PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) menyasarkan pengambilan 100 Pemeriksa Kenderaan (Vehicle Examiner, VE) baharu di seluruh negara tahun ini bagi menampung peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Langkah tersebut dilaksanakan walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu, sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat terhadap pertumbuhan jangka panjang industri automotif negara dan komitmen berterusan dalam memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pertambahan jumlah kenderaan persendirian dan komersial, selain keperluan pematuhan peraturan yang semakin kompleks, menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan pemeriksaan terus meningkat.
Dengan penambahan 100 VE baharu, kami bukan saja mewujudkan peluang pekerjaan teknikal kepada rakyat Malaysia, tetapi memperkukuh misi utama untuk memastikan setiap kenderaan di jalan raya memenuhi standard keselamatan dan alam sekitar ditetapkan,” katanya.
Bantu Kurangkan Tempoh Menunggu Pelanggan
Penambahan tenaga kerja itu dijangka membantu meningkatkan kapasiti pemeriksaan, mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dan memperkukuh keupayaan operasi pada musim puncak.
Calon berjaya akan ditempatkan di cawangan-cawangan Puspakom seluruh negara berdasarkan corak permintaan setempat. Mereka juga bakal menerima latihan menyeluruh yang merangkumi penggunaan peralatan diagnostik, pematuhan peraturan, pengalaman pelanggan dan etika profesional.
Antara kelebihan ditawarkan ialah:
- Gaji kompetitif bersama caruman KWSP dan pelbagai faedah lain
- Laluan pembangunan kerjaya yang jelas
- Peluang memperoleh pensijilan profesional
- Pendedahan kepada teknologi pemeriksaan terkini
23 Pelatih Sedang Ikuti Program VEIP
Bagi menyokong usaha pengambilan tersebut, seramai 23 peserta ambilan ke-19 kini sedang menjalani Program Intensif Pemeriksa Kenderaan (Vehicle Examiner Intensive Programme, VEIP).
Mereka memulakan program pada 26 April lalu dengan empat minggu latihan teori sebelum meneruskan latihan sambil bekerja (OJT) selama dua minggu di beberapa cawangan Puspakom terpilih.
Peserta akan dinilai dari segi kompetensi teknikal, profesionalisme, integriti dan keupayaan melaksanakan pemeriksaan mengikut prosedur ditetapkan sebelum disahkan sebagai VE sepenuh masa.
Hampir 500 Pemeriksa Kenderaan Dilahirkan Sejak 2019
Sejak diperkenalkan pada 2019, hampir 500 pelatih berjaya menamatkan VEIP dan kini berkhidmat di rangkaian cawangan Puspakom serta Perkhidmatan Trak Bergerak (Mobile Truck Services, MTS) seluruh negara.
Menariknya, semua kos latihan ditanggung sepenuhnya Puspakom, seperti:
- Pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan
- Tiket penerbangan bagi peserta dari Sabah dan Sarawak
- Elaun latihan RM750 sebulan sepanjang tempoh program
Temuduga Terbuka Setiap Rabu
Pada masa sama, Puspakom turut meneruskan sesi temuduga terbuka bagi jawatan VE pada setiap Rabu (hari bekerja) di semua cawangannya seluruh negara.
Individu yang mempunyai latar belakang automotif dan berminat membina kerjaya dalam bidang pemeriksaan kenderaan digalakkan menghadiri sesi berkenaan atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi www.puspakom.com.my/career/.
53 Cawangan, 10 Trak Bergerak dan 36 Van Bergerak
Ketika ini, Puspakom memiliki:
- 53 pusat pemeriksaan di seluruh negara
- 30 tapak lawatan untuk kawasan luar bandar
- 10 unit trak bergerak untuk pelanggan komersial
- 36 van bergerak bagi urusan kenderaan persendirian
- 4 unit ringan untuk operasi fleksibel
Selain pemeriksaan kenderaan, Puspakom turut menawarkan pelbagai perkhidmatan nilai tambah seperti pembaharuan insurans dan cukai jalan, pengiklanan, sewaan ruang dan perkhidmatan perundingan pengurusan kenderaan (VMCS).
Tempahan pemeriksaan boleh dibuat secara dalam talian menerusi platform GiCheck.my.













