibangunkan sebagai motosikal serba boleh yang menggabungkan kemampuan tunggangan lasak di laluan off-road dengan keselesaan penggunaan harian.
Model itu dijana enjin silinder tunggal 293.5cc penyejukan udara dan turut dilengkapi penyejuk minyak (oil cooler), dengan menumpukan kepada beban ringan, mudah dikendali dan mesra penunggang pelbagai tahap pengalaman.
Suspensi jenis panjang (long-travel suspension) membolehkan XR300L mengharungi laluan tanah, denai dan jalan tidak berturap dengan lebih yakin sebelum kembali digunakan atas jalan raya seperti motosikal harian biasa.
XR300 Rally Tampil Gaya Dakar, Sesuai Kembara Jarak Jauh
Kepada mereka yang gemar menjelajah, Honda XR300 Rally dibina berasaskan platform sama, tetapi menerima pelbagai ciri tambahan untuk perjalanan jarak jauh.
Rekabentuk badan diilhamkan daripada jentera rali Dakar Honda, seperti fairing lebih besar, visor angin lebih tinggi dan ergonomik lebih selesa untuk tunggangan lama.
Laporan dari India menyatakan XR300 Rally bakal dilengkapi sistem konektiviti telefon pintar Honda RoadSync, sekali gus menawarkan lebih banyak ciri moden berbanding XR300L yang tampil dengan spesifikasi lebih asas.
Kongsi Platform CB300F, Belum Sah Pasaran Global
Walaupun Honda belum mendedahkan spesifikasi penuh, kedua-dua model dipercayai menggunakan platform dan enjin sama seperti Honda CB300F yang dipasarkan di India.
Ini bermakna output kuasa dijangka sekitar 25hp, selain dipadankan rim jejari 21 inci di depan dan 18 inci (belakang), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran boleh nyah aktif, dan casis khas untuk kegunaan off-road.
Buat masa ini, Honda hanya mengesahkan XR300L dan XR300 Rally untuk pasaran India, dengan pengeluaran dilakukan di negara itu.
Bakal Masuk Malaysia?
Tiada sebarang pengumuman mengenai pemasaran global seperti Asean atau Eropah.
Jika model itu diperkenalkan ke Malaysia pada masa depan, ia berpotensi menjadi pilihan menarik dalam segmen motosikal advencer 300cc yang semakin berkembang, terutama penunggang yang mahukan gabungan kemampuan off-road, praktikaliti harian dan harga lebih kompetitif berbanding model advencer spesifikasi lebih tinggi.
SUMBER: AutoCarIndia

















