SILINDER tunggal atau silinder kembar, atau 4-sebaris?
Kepada mereka yang sedang berkira-kira menaik taraf motosikal, konfigurasi enjin adalah antara perkara yang sangat dititikberatkan. Pernahkah anda terfikir kenapa ada begitu banyak konfigurasi enjin berbeza? Adakah lebih banyak silinder, lebih baik? Kenapa sudah lama tiada enjin 250cc 4-silinder sebaris?
Jawapannya ada di bawah ini:
1. SILINDER TUNGGAL (SINGLE CYLINDER)
Inilah konfigurasi enjin paling asas dengan hanya satu silinder menjana keseluruhan kuasa. Binaan ringkas membawa kepada kos pembuatan rendah, menjadikan enjin silinder tunggal ini pilihan popular untuk pasaran motosikal ekonomi.
Namun, itu bukan bermakna enjin silinder tunggal tidak sesuai buat mereka yang berjiwa kelajuan. Dengan tork tinggi pada RPM rendah membuatkan model sportbike atau naked bike, yang tipikal dengan enjin sebegini, dapat beraksi begitu tangkas di jalan bandar dan selekoh pendek.
Enjin Silinder Tunggal Biasa Didapati Pada:
- Motosikal praktikal - Skuter atau moped bersesaran rendah.
- Streetbike sesaran rendah - Yamaha FZ150i, Modenas Pulsar NS200, Kawasaki Z250SL.
Kelebihan
- Saiz kompak dan langsing, sesuai untuk kegunaan dalam bandar dan off-road.
- Mudah dan lebih murah disenggara.
- Tork atau daya kilas cukup kuat pada sesaran enjin sama.
Kekurangan
- Getaran kuat yang mudah dirasai ketika menunggang jarak jauh.
- Kurang kuasa kuda (hp) berbanding enjin multi-silinder bersesaran sama.
- Tidak sesuai untuk motosikal sesaran tinggi (disebabkan faktor getaran tadi).
Uji Bunyi
2. SILINDER PARALLEL TWIN (KEMBAR SELARI)
Silinder Kembar Selari (Parallel Twin), atau turut dipanggil dwi-silinder ialah konfigurasi enjin tertinggi untuk motosikal 250cc moden. Keseimbangan tork dan kuasa maksimum menjadikan motosikal dengan konfigurasi enjin ini cukup sesuai untuk tunggangan jalan bandar dan lebuh raya.
Atas alasan ini juga, konfigurasi sama turut digunakan motosikal bersesaran lebih tinggi (500cc ke atas) yang menumpukan tunggangan harian. Selain itu, enjin kembar selari turut boleh dibahagikan kepada beberapa subkategori mengikut aturan sudut engkol, seperti aci engkol (crankshaft) 270° Yamaha MT-07 dan aci engkol 360° Benelli TNT 300 untuk karakter enjin dan deruman ekzos berbeza dengan jentera dwi-silinder aci engkol 180° kebiasaan.
Enjin Parallel Twin Biasa Didapati Pada:
- Sportbike aras mula dan middleweight - Kawasaki Ninja 250R, Yamaha R25, CBR500R.
Kelebihan
- Kompak dan ringan.
- Responsif pada rev rendah.
- Sesuai untuk perjalanan dalam bandar atau lebuh raya.
Kekurangan
- Getaran lebih terasa berbanding enjin 4-sebaris pada sesaran sama
- Lebih mahal untuk disenggara berbanding enjin silinder tunggal
Uji Bunyi
3. V-TWIN/L-TWIN (DUCATI)
Enjin silinder V-Twin ialah konfigurasi wajib ada pada model ikonik seperti Harley Davidsons dan Ducati (digelar L-Twin kerana sudut bukaan V lebih besar). Sama seperti enjin Parallel Twin, V-Twin tewas kepada 4-sebaris jika membandingkan kuasa kuda (hp) maksimum.
Namun, enjin jenis ini ada kelebihan jalur kuasa (powerband) lebar dan tork tinggi apabila terotel dipulas. Bagi model cruiser seperti Harley Davidson, tork tinggi setiap masa daripada nadi V-Twin lebih dihargai berbanding kuasa maksimum 4-sebaris yang hanya dicapai apabila dikerah secukupnya.
Anda boleh lihat gambarajah di bawah untuk perbandingan kuasa superbike, dalam kes ini merujuk Ducati 1299. Kita dapat lihat, Ducati 1299 dengan enjin V-Twin mencapai garis merah (redline) lebih awal pada 9,900rpm walaupun cuma berkuasa 175hp. Tetapi, jika dilihat secara keseluruhan, jentera ini mampu memberikan tahap kuasa tertinggi pada setiap tahap putaran.
Enjin V-Twin Biasa Didapati Pada:
- Motorsikal buatan Ducati - daripada Ducati Monster hingga Panigale
- Cruiser - Harley Davidson
Kelebihan
- Tork tinggi dan powerband lebar.
- Sangat responsif.
- Profil fizikal langsing dan pusat graviti (CoG) rendah.
Kekurangan
- Getaran mudah terasa.
- Perlu sesaran lebih tinggi untuk saingi enjin 4 silinder
Uji Bunyi
4. BOXER KEMBAR (BOXER-TWIN)
Enjin boxer-kembar (Boxer-Twin) kebiasaannya didapati pada motosikal dwi-guna (dual purpose) seperti BMW R1200GS. Enjin jenis ini mampu menghamburkan tork cukup kuat yang mampu menggerakkan fizikal R1200GS yang seberat 270kg walaupun dalam situasi lahu (idle).
Kenapa dipanggil boxer? Sebabnya, silinder boxer diatur melintang, juga mirip enjin boxer kereta seperti Subaru Impreza, yang mana silinder bergerak secara berlawanan seakan tumbukan peninju. Perhatikan powerband RS1200GS (merah) yang linear berbanding pesaing sama kelas dengan susutan tork (torque dip) ketara pada 3,000rpm - 4,000rpm.
Enjin Boxer Twin Biasa Didapati Pada:
- BMW R1200GS, BMW R nine T
Kelebihan
- Tork sangat tinggi.
- Powerband linear memberikan hantaran kuasa lancar.
- Kestabilan tinggi pada pusat graviti (CoG) rendah.
Kekurangan
- Saiz enjin lebar mengehadkan sudut condong semasa mengambil selekoh.
- Reaksi Tork - Efek seperti Daya-G, tetapi bertindak dari sisi disebabkan gerakan piston melintang yang secara tidak langsung mengganggu kestabilan ketika membelok.
Uji Bunyi
5. 4-SEBARIS (INLINE-4 / FLATPLANE)
Hantaran kuasa lancar dan ligatan tinggi (high rev), serta tambahan kemerduan bunyi ekzos membuatkan motosikal dengan silinder 4-sebaris (inline-4, atau I4) menjadi pujaan ramai peminat motosikal yang gilakan kuasa. Turut menyumbang kepada populariti konfigurasi enjin jenis ini adalah ia sudah sekian lama menjadi pilihan pengeluar motosikal dari Jepun.
Konfigurasi 4-silinder sebaris ini pernah didatangkan dalam bentuk lebih kompak iaitu 250cc sekitar era 90-an, tetapi disebabkan karakteristik hantaran kuasa lemah pada ligatan awal dan rekaan komponen miniatur yang lebih rumit (dan mahal) menyumbang kepada pupusnya jentera sebegini dengan terakhir sekali dapat dilihati pada Kawasaki Ninja ZX2R yang dihentikan jualannya di Malaysia pada 2004.
Namun, model seperti ini cuba dibangkitkita semula Kawasaki menerusi Ninja ZX-25R. Inline-4 boleh dibahagikan mengikut aturan pembakaran Flatplane atau Crossplane.
Enjin Inline-4 - Flatplane Biasa Didapati Pada:
- Sportbike pertengahan - Honda CBR600RR, Kawasaki Z800.
- Superbike - BMW S1000RR, Kawasaki H2R.
Kelebihan
- Hantaran kuasa lancar pada RPM sederhana dan tinggi.
- Ligatan tinggi (high rev), mampu dikerah lebih lama sebelum mencapai redline atau anda sendiri kecut perut.
- Bunyi ekzos merdu.
Kekurangan:
- Perlu dikerah kerana tenaga sebenar hanya dapat dicapai pada RPM tinggi.
- Lemah dari segi tork, mudah tersedu jika ditunggang perlahan, menyebabkan enjin jenis ini tidak sesuai untuk motosikal bersesaran rendah.
- Enjin lebih lebar dan berat, berbanding enjin 4-silinder lain.
Uji Bunyi
6. 4-SEBARIS (INLINE-4 / CROSSPLANE)
4-sebaris (Crossplane) ialah konfigurasi pemasaan enjin 4-silinder sebaris dengan aturan pembakaran tidak seragam yang mirip enjin V4, sekali gus memberikan karekteristik penghasilan kuasa yang hampir serupa.
Enjin 4-sebaris (Crossplane) Biasa Didapati Pada:
- Yamaha M1 untuk perlumbaan MotoGP.
- Yamaha R1M dan varian untuk kegunaan atas jalan raya.
Kelebihan
- Hantara kuasa lebih kuat pada putaran rendah.
- Bunyi enjin unik, kedengaran lebih kasar berbanding 4-sebaris - Flatplane.
- Memiliki karakteristik enjin V4, tetapi dengan konfigurasi 4-sebaris yang lebih ringkas.
Kekurangan
- Aturan aci engkol 90° membuatkan varian enjin 4-sebaris sedikit lebar.
- Pembuatan enjin Crossplane lebih rumit berbanding Flatplane. Pemilihan motosikal agak terhad.
Uji Bunyi
7. SILINDER TRIPEL
Kombinasi sempurna antara tork daripada Parallel Twin, dan kuasa maksimum daripada ligatan tinggi (high rev) enjin Inline-4. Konfigurasi silinder tripel menjadi kegemaran kalangan mereka yang pernah menunggang motosikal berenjin begitu. Kenapa? Silinder tripel (3-silinder) dapat menjamin hantaran kuasa dalam apa saja situasi tunggangan, sama ada di selekoh atau jalan lurus.
Perhatikan carta dyno di bawah,Triumph Speed Triple memberikan kuasa lebih tinggi pada setiap rev sebelum redline awal pada 9,000rpm, berbanding motosikal 4-sebaris dengan redline 10,000rpm. Bezanya cuma 1,000rpm!
Enjin Silinder Tripel Biasa Didapati Pada:
- Motosikal Triumph - Street Triple 675RS, Daytona 675 dan Speed Triple Rm
- Yamaha MT-09
Kelebihan
- Karakteristik seimbang antara 2 dan 4-silinder.
- Versatiliti dan prestasi setanding dalam setiap situasi sama ada di selekoh atau jalan lurus.
- Bunyi enjin cukup unik.
Kekurangan
- Pilihan motosikal terhad.
- Buat masa sekarang, mudah didapati pada Yamaha MT-09, manakala Triumph kurang mendapat sambutan kerana berharga mahal berbanding pesaing. Namun, kepada mereka yang mementingkan kehalusan pembuatan, memang berbaloi membayar lebih untuk jenama Triumph.
Uji Bunyi
8. SILINDER V4
Seperti silinder Triple, enjin V4 menjanjikan keseimbangan prestasi antara konfigurasi 2 dan 4-silinder dengan tork kuat pada rev rendah dan kuasa maksimum pada rev tinggi. TarikanV4 adalah hantaran kuasa lebih linear dan lancar pada setiap tahap rev.
Profil motosikal V4 yang lebih langsing membuatkan ia mudah dikawal. Namun, pembuatan enjin yang kompleks dan memakan kos menyebabkan tidak banyak pengeluar berminat menggunakan enjin ini selain tujuan perlumbaan.
Merujuk carta di bawah, anda boleh lihat keluk Aprilia RSV4R (hitam) yang terletak antara Ducati 1199 Panigale (V-Twin/merah) dan Kawasaki ZX-10R (4-sebaris/hijau) dari segi tork dan kuasa kuda (hp) maksimum.
Hantaran kuasa RSV4R juga kelihatan linear dengan kuasa yang semakin meningkat pada setiap RPM berbanding Yamaha R1 (biru) yang mengalami susut tork pada 5,000rpm.
Enjin V4 Biasa Didapati Pada:
- Supersport atau tourer / cruiser - Aprilia RSV4R, Aprilia Tuono V4, Yamaha VMax.
- Jentera lumba MotoGP - Honda RC213V, Ducati Desmosedici.
Kelebihan
- Hantara kuasa lancar dan tork lebih tinggi berbanding 4-sebaris.
- Profil ramping membantu pengendalian.
- Bunyi enjin unik.
Kekurangan
- Pilihan motosikal terhad. Seperti silinder-tripel, motosikal V4 memberikan kepuasan tinggi kepada pemilik yang mampu berbelanja lebih.
- Konfigurasi enjin kompleks turut meningkatkan kos baik pulih dan modifikasi berbanding enjin 4-sebaris.
sablie says
bukan Ducati Desmosedici guna konfigurasi enjin 90°L ka ?