
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) sedang mempertimbangkan mekanisme baharu yang membolehkan individu selain pemilik berdaftar kenderaan menggunakan kuota subsidi di bawah program BUDI Diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cadangan itu dibuat susulan maklum balas orang ramai berhubung isu kenderaan yang didaftarkan atas nama pasangan atau ahli keluarga yang tidak memiliki lesen memandu, tetapi digunakan individu lain.
Menurut beliau, antara mekanisme yang sedang diteliti adalah memperkenalkan konsep “approved person”, yang membolehkan pengguna sebenar kenderaan mengakses kuota subsidi diesel yang diperuntukkan.
“Kita sedang melihat mekanisme sama ada kuota subsidi itu boleh dianjakkan kepada seorang individu yang diluluskan untuk menggunakannya,” katanya.
Kekal Dengan Prinsip Satu Kenderaan, Satu Kuota
Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan sebarang penambahbaikan tidak boleh menjejaskan prinsip utama program tersebut, iaitu satu kenderaan hanya menerima satu kuota subsidi.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan subsidi sekiranya satu kenderaan dibenarkan menerima pelbagai kuota melalui beberapa individu berbeza.
Cadangan berkenaan antara isu yang dibangkitkan semasa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan di Kota Kinabalu.
Beliau berkata kerajaan akan terus menilai maklum balas yang diterima selepas pelaksanaan BUDI Diesel bermula 1 Julai sebelum memutuskan sebarang perubahan terhadap mekanisme sedia ada.
SUMBER: AstroAwani







