KADANG-KADANG kita tidak tahu bahawa kita memang sudah termasuk dalam golongan yang wajib beli kereta terpakai atau second hand. Cuma banyak rintangan menghalang sama ada dalam diri atau orang sekeliling.
Memiliki kereta ialah perkara kedua paling mahal selepas rumah. Jadi, pastikan setiap pembelian berbaloi. Fikir dulu masak-masak sebelum buat keputusan kerana selepas memilih, tiada guna menyesal lagi. Apapun, bahagiakan diri sendiri dahulu sebelum bahagiakan orang lain.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Caranya Beli Kereta Terpakai yang Berbaloi... (13 Tip)
Anda mungkin perlu tinggal lebih lama dalam kereta berbanding rumah dan pasangan sendiri. Apapun ingat, kereta juga tentang keseronokan memandu. Tiada salahnya sesekali ikutkan hati.
Mari kita lihat golongan mana yang patut beli kereta terpakai. Adakah anda salah seorang daripadanya? Tekan pedal dan jangan stres!
1. KURANG BAJET
Kata orang, ukur baju di badan sendiri. Bukan di badan sahabat handai, jiran tetangga atau sanak saudara. Mengaku sajalah anda kurang berduit. Setiap kali sampai tengah bulan, dompet sudah kempis. Kad kredit sudah berapa kali 'swipe'. Pinjam duit kawan jangan cerita. Makan pun selalu ikat perut, tambah-tambah hujung bulan.
Jangan banyak songeh, anda memang sah perlu cari kereta terpakai.
2. ISTERI/SUAMI HARI MINGGU
Ini golongan yang beli kereta, tapi simpan di parkir. Bawa kereta cuma hari minggu atau balik kampung. Tapi, pergi kerja setiap hari dengan motosikal atau naik pengangkutan awam (bas, LRT atau komuter).
Kita boleh gelarkan mereka ini 'kufur nikmat'. Dapat rezeki, tapi tidak dinikmati. Silap haribulan boleh jadi bakhil. Ada sesetengahnya sudah jatuh tahap kronik dan paranoid. Tak mahu bawa kereta jauh-jauh sebab takut perbatuan (mileage) naik mencanak. Sebabnya, nanti jual secondhand murah.
Aduh, orang macam ini pun ada? Beli kereta bukan fikir nak bawa, tapi nak jual nanti. Habis itu buat apa beli kereta bayar bulan mahal? Baik beli kereta terpakai saja. Bukan saja bayar murah dan rendah kos senggara, boleh juga jimat belanja.
Orang macam anda sebenarnya cukup sekadar kereta terpakai.
3. WHY PAY MORE?
Dari satu sisi, orang lain melihat anda sebagai seorang yang cerewet, lokek atau kedekut. Mungkin betul, tetapi dari sisi lain, anda sebenarnya tegas dalam merancang kewangan. Anda melihat kereta sekadar alat untuk bergerak dari titik A ke B. Duit bagi anda sepatutnya dilaburkan kepada perkara lain yang lebih penting.
Anda tak tergugat langsung dengan rakan-rakan yang berkereta baharu. Sebab anda kenal siapa kawan anda yang rata-ratanya mengeluh tidak cukup duit setiap bulan.
Kereta terpakai memang jodoh anda!
4. SPENDER MAK BELI
Golongan ini terdiri di kalangan orang muda baru dapat lesen atau pelajar universiti yang masih mengharapkan dana kewangan daripada ibu bapa. Spender pun mak beli, itupun ada hati nak suruh dibelikan kereta baru. Pergi kuliah saja kot. Bukan setiap hari kena masuk kelas jam 9 pagi dan balik jam 6 petang. Nak servis kereta pun minta duit mak ayah. Malulah sikit.
Kalau nak berkereta, cukup sajalah minta kereta terpakai. Tak payah nak demand lebih. Ceh!
5. SANG MINIMALIS
Anda berkongsi satu prinsip yang sama dengan golongan Why Pay More, iaitu kereta hanya sebagai alat bergerak. Bezanya, Why Pay More melihat kereta dari sudut ekonomi dan perancangan kewangan, di mana kereta ialah aset susut nilai yang tidak perlu dileburkan banyak wang.
Sebaliknya, si minimalis melihat pemilikan kereta baharu sebagai gaya kemewahan dan kesombongan hidup. Memiliki kereta baharu membuatkan mereka kurang selesa, kekok dan stres kerana bertentangan dengan falsafah hidup diri.
BACA >>> Kereta Terpakai Termurah, Inilah Sebab Kenapa Lelaki Ini Jual Iswara 10 Sen
Ya, cukup saja kereta terpakai yang sederhana atau murah kerana bagi anda kereta tidak patut dijadikan objek membanggakan diri.
6. HIPSTER AUTOMOTIF
Anda tidak suka bandwagon, anti-arus perdana atau counter-culture. Ketika ramai memandu Perodua Myvi atau Honda City, anda memilih kereta lama seperti Volvo V70 tahun 1999. Anda nampak kereta baharu sebagai objek yang tidak cool, tiada seni dan ada unsur kapitalis. Berfalsafah kononnya.
7. MEKANIK SELAMANYA
Jarang sekali kita lihat mekanik beli kereta baru. Kalau ada pun, kebiasaanya untuk si isteri. Tipikal kereta mekanik ialah jenis pikap @ ute, old-school atau klasik.
Kereta bagi mereka mesti disentuh-sentuh. Dimanja-manja. Dibikin itu ini. Mereka tidak kisah kereta bermasalah, kerana mereka sendiri yang akan membaikinya. Ia sama seperti tukang jahit yang seboleh-bolehnya mahu menjahit pakaian sendiri dan ahli keluarganya. Begitu jugalah mekanik. Mereka bukan hipster, tetapi sebenarnya tentang jiwa seorang mekanik.
8. KENANGAN LALU MASIH MEMBURU
Anda tidak kisah pun beli kereta baru atau terpakai. Anda mungkin memiliki kedua-duanya. Anda sebenarnya seorang yang sentimental dan berjiwa halus. Anda ada ingatan kuat tentang kenangan lama. Anda sayangkan kereta pertama dipandu bapa. Anda rindukan kereta pertama yang dibeli ketika baru bekerja. Anda teringatkan kereta pertama impian anda ketika di bangku sekolah dahulu.
Kereta-kereta tersebut mungkin sudah dijual atau rosak begitu saja, tetapi anda memilih untuk mencari semula semua kereta itu demi sebuah nostalgia. Jangan berlengah, terus dapatkan segera. Selamatkan memori anda!
9. PENGGILA KERETA
Bagi orang kaya yang gila kereta, mereka boleh beli apa saja kereta yang disukai sama ada baru atau terpakai. Tetapi bagi orang kebanyakan yang gilakan kereta, membeli kereta terpakai yang murah ialah pilihan paling munasabah untuk memuaskan minat mereka.
Penggila kereta biasanya kerap bertukar kereta dalam jarak masa setiap lima tahun. Kalau boleh, mereka mahu merasa setiap kereta yang diminati. Tetapi disebabkan kekangan bajet membeli kereta baru, jadi mereka perlu menangguhkan hasrat itu selepas beberapa tahun. Mereka selalu bergerak berkumpulan di bawah kelab kereta tertentu.
10. PENCINTA SETIA
Golongan ini duduk semeja dengan Kurang Bajet, iaitu masing-masing mahu berkereta tetapi bajet kecil. Bezanya, Kurang Bajet akan terus membeli kereta yang sesuai dengan kemampuan kewangan mereka tanpa mengira jenis model. Asalkan murah serba serbi dan berbaloi.
Tetapi, Pencinta Setia sanggup menunggu lama untuk mendapatkan jenis model kereta idaman mereka. Mereka tidak kisah memandu kereta paling murah buat permulaan. Asalkan beberapa tahun kemudian dapat membeli kereta idaman sendiri.
Mereka sangat berjimat cermat dan ada kesungguhan. Tidak mampu, tapi mahu. Bagi mereka, menunggu lama pun tidak mengapa. Bukankah cinta itu tentang kesetiaan?
11. MAT BIKIN
Mereka ini rata-ratanya gemarkan sukan permotoran. Ada yang sukakan sukan rali, drift, F1, gymkhana, drag atau lain-lain. Minat mereka yang mendalam itu kemudian dicurahkan kepada kereta sendiri. Ada sekadar suka-suka melawa dan ada pula cukup serius masuk trek!
BACA >>> Lelaki Ini Tunjuk Cara Baru Iklankan Kereta Terpakai Tahap Epik!
Jadi, kereta terpakailah yang paling rasional untuk dibeli dan dibikin. Model kereta yang dicari ialah jenis murah, senang bikin dan mudah mendapatkan alat ganti. Proton Satria misalnya sudah mencapai status legenda dalam dunia modifikasi tempatan. Walaupun murah di pasaran kereta terpakai, Satria termasuk dalam kategori 'kereta panas'. Ia bukan disebabkan mudah terjual sahaja, tetapi kerana kerap menjadi sasaran kaki rembat.
Lyana says
"Ini golongan yang beli kereta, tapi simpan di parkir. Bawa kereta cuma
hari minggu atau balik kampung. Tapi, pergi kerja setiap hari dengan motosikal
atau naik pengangkutan awam (bas, LRT atau komuter).
Kita boleh gelarkan mereka ini 'kufur nikmat'. Dapat rezeki, tapi tidak dinikmati.
Silap haribulan boleh jadi bakhil. Ada sesetengahnya sudah jatuh tahap kronik
dan paranoid. Tak mahu bawa kereta jauh-jauh sebab takut perbatuan (mileage)
naik mencanak. Sebabnya, nanti jual secondhand murah."
Hahahaha... sakit perut tahan gelak. Statement tak boleh belaaahh..Tapi, kalau dah ada kereta, kemudian beli lain sebab sayang sangat nak jual yang lama tu...kategori apa pulak? Lepas tu mengidam kereta lain lagi..? Hahahahahakkksss...
AO says
Mungkin golongang tak tetap iman.
Reza says
Jangan kahwini dia kerana dia x pernah cukup walaupon dah ada yg terbaik
Halieza says
Thank you for the info sangat bermanfaat. Saya baru bercadang nak beli kereta walaupun sebenarnya sy tak suka pakai kereta atau barang 2nd hand. Tpi tulah pengalaman kita sepanjang seumur hidup ni banyak belajar dr org sekeliling, Berjimat itu perlu. Beli barang adalah utk kegunaan keperluan bukan sekadar perhiasan.
Apa yg en. nyatakan diatas mmg sama pemikiran seperti saya. Iyelah boleh tanye pendapat org tapi kita perlu buat keputusan yang bijak.
Harga Saga says
Dua2 pun ok, tak ada masalah pun