MODIFIKASI adalah antara faktor yang sangat mempengaruhi corak pembelian motosikal, terutama kalangan penunggang Malaysia. Budaya yang sangat popular di kalangan mereka yang lahir sekitar 80-90-an itu kini melahirkan pelbagai produk aftermarket yang begitu menekankan aspek prestasi.
Namun, kami di sini bukan ingin berkongsi cara modifikasi yang melanggar undang-undang, cukuplah standard saja dan tidak perlulah kita jadi lebih enjinia daripada enjinia. Apalah guna motor power tetapi gagal dalam aspek reliabiliti, keselamatan, tunggangan dan juga undang-undang.
Kami senaraikan beberapa modifikasi asas yang boleh dianggap sebagai selamat, boleh bikin motor jadi power dan juga tahan lasak untuk kegunaan harian dan jangka masa lama.
BACA >>> #BikinMotor: Yamaha Exciter dengan Kos Modifikasi Lebih Mahal daripada Axia
1. NAIK TARAF ALIRAN UDARA
Cara ini ialah strategi paling mudah meningkatkan prestasi motosikal. Ada macam-macam jenis penapis udara aftermarket seperti 'kepala cendawan' (mushroom head) yang dapat meningkatkan kadar ambilan udara (air intake) hingga 50 peratus berbanding standard. Produk ini menawarkan keseimbangan antara tapisan udara bersih dan kepadatan aliran udara optimum untuk meningkatkan prestasi enjin.
Apapun, ini juga bermakna sistem intake (karburetor/suntikan bahan api) perlu ditala semula untuk melaraskan kembali nisbah campuran udara+bahan api bagi mendapatkan tetapan optimum.
Motosikal prestasi tidak semestinya bermaksud motor kita kuat makan minyak, tetapi boleh juga membawa maksud kecekapan, kelancaran dan juga geseran paling minimum, sekali gus membantu enjin beroperasi pada tahap optimum. Ingat, enjin yang cekap dan lancar mampu membawa penunggang lebih jauh!
2. NAIK TARAF MODUL NYALAAN ENJIN
Apakah anda peka dengan potensi modifikasi sistem nyalaan enjin (ignition)? Ya, modifikasi itu membantu menjadikan sistem nyalaan lebih cekap yang diperlukan untuk menjana percikan api bagi mengoptimumkan proses pembakaran enjin.
Komponen utama sistem nyalaan adalah:
- Distributor
- Koil nyalaan (ignition coil)
- Kabel palam pencucuh
- Pemacu koil (coil driver)
- Palam pencucuh
NGK gold plated atau platinum plated adalah jenis palam pencucuh terbaik kerana dapat menambah baik operasi jarum nyalaan (ignition needle), sekali gus menghasikan percikan api lebih kuat, dan pembakaran lebih sempurna. Maknanya apa? Maknanya pembakaran yang lebih efisien dapat mengelakkan pembaziran dan penggunaan bahan api.
3. MODIFIKASI SISTEM EKZOS
Perubahan sistem ekzos daripada standard kepada berprestasi turut mempengaruhi profil motosikal dari segi rupa, peningkatan kuasa kuda (hp) dan bunyi. Berat motosikal juga dapat dikurangkan bergantung kepada bahan binaan ekzos yang akan dipadankan bersama motosikal tersebut seperti gentian karbon, titanium dan bahan logam ringan lain.
Ada dua opsyen untuk modifikasi ini bergantung model motosikal. Anda boleh tukar seluruh sistem ekzos (full system) ataupun tukar peredam bunyi saja (slip-on). Namun, dengan hanya modifikasi slip-on, lazimnya hanya prestasi pecutan tahap awal (low end) dapat dinikmati .
Malang buat peminat sistem ekzos full system, tidak banyak pilihan yang dapat memenuhi kriteria undang-undang negara kita yang kaya dengan biodiversiti. Namun, janganlah khuatir kalau setakat ubah suai slip-on saja. Kata orang, laju-laju nak ke mana? Laju sangat pun, macamlah boleh sampai awal sejamkan?
BACA >>> #BikinMotor: Suzuki GSX-R150 HP4 Ambil Ilham Superbike BMW S1000RR
4. BELI RIM, LARAS TEKANAN ANGIN DAN TUKAR BERING TAYAR
Rim sport (sport rim) adalah bahagian wajib buat penggemar modifikasi untuk dipadankan dengan motosikal kesayangan. Ada banyak rekabentuk rim dan pilihan material yang boleh dipandang, dipegang dan dibeli. Kata bijak pandai permotoran, boleh tidak lelap mata dibuatnya kalau hati sudah mengidam sport rim.
Pilihlah sport rim yang kuat dan ringan. Jangan membazir duit beli sport rim ringan sahaja. Silap haribulan rim bengkok terlanggar lubang. Kelak jiwa merana dan menangis kehibaan di depan mesin ATM.
Pilihlah tayar yang sesuai dengan rutin harian dan destinasi tujuan. Apa yang pasti, jangan lupa periksa tekanan angin tayar dan sentiasa pastikan sesuai dengan jenis tunggangan. Tayar yang disenggara mantap mampu menyumbang ke arah prestasi jentera dan juga keselamatan diri.
Penunggang juga kerap terlepas pandang tentang perihal bering roda/tayar. Ketahuilah, kegagalan bering tayar ketika sedang menunggang dalam halaju biasa pun sudah mampu menyebabkan kemalangan serius. Walaupun mungkin tidak cedera dek kemalangan, anda masih juga perlu membayar kos komponen rosak yang mahal seperti hab roda (wheel hub), gandar (axles) dan lain-lain. Jadi, sentiasalah awasi kesihatan bering roda motosikal kita.
Bagi meningkatkan prestasi, ada segelintir peminat modifikasi memilih menukar bering roda kepada bering halaju tinggi (high speed bearing) atau bering seramik (ceramic bearing). Bering halaju tinggi ini direka untuk mengurangkan kesan geseran dan meningkatkan kelancaran putaran roda. Cubalah! Anda mampu mengubahnya!
5. TUKAR PLAT KLAC KERTAS!
Kebanyakan plat klac (clutch plate) di pasaran berasaskan getah. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pengeluar Jepun mula mempromosikan plat klac kertas bagi menggantikan jenis getah.
Apakah kelemahan plat klac getah?
- Tidak sesuai dengan penggunaan semasa motosikal, terutama untuk tunggangan berat dan ekstrem.
- Walaupun getah memiliki rintangan suhu tinggi, tetapi secara mekanikal geseran yang ada lebih kecil dan ketumpatan pula lebih rendah. Jadi pekali geseran (drag coefficient) getah dan sifat kerosakan terma serta rintangan tegak (upright obstacles) sangat lemah, sekali gus sukar menangani operasi kerja dalam enjin motosikal.
Plat klac kertas, seperti produk Tobaki buatan Malaysia, pula adalah komponen helaian geseran (friction sheet) berasaskan kertas yang dihasilkan daripada serat karbon dan serat aramid dengan kemampuan rintangan suhu tinggi hingga 100ºC atau lebih.
Istilah 'kertas' digunakan kerana bahan utama untuk menghasilkan geseran itu menggunakan bahan seperti dalam proses pembuatan kertas. Namun itu bukan bermakna ia seperti kertas tulis atau senipis kulit bawang kerana seperti disebut di atas, plat klac berasaskan kertas memiliki rintangan suhu tinggi.
Bahan geseran terdiri daripada serat berbentuk struktur jaringan bersilang (criss cross), manakala partikel serbuk geseran diagihkan sama rata dengan tahap porositi (keliangan) besar, lebih besar 5 hingga 10 kali ganda daripada bahan getah.
Sama seperti pad brek, ketahanan plat klac adalah bergantung kepada daya rintangan tinggi pada komponen tersebut. Prestasi plat klac juga bersandarkan tahap poros dan pekali geseran yang baik mengikut formula saintifik.
Ini kerana haba geseran ketika berlaku anjakan klac berterusan, suhu permukaan plat klac akan mencapai takat 150ºC atau lebih. Dalam kondisi lama, suhu komponen tersebut boleh mencecah 250ºC. Dalam situasi ekstrem tersebut, sifat poros plat klac mencapai kesan peralihan haba yang besar.
Fungsi porositi pada plat klac adalah menyerap dan membebaskan tenaga haba dengan cepat, serta mengurangkan suhu permukaan plat klac. Ini bagi memastikan haba pekali gesearan tidak terjejas dan menstabilkan tork hantaran plat klac. Inilah yang membezakan antara plat klac kertas dan getah.
Kenapa Perlu Plat Klac Kertas?
Plat klac kertas direka untuk transmisi automatik dan motosikal automatik dengan kenderaan besar dan kereta lumba. Ini disebabkan beban kerja enjin yang bertambah dan memerlukan pengeluar mencari material lebih lasak. Plat klac kertas juga dapat mengurangkan risiko kegagalan klac yang selalu menimpa penunggang motosikal.
Malah, banyak negara hari ini melaburkan sejumlah besar kos penyelidikan untuk isu teknikal tersebut, khususnya plat klac motosikal yang memerlukan pekali geseran tinggi.
Buat masa ini, cakera aluminium ADC12 ada dua, jadi kesukaran pembuatan dan kos tinggi untuk plat klac kertas adalah besar. Inilah antara punca kenapa pengeluar masih mengekalkan plat klac getah untuk motosikal pengeluaran standard.
Jadi kalau ada duit lebih tu, melaburlah sikit untuk dapatkan plat klac kertas. Memang ada perbezaan dari segi kualiti dan ketahanan. Tak payah lagi nak berdebar bila pulas terotel habis!
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Punca Plat Klac Motosikal Cepat Haus?
Leave a Reply