GEELY mula menghangatkan pasaran China apabila menyiarkan imej acah rasmi Geely Preface L90, iaitu sedan baharu yang bakal membuat debut 10 Julai ini.
Menariknya, model itu bukan sekadar versi lebih besar kepada Preface sedia ada, tetapi tampil sebagai sedan perdana dengan panjang hampir 5 meter (5,000mm), lengkap teknologi LiDAR, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pilihan trenkuasa petrol (ICE) dan hibrid (HEV).
Berdasarkan maklumat awal, Geely Preface L90 dibangunkan sebagai model kembar kepada Geely Galaxy Starshine 7 Max yang dilancarkan sebelum ini di China.
Sedan Lebih Besar daripada Preface Biasa
Jika dibandingkan Geely Preface yang dipasarkan di beberapa negara seperti Timur Tengah dan Filipina, Preface L90 hadir dengan dimensi lebih besar.
Berikut dimensi badan model itu:
- Panjang: 4,956mm
- Lebar: 1,915mm
- Tinggi: 1,505mm
- Jarak roda: 2,845mm
Ini bermakna model baharu itu 131mm lebih panjang, 35mm lebih lebar dan 35mm lebih tinggi berbanding Preface standard.
Rekabentuk luaran turut diberi nafas baharu menerusi gril krom besar, lampu LED lebih tajam dan bampar depan yang tampil lebih sporty bagi menyerlahkan imej sedan premium.
Ada LiDAR, Sistem G-Pilot H5 dengan 508 TOPS
Antara tarikan utama Preface L90 ialah kehadiran sensor LiDAR pada bahagian bumbung, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam segmen sedan arus perdana.
LiDAR itu dipadankan sistem bantuan pemanduan G-ASD G-Pilot H5, yang menggunakan dua cip Nvidia Orin-X yang menawarkan kuasa pemprosesan gabungan sehingga 508 TOPS.
Dengan konfigurasi tersebut, sedan itu mampu menyokong fungsi Navigate on Autopilot (NOA) untuk pemanduan lebuh raya dan juga jalan bandar, sekali gus meletakkan model tersebut setanding beberapa pesaing kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV) premium dari China.
Tiga Pilihan Enjin, termasuk Hibrid baharu
Geely turut menawarkan beberapa pilihan trenkuasa mengikut keperluan pengguna.
Enjin petrol (ICE)
- 1.5L turbo – 198hp
- 2.0L turbo – 268hp
Varian hibrid (HEV) menggunakan sistem i-HEV generasi terkini Geely yang menggabungkan:Tease
- Enjin petrol 1.5L berkuasa 161hp
- Motor elektrik sekitar 235hp
- Transmisi 1-kelajuan Dedicated Hybrid Transmission (DHT)
Walaupun angka kuasa keseluruhan masih belum diumumkan, Geely mendakwa penggunaan bahan api varian HEV hanya sekitar 3.98 liter per 100km, antara terbaik dalam kelas sedan bersaiz hampir 5 meter.
Berpotensi Jadi Model Global?
Seperkara menarik, Geely Preface sememangnya sudah menjadi model global dan dipasarkan di beberapa negara luar China.
Malah, platform sedan itu turut digunakan rakan permotoran Geely, Cyan Racing dalam perlumbaan TCR, yang baru-baru ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut di Valencia, Sepanyol.
Disebabkan itu, tidak mustahil Preface L90 akan mengikuti jejak sama sebagai model eksport selepas pelancaran rasmi di China.
Masuk Malaysia?
Setakat ini Geely masih belum mengumumkan sebarang rancangan membawa Preface L90 ke pasaran Malaysia.
Namun dengan hubungan rapat antara Geely dan Proton, selain strategi mempeluas barisan model global Geely, tidak mustahil sedan itu menjadi antara calon untuk pasaran luar China pada masa depan.
Maklumat penuh termasuk spesifikasi rasmi, harga dan teknologi yang ditawarkan dijangka diumumkan ketika pelancaran global model itu 10 Julai ini.
SUMBER: CarNewsChina
















