PROTON Persona generasi kedua dilancarkan kali pertama pada 2016, dengan menjadikan platform hatchback Iriz sebagai asas. Walaupun model subkompak ini dipuji sebagai sedan mampu milik yang seimbang antara harga, kuasa dan praktikaliti, tetapi sesetengah pembeli memberikan alasan rekabentuk 'aneh' sebagai faktor mereka memilih alternatif lain.
Jadi model versi dipertingkat (facelift) ini diberikan pembaharuan pada rupa depan dan belakang. Selain menyeragamkan imej signatur baharu Proton yang berkiblatkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) - X70, pada masa sama Persona (2019) ditampilkan dalam rekabentuk yang lebih mudah diterima umum.
Perubahan kosmetik ini sudah kami jelaskan dalam artikel terdahulu. Jadi artikel kali ini akan lebih menumpukan kepada pengalaman pemanduan dan pemilikan Persona (2019) Standard MT.
BACA >>> Pandang Pertama: Proton Persona Facelift Standard Manual (2019)
SPESIFIKASI
PROTON PERSONA (2019) STANDARD MT
- HARGA ATAS JALAN: RM44,000 (Manual) | RM46,000 (CVT)
- ENJIN: 4-silinder Campro 1.6L DOHC 16V dengan VVT
- TRANSMISI: Manual 5-kelajuan, Automatik CVT
- KUASA MAKSIMUM: 107hp @ 5,750rpm
- TORK MAKSIMUM: 150Nm @ 4,000rpm
- CIRI KESELAMATAN: 2 beg udara (pemandu dan penumpang depan), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Traksi (TCS), Kawasaln Stabiliti Elektronik (VSC), Bantuan Pegun Bukit (HHA)
PRESTASI PEMANDUAN
Tiada perubahan pada enjin 1.6L yang dibekalkan pada Persona (2019) Standard berbanding versi sebelumnya. Masih Campro jenis VVT 'tunggal' berbanding pesaing yang sudah menggunakan teknologi Dual-VVT, dan juga masih menggunakan tali sawat aka timing belt.
Bagi saya, enjin Persona menjana kuasa seperti dijangka untuk sedan dalam segmen ini. Efek pikap terasa pada halaju rendah, dan pada masa sama mampu mencapai had laju kebangsaan dengan mudah. Namun, penggunaan bahan api sedikit mengecewakan.
Bagi pemanduan dalam bandar, saya peroleh 10.3km/liter, bersamaan 9.7 liter per 100km, berbanding pesaing setanding yang mampu mendapat bacaan sekitar 12km/liter, bersamaan 8.3 liter per 100km.
Bagaimanapun pemanduan lebuh raya, sedan ini mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 13.8km/liter atau 7.2 liter per 100km. Masih lebih boros, tetapi apabila difikir semula penjimatan harga sebanyak RM40,000 berbanding pesaing, kelemahan ini masih boleh dimaafkan (ayat nak sedapkan hati).
Jadi ya, untuk varian Standard manual yang saya uji ini, penggunaan transmisi 'kayu ria' ini tidak semestinya membuatkan ia lebih jimat minyak.
BACA >>> Proton Persona (2019) Edisi Facelift Lancar, Harga Lebih Murah Bermula RM42,600
Tetapi apa yang pasti, memandu Persona manual ini lebih me-ria-ngkan. Anda tidak perlu menunggu transmisi 'mengunci' hantaran kuasa ke roda seperti kotak gear CVT, kerana kuasa daripada transmisi manual ini mampu disalurkan terus asalkan cekap bermain klac dan mengatur tukaran gear pada rev sesuai.
Pedal klac Persona (2019) Standard ini pula bukanlah jenis yang menyeksa kaki pemandunya. Anda tidak perlukan otot betis seperti pelari pecut untuk memijak pedal. Mungkin juga sebab terlalu seronok bermain pedal klac dan tombol gear (bukan senang nak dapat kereta 1.6L manual), bacaan minyak saya jadi lebih boros? Hmmm...
Bagaimanapun harus diakui, memandu Persona (2019) Standard ini masih melenguhkan kaki kiri walaupun dalam jarak pendek. Bukan sebab pedal klac keras, tapi tiada alas pijak untuk kaki kiri seperti sesetengah kereta manual lain. Namun itu bukan masalah besar buat penggemar kereta manual yang sudah atau sanggup membiasakannya.
Jika kurang yakin dengan kemampuan kaki kiri, atau lebih suka tangan dan kaki kiri dimanfaatkan untuk perkara lain, pilih sajalah varian automatik seperti majoriti pemandu Malaysia lain. Banyak lagi cara untuk buktikan anda lelaki sejati! 😛
BACA >>> Proton Persona Lama vs Facelift: Apa yang Baharu? Apa yang Berubah?
PENGENDALIAN DAN KESELESAAN
Prestasi pengendalian Persona (2019) Standard boleh kata sama saja dengan varian yang lebih tinggi. Ia mampu mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dengan olengan badan tidak keterlaluan, dan pada masa sama cukup selesa meredah permukaan jalan tidak rata.
Penggunaan tayar bajet Silverstone untuk varian Standard ini sebenarnya mengundang kritikan, terutama pemilik versi awal. Cakap-cakap mereka, tayar ini mudah hilang cengkaman apabila dipaksa bermain di selekoh tajam dan juga lebih bising apabila mula memecut hingga halaju cecah tiga digit.
Bagaimanapun, semua masalah tersebut tidaklah begitu ketara asalkan dipandu berhemah. Sesuai dengan imej Persona sebagai sedan keluarga, bukan sedan sport di trek lumba.
Pada halaju bawah 100kmj, ruang kabin senyap, cuma bunyi deruman enjin sesekali menerobos masuk apabila pedal diinjak. Tiada bunyi 'tikus' kedengaran (mungkin sebab masih baharu) dan tiada bunyi CVT (kerana ini kereta manual!) 🙂
Dari segi keselesaan pemandu dan penumpang, Persona (2019) Standard menggunakan kerusi fabrik penuh. Tidak mewah seperti varian atasan, tetapi dengan cuaca panas Malaysia, material ini sebenarnya lebih selesa kerana tidak mudah panas.
Bagi saya dan rakan pemilik kereta pesaing yang saya bawa menumpang, kerusi fabrik sedan nasional ini pun tidaklah kalah dari segi keselesaan. Ok sangat. Cuma ketiadaan penyandar kepala boleh laras di belakang, kurang selesa sedikit untuk perjalanan jauh.
BACA >>> Proton Persona (2019) Facelift Lagi Macho & Awesome!
PRAKTIKALITI
Dari segi praktikaliti, khususnya bahagian dalaman, Persona (2019) Standard ini hampir setanding varian lebih tinggi.
Pemegang cawan disediakan cukup untuk semua penumpang, ada dua palam USB di konsol tengah dan penyangkut 'tapau' bawah laci depan (glove box). Cuma sayang, tiada poket di belakang kerusi penumpang depan yang boleh dimanfaatkan untuk menyimpan telefon pintar ketika mengecas atau menyelit dokumen dan fail ofis.
Pemain stereo bukan jenis unit infotainment skrin sentuh, tetapi dibekalkan konektiviti Bluetooth dan USB untuk sambungan ke telefon pintar. Pada zaman ketika masing-masing sudah ada telefon pintar sendiri, saya rasa ini bukan masalah besar.
Cukuplah USB dan Bluetooth untuk saya dan penumpang berhibur dengan strim audio terus dari telefon pintar sendiri menerusi aplikasi mobil seperti Spotify dan YouTube.
BACA >>> Pendedahan Kedua: Proton GKUI - Sistem Infotainment Termaju dengan Arahan Suara
Walaupun cuma dipasangkan dua unit pembesar suara di depan, kualiti audio masih memuaskan, sekurang-kurangnya untuk hiburan pemandu. Selain tujuan berhibur, strim audio boleh dimanfaatkan untuk menjawab panggilan, termasuk menggunakan aplikasi navigasi (GPS) dan arahan suara 'OK Google'.
Satu lagi kelemahan ketara berbanding varian atasan ialah kerusi belakang yang tidak boleh direbahkan. Masalah juga kalau orang rumah anda jenis yang suka beli perabot di IKEA. Namun, ruang but masih cukup besar untuk memuatkan bagasi 4-5 orang.
* Panduan sambungan Bluetooth boleh dirujuk dalam aplikasi My Proton
KESIMPULAN
Pada harga ditawarkan, Persona (2019) Standard bagi saya sudah cukup memuaskan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mahukan sebuah sedan mampu milik yang berkuasa dengan transmisi manual, tetapi terikat kepada varian asas.
Bagaimanapun, bagi anda yang mahukan transmisi automatik, varian Executive yang cuma RM5,000 lebih mahal, boleh juga diberi pertimbangan kerana jurang turun taraf daripada Executive kepada Standard begitu ketara, terutama ruang dalaman seperti saya jelaskan dalam artikel sebelum ini.
Ashraf says
Salam, ada info tak utk rpm vs kmh?