
PELANGGAN yang mahukan unit kustom untuk Ducati Multistrada V4 Rally kini boleh mendapatkannya di bawah program Ducati Factory Made atau DFM.
Pelancaran program DFM untuk varian V4 Rally ini merupakan langkah terbaru selepas pengenalan program sama pada siri Multistrada V4 sebelum ini.
Multistrada V4 Rally direka khusus untuk penunggang kembara jarak jauh dengan spesifikasi utama seperti tangki bahan api 30 liter dan sistem suspensi Adaptive DSS EVO dengan jarak gerak (travel) yang panjang.

Model ini juga memfokuskan kepada tahap keselesaan tinggi serta keupayaan untuk mengendali pelbagai jenis permukaan rupa bumi off-road.
Melalui program DFM, pelanggan berpeluang memiliki motosikal idaman yang dibina secara kustom terus dari kilang di Borgo Panigale.
Proses pemasangan di barisan pengeluaran kilang memastikan tahap keseragaman dan piawaian mutu yang tinggi selaras dengan proses rasmi Ducati.
Pilihan Warna dan Estetik Luaran

Program DFM memberi kebebasan kepada pelanggan untuk menempah pelbagai elemen teknikal serta estetik mengikut citarasa sendiri, bermula dengan pilihan warna badan.
Terdapat koleksi Icons yang melambangkan tradisi Ducati dan siri Style dengan kemasan berkilat yang menyerlahkan elemen moden serta elegan.
Bagi mereka yang mahukan sentuhan lebih eksklusif koleksi Sophistication menawarkan pilihan warna jenis kusam atau matt.

Selain itu, liveri Ducati Performance memberikan penampilan lebih teknikal, manakala liveri Ducati Corse menggunakan warna terang dan bertemakan perlumbaan untuk membawa identiti sport yang sejati kepada jentera pengembara ini.
Antara pilihan warna paling eksklusif yang ditawarkan adalah daripada siri Automobili Lamborghini Ad Personam yang merangkumi warna Viola Pasifae serta Arancio Xanto dan Blu Uranus.
Komponen Teknikal dan Kemasan Kustom

Bahagian subrangka belakang kini boleh didapati dalam pelbagai jenis kemasan termasuk pilihan material titanium.
Penggunaan titanium membolehkan komponen tersebut menjadi lebih ringan namun tetap mempunyai kekuatan struktur yang tinggi sekali gus menjadikan setiap unit motosikal lebih unik.
Pilihan roda berjejari juga ditawarkan dalam tiga varian berbeza.
Bagi sistem brek, pelanggan boleh menempah kaliper Brembo Stylema yang tersedia dalam pelbagai pilihan warna.

Program ini turut menawarkan konfigurasi tambahan yang merangkumi pelbagai pilihan pelana dan pakej aksesori bagi memberikan peluang kepada pelanggan untuk menyesuaikan motosikal mengikut keperluan kembara dan gaya peribadi.
Proses konfigurasi lengkap bagi Multistrada V4 Rally DFM boleh dilakukan menerusi laman web rasmi Ducati.

















