
ŠKODA memperkenalkan model elektrik baharu, Peaq, yang menjadi model perdana (flagship) jenama itu dan SUV terbesar pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Republik Czech tersebut.
Sebagai model elektrik pertama Škoda dalam segmen SUV besar, Peaq hadir dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, jarak pemanduan melebihi 640 kilometer, serta pelbagai teknologi baharu yang pertama kali diperkenalkan pada model Škoda.
Menurut Škoda, Peaq akan memainkan peranan penting dalam pengembangan portfolio kenderaan elektrik bateri (BEV) syarikat itu bersama model Epiq, sekali gus menggandakan penawaran EV jenama berkenaan.
SUV Škoda Terbesar

Dengan panjang keseluruhan 4.87 meter dan jarak roda hampir tiga meter, Peaq menjadi SUV paling besar dan paling luas dalam sejarah Škoda.
Model itu boleh dianggap sebagai versi elektrik kepada Kodiaq, namun hadir dengan dimensi yang lebih besar serta ruang kabin yang lebih luas.
Reka bentuk luaran menggunakan falsafah Modern Solid yang menampilkan garisan ringkas dan kemas. Bahagian hadapan serta belakang menggunakan identiti lampu berbentuk T yang menjadi ciri baharu jenama itu.

Antara ciri yang diperkenalkan buat kali pertama pada model Škoda ialah:
- Bumbung panoramik terbesar pernah digunakan pada model Škoda
- Sistem Dynamic Shade Control pada bumbung panoramik
- Pemegang pintu jenis rata (flush door handles)
- Pekali seretan serendah 0.249
Kabin Ala Lounge untuk Tujuh Penumpang

Peaq direka bagi menawarkan pengalaman kabin yang menyerupai ruang lounge bergerak.
Konfigurasi tujuh tempat duduk disediakan, manakala versi lima tempat duduk menawarkan ruang kargo terbesar dalam sejarah Škoda dengan kapasiti sehingga 935 liter.
Turut disediakan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 37 liter.

Bagi meningkatkan tahap keselesaan, pelanggan boleh memilih Relax Package yang merangkumi:
- Kerusi hadapan dengan fungsi pengudaraan
- Fungsi urutan
- Penyandar kaki ergonomik
- Sistem audio premium Sonos
- Aplikasi kesejahteraan (wellbeing app) terbina dalam
Pilihan Bateri Sehingga 91kWj
Menurut spesifikasi global yang diumumkan Škoda, Peaq ditawarkan dengan dua pilihan bateri:
- 63kWj
- 91kWj
Bateri 91kWj itu merupakan bateri berkapasiti terbesar pernah digunakan pada model elektrik Škoda.
Tiga varian rangkaian kuasa ditawarkan dengan output antara 150kW hingga 220kW, termasuk pilihan pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD).

Bagi pasaran United Kingdom, varian Peaq 90 dan Peaq 90x menggunakan bateri 86kWj (kapasiti bersih/net) dengan kuasa antara 286PS hingga 299PS.
Jarak pemanduan mencecah sehingga 627km mengikut kitaran WLTP, manakala varian Peaq 90 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 199kW, membolehkan pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 28 minit.
Varian pacuan semua roda Peaq 90x pula mampu memecut dari 0-100km/j dalam 6.8 saat.

Selain mod pemanduan satu pedal, Peaq turut dilengkapi pam haba generasi baharu untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Model itu juga menyokong pengecasan dua hala (bidirectional charging) serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada perkakasan elektrik luaran seperti basikal elektrik dan karavan.
Sistem Keselamatan Paling Canggih Dalam Model Škoda

Peaq hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemandu sebagai standard, termasuk:
- Bantuan Hadapan (Front Assist)
- Bantuan Persimpangan (Crossroad Assist)
- Bantuan Membelok (Turn Assist)
- Bantuan Titik Buta (Side Assist)
Pelanggan juga boleh memilih beberapa sistem tambahan seperti:
- Bantuan Pemanduan 3.0 (Travel Assist 3.0)
- Paparan Kawasan Sekeliling 360 Darjah (Top Area View 360°)
- Bantuan Parkir Pintar (Intelligent Park Assist)

Bantuan Pemanduan 3.0 (Travel Assist 3.0) merupakan sistem bantuan pemanduan paling canggih pernah ditawarkan pada model keluarannya.
Manakala Paparan Kawasan Sekeliling 360 Darjah (Top Area View 360°) menawarkan visualisasi 3D telus yang membolehkan pengguna melihat keadaan sekeliling kenderaan dengan lebih jelas.
Dari aspek keselamatan pasif, Peaq dilengkapi 10 beg udara sebagai standard, termasuk beg udara tengah dan beg udara sisi belakang.

Skrin 13.6 Inci dan Sistem Audio Sonos 16 Pembesar Suara
Pusat kawalan utama Peaq menggunakan sistem infotainmen berasaskan Android dengan skrin menegak bersaiz 13.6 inci.
Ia juga menjadi model pertama Škoda yang menggunakan konfigurasi paparan tersebut.

Škoda Peaq Sportline Gaya Sporty

Peaq Sportline akan ditawarkan sebaik sahaja model itu dilancarkan ke pasaran. Antara ciri eksklusif varian tersebut ialah:
- Kemasan luaran hitam berkilat
- Logo dan tulisan hitam
- Pilihan warna dua tona dengan bumbung hitam
- Lampu LED Matrix standard
- Light Band bercahaya di bahagian hadapan
- Kabin serba hitam
- Kerusi sport dengan perehat kepala bersepadu
- Stereng sport tiga jejari dengan lencana Sportline
Varian Sportline boleh dipadankan dengan semua pilihan rangkaian kuasa yang ditawarkan bagi Peaq.
Harga dan Varian Škoda Peaq

Bagi pasaran United Kingdom, Škoda Peaq ditawarkan dengan bateri tunggal 86kWj (bersih) dalam lima varian:
- Peaq SE L 90 – £51,980 (RM284,071)
- Peaq Edition 90 – £55,130 (RM301,285)
- Peaq Edition 90x – £57,230 (RM312,762)
- Peaq SportLine 90 – £58,280 (RM318,500)
- Peaq SportLine 90x – £60,380 (RM329,977)
Škoda Peaq 2027
Škoda Peaq Sportline 2027























































