
AKTIVITI lumba haram dan menduga kelajuan di jalan raya bakal dikenakan tindakan lebih tegas menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pindaan itu memperkenalkan Seksyen 42A, yang menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, ketika ini tindakan terhadap lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan pemanduan berbahaya, namun tiada seksyen khusus yang menyentuh perbuatan berlumba atau menguji kelajuan.
Apa Hukuman Bagi Kesalahan Pertama?
Bagi kesalahan pertama, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan:
- Denda antara RM2,000 hingga RM10,000
- Penjara sehingga dua tahun
- Atau kedua-duanya sekali
Bagaimana Jika Mengulangi Kesalahan?
Bagi sabitan kali kedua dan seterusnya, hukuman lebih berat bakal dikenakan:
- Denda RM5,000 hingga RM20,000
- Penjara sehingga lima tahun
- Atau kedua-duanya sekali
Perlu Tunggu Kemalangan Berlaku?
Tidak.
Menurut Anthony, Seksyen 42A membolehkan tindakan diambil terhadap pelumba haram walaupun tiada kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.
Sebagai contoh, jika dua atau lebih penunggang motosikal atau pemandu kenderaan dikesan berlumba atau menduga kelajuan di jalan awam, mereka boleh terus dikenakan tindakan di bawah seksyen tersebut.
Kenapa Seksyen Baharu Ini Diperkenalkan?
Menurut beliau, pindaan ini bertujuan menutup jurang dalam undang-undang sedia ada yang menyukarkan penguatkuasaan terhadap aktiviti lumba haram.
Dengan adanya Seksyen 42A, pihak berkuasa tidak lagi perlu bergantung kepada peruntukan lain dan boleh mengambil tindakan lebih awal bagi mencegah kejadian yang boleh mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.
SUMBER: AstroAwani







