Kebiasaannya kenderan utiliti sukan (SUV) segmen-B diuji dalam trafik bandar, tetapi WTC Automotif mengambil pendekatan berbeza untuk model GAC GS3 Emzoom.
Pada 10 Jun lalu , saya dan rakan media dijemput ke Litar Antarabangs Sepang (SIC) untuk mencuba sesi pemanduan berstruktur, yang bukan sekadar pandu uji atas jalan raya biasa.
Format acara menjelaskan tiga modul khas yang akan dijalankan serentak, dan disusuli satu sesi pandu litar terkawal (Controlled Circuit Drive).
Itu semua melibatkan model CKD standard GAC GS3 Emzoom dari kilang tanpa sebarang modifikasi.
Spesifikasi Asas
Berikut spesifikasi varian GAC GS3 Emzzom (Premium R) yang akan diuji di trek Sepang ini:
- Enjin 4-silinder 1.5L TGDi, dengan output kuasa 177ps @ 5,500rpm, dan tork 270Nm @ 1,400 – 4,500rpm
- Transmisi dual-klac basah 7-kelajuan (7WDCT) dengan pacuan roda depan (FWD)
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 8 saat (data rasmi 2026)
- Kelajuan maksimum 180kmj
- Platform GPMA
- Sistem suspensi strut MacPherson (depan), dan Torsion Beam (belakang)
- Dimensi panjang 4,410mm, lebar 1,850mm, dan tinggi 1,650mm, manakala jarak roda 2,650mm
- Jarak tinggi bumi 145mm
- Kapasiti but 341 liter (1,271 liter jika kerusi belakang dilipat)
- Kapasiti tangki petrol 47 liter
- Harga atas jalan 2026: Standard – RM103,800 | Exclusive – RM116,800 | Premium R – RM126,800
MODUL 01: Pecutan & Brek (Back Straight)
Lokasi di jajaran lurus belakang SIC dengan protokol pecutan penuh sehingga anggaran 80kmj sebelum disusuli brek kecemasan hingga berhenti sepenuhnya.
Tujahan tork maksimum seawal 1,400rpm yang dibantu turbo saiz sederhana menghasilkan respons pedal minyak hampir serta-merta tanpa lengah turbo ketara. Transmisi 7WDCT pula menghantar kuasa dengan lancar tanpa sentakan.
Sistem brek cakera depan-belakang dengan bantuan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Agihan Brek Elektronik (EBD) menunjukkan prestasi konsisten. Tiga kali ujian berturut-turut dengan jarak henti kekal pendek dan stabil tanpa gejala fade yang serius.
Cuma fiil pedal sedikit lembut yang menunjukkan karakter SUV itu ditala lebih kepada keselesaan harian.
MODUL 02: Pengendalian & Belok (Infield Circuit Section)
Seksyen Infield berkelajuan rendah-sederhana dengan gabungan selekoh sweeping dan tight. yang menumpukan keseimbangan casis, ketepatan stereng, dan kalibrasi program stabiliti elektronik (ESP).
Casis GPMA yang 80mm lebih panjang dan 50mm lebih lebar berbanding Proton X50 jelas terasa. Olengan badan terkawal baik untuk SUV dengan suspensi Torsion Beam belakang. Sistem stereng elektrik (EPS) ringan di bandar, tetapi memberikan maklum balas progresif di trek.
ESP bertindak awal, tetapi tidak intrusif yang memotong kuasa secara halus apabila had cengkaman dicapai. Tayar asal 225/55 R18 memberikan cengkaman memadai dengan mengeluarkan bunyi pada had lateral tinggi.
MODUL 03: Slalom / Ketangkasan (Paddock Apron Area)
Laluan kon ketat yang menguji ketangkasan. Memerlukan modulasi terotel yang tepat dan input stereng pantas.
Di sini kelebihan nisbah kuasa-berat dan tork rata GS3 Emzoom nyata terserlah. Dengan kawalan kestabilan separa dimatikan, SUV itu lincah menukar arah, manakala tork 270Nm memudahkan pemandu mengekalkan momentum tanpa perlu menekan pedal terlalu dalam. Varian Premium R dengan ekzos sport aktif menambah karakter bunyi.
Modul itu paling menyerlahkan keyakinan pemandu, yang membuktikan talaan casis bukan sekadar untuk keselesaan.
MODUL 04: Pemanduan Litar Terkawal (Controlled Circuit Drive)
Satu pusingan penuh SIC dipandu secara terkawal di belakang kereta pengiring (pace car). Ini bukan ujian masa, tetapi penilaian kestabilan kelajuan tinggi (140 – 160kmj).
Pada kelajuan tersebut, GS3 Emzoom kekal stabil dengan tahap kebisingan (NVH) kabin terkawal baik, yang dibantu cermin depan akustik varian Premium R. Transmisi 7WDCT mengekalkan rev rendah pada gear 7, yang menyumbang kepada penggunaan bahan api sekitar 5.9 lter per 100km seperti diiklankan.
5 Kelebihan, 5 Kekurangan
Kelebihan
1. Kuasa tengah padu: Tork 270Nm seawal 1,400rpm ideal untuk memotong dan keluar selekoh
2. Transmisi 7WDCT yang matang: Anjakan gear pantas, lancar dalam trafik dan di litar
3. Casis stabil: Jarak roda 2,650mm memberikan fiil ‘terletak’ yang solid, stabil dan kurang membuai
4. ADAS Level 2 standard: Ada Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Pengecam Tanda Jalan (TSR), Amaran Tukar Lorong (LDW) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA), manakala varian Premium R ditambah BAntuan Lampu Suluh Tinggi (HBA) dan Bantuan Parkir (PA)
5. Nilai ciri: Pada harga RM126,800 dengan bumbung panoramik, kamera 360º, pengecas wayarles, pintu but elektrik
Kekurangan
1. Rasa pedal brek lembut selepas penggunaan ekstrem berulang
2. Suspensi torsion beam di belakang kurang menyerap hentakan kerb litar
3. Stereng terlalu ringan, kurang respons untuk pemanduan agresif
4. Tiada pedal syif, mod manual hanya pada tombol gear
5. Kapasiti but 341 liter, lebih kecil berbanding HR-V dan Omoda 5
Bukan SUV Biasa
GAC GS3 Emzoom bukan sekadar SUV dengan rekabentuk Mecha Wing yang garang. Sesi di SIC membuktikan model itu memiliki asas mekanikal yang kukuh menerusi enjin TGDi responsif, transmisi DCT cekap, dan casis GPMA mampu menerima beban dinamik.
Kepada pengguna yang mahukan SUV segmen-B dengan prestasi pecutan selaju 8 saat, ciri penuh, dan pada harga bawah RM130k, Emzoom Premium R menawarkan pakej yang sukar ditandingi Proton X50 Flagship dan Honda HR-V Turbo dari segi kuasa ‘raw’.
Namun, jika keutamaan anda adalah fiil stereng tajam dan praktikaliti but, pesaing Jepun masih memiliki kelebihan. Pendapat saya: 8/10 kerana terbukti sangat berbisa di litar, dan matang di jalan raya!
Selebihnya terpulang kepada anda. Apa komen anda?



















































































