
PROJEK Sambungan Lebuhraya Pantai Baru 2 atau New Pantai Expressway 2 (NPE 2) kini secara rasmi memasuki fasa pembinaan, sekali gus menandakan permulaan kepada satu lagi projek infrastruktur utama yang dijangka memberi impak besar terhadap sistem pengangkutan di ibu negara dan Lembah Klang.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Chua Lay Hoon, sempena sesi taklimat media projek berkenaan yang berlangsung hari ini.
Sambungan Baharu Sepanjang 6.4km

Projek NPE 2 merupakan pelaburan strategik oleh IJM Corporation Bhd bagi memperkukuhkan rangkaian lebuh raya bandar yang lebih bersepadu dan mampan.
Laluan utama sepanjang 6.4 kilometer itu, atau 15.9 kilometer termasuk tanjakan arah, akan menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana menerusi Jalan Syed Putra.
Jangkaan siap dianggarkan sekitar tahun 2029, pengguna jalan raya akan mempunyai laluan alternatif terus ke pusat bandar Kuala Lumpur tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada jalan sedia ada yang sering sesak terutama pada waktu puncak.
Dijangka Alihkan 40 Peratus Trafik Jalan Bangsar

Pertumbuhan pesat pembangunan dan peningkatan jumlah kenderaan di koridor selatan Kuala Lumpur menyebabkan beberapa laluan utama seperti Jalan Bangsar dan Jalan Pantai Dalam berdepan kesesakan yang semakin serius.
Bagi mengatasi masalah itu, NPE 2 dijangka mampu mengalihkan kira-kira 40 peratus trafik yang kini menggunakan Jalan Bangsar.
Selain itu, projek tersebut turut dijangka mengurangkan masa perjalanan sehingga 25 minit pada waktu puncak serta memperkukuhkan lagi jaringan lebuh raya utama di Lembah Klang.
Lengkapkan Hubungan Antara Lebuh Raya Utama

Pembinaan NPE 2 turut akan meningkatkan ketersambungan antara beberapa lebuh raya utama termasuk NPE, BESRAYA dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE).
Langkah itu selari dengan sasaran Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040) yang memberi penekanan terhadap pembangunan rangkaian pengangkutan bandar yang lebih efisien dan lestari.
Pelan Pengurusan Trafik Menyeluruh Dilaksanakan

Bagi memastikan kerja pembinaan berjalan lancar tanpa menjejaskan aliran trafik secara serius, pihak NPE telah menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) secara menyeluruh bersama agensi berkaitan.
Pelan tersebut melibatkan kerja pembinaan asas, struktur lebuh raya bertingkat serta penjajaran semula jalan tempatan di tiga kawasan utama iaitu Pantai Dalam, Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.
Pemantauan Trafik Secara Masa Nyata

Antara langkah yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan termasuk pemantauan trafik secara masa nyata dan penyelarasan berterusan bersama pihak berkuasa.
Selain itu, penutupan lorong serta lencongan trafik akan dilakukan secara berjadual di luar waktu puncak bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Pasukan khas pengurusan trafik juga akan ditempatkan di lokasi strategik selain penggunaan papan tanda elektronik Variable Message Sign (VMS) untuk menyalurkan maklumat terkini kepada pengguna.
Cabaran Besar Dalam Kawasan Bandar Sibuk
Sebagai sebuah lebuh raya bertingkat yang dibina di antara koridor paling sibuk di Kuala Lumpur, projek NPE 2 berdepan pelbagai cabaran termasuk aspek pengurusan trafik, keselamatan serta impak terhadap alam sekitar.
Bagi mengurangkan kesan terhadap komuniti setempat dan pengguna jalan raya, kapasiti lorong sedia ada akan dikekalkan sebanyak mungkin sepanjang tempoh pembinaan.
Langkah kawalan habuk, bunyi bising, getaran serta kawalan hakisan dan kelodak turut akan dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan.
Keselamatan Jadi Keutamaan

Pihak NPE menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya, pekerja pembinaan dan penduduk sekitar kekal menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek.
Projek ini telah menjalani pelbagai penilaian termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) serta Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Pemantauan keselamatan turut diperkukuhkan melalui penggunaan kamera pintar, pegawai keselamatan bertauliah, kawalan trafik menyeluruh serta Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT).
Pengguna Jalan Raya Diminta Beri Kerjasama
Menurut Chua, pihaknya memahami bahawa projek berskala besar seperti ini mungkin menyebabkan sedikit kesulitan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
Namun beliau menjelaskan bahawa setiap penutupan lorong dan lencongan trafik telah dirancang secara teliti bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin serta kesesakan dapat diminimumkan.
Saluran Aduan Dan Maklum Balas Disediakan

Sebarang pertanyaan, maklum balas atau aduan berkaitan Projek Sambungan NPE 2 boleh disalurkan menerusi talian NPE Infoline di 1-300-88-1010 atau melalui e-mel di info.npe@ijm.com.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi platform media sosial rasmi Lebuhraya NPE sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
Projek Sambungan NPE 2 dijangka menjadi antara pemangkin utama dalam memperbaiki mobiliti bandar Kuala Lumpur, selain membantu mengurangkan kesesakan trafik yang semakin meningkat di kawasan selatan ibu negara.






























