YANG di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima hadiah sebuah limosin, Aurus Senat yang dianggap penghormatan istimewa sebagai lambang hubungan erat dan persahabatan kukuh antara Malaysia dan Rusia.
Menerusi hantaran FacebookSultan Ibrahim Sultan Iskandar, Aurus ialah jenama kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Rusia dan sering digunakan Vladimir Putin dalam acara rasmi negara serta majlis diplomatik penting.
Model tersebut juga jarang dimiliki di luar Rusia dan tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.
Aurus Senat Gabung Teknologi, Keselamatan Tinggi
Menurut hantaran itu, Aurus Senat terkenal dengan gabungan teknologi moden dan ciri keselamatan bertaraf tinggi.
Limosin mewah itu adalah antara simbol eksklusif industri automotif Rusia dan dibangunkan khas bagi kegunaan kepimpinan tertinggi negara berkenaan.
Sultan Ibrahim Lawat Muzium Garaj Khas di Moscow
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Muzium Garaj Istimewa (Special Garage Museum) yang menempatkan lebih 50 koleksi kereta dan motosikal rasmi di ibu kota Moscow, Ahad lalu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut:
- Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Rusia, Kirill Alekseevich Lysogorsky
- Pengarah Muzium, Belikov AV
- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAMI, Nazarov FL
Dalam lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai koleksi kenderaan yang dipamerkan di muzium berkenaan.
Majlis Serahan Aurus Senat Turut Diadakan
Majlis penyerahan rasmi limosin Aurus Senat milik Seri Paduka Baginda turut berlangsung di muzium berkenaan.
Lawatan itu adalah sebahagian kunjungan rasmi Sultan Ibrahim ke Moscow atas undangan khas Kerajaan Rusia sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan.
Simbol Diplomasi, Hubungan Dua Hala
Pemilikan Aurus Senat dilihat bukan sekadar simbol kemewahan automotif, tetapi turut membawa makna diplomatik yang mencerminkan hubungan baik kedua-dua negara.
Ini sekali gus memperlihatkan penghormatan tinggi Rusia terhadap Malaysia, dan hubungan dua hala yang terus diperkukuh dalam pelbagai bidang, termasuk diplomasi dan ekonomi.
SUMBER: AstroAwani































