![]()
JENAMA motosikal China, ZXMoto terus mencuri perhatian industri dua roda apabila memperkenalkan dua model baharu, iaitu 820RR-R, sekali gus memperluaskan barisan motosikal berprestasi tinggi keluarannya.
Pelancaran itu hadir ketika ZXMoto sedang menikmati musim sulung yang memberangsangkan dalam Kejuaraan Dunia World Supersport (WorldSSP), dengan jentera 820RR berjaya mencatat enam kemenangan perlumbaan dan meletakkan pengeluar tersebut di tangga ketiga carta pengeluar, di belakang Ducati dan Yamaha.
820RR-R Terima Naik Taraf Prestasi

ZXMoto 820RR-R dibangunkan berasaskan model 820RR, namun menerima pelbagai penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi di litar dan jalan raya.
Model itu masih menggunakan enjin tiga silinder sebaris 819cc bersama casis aluminium, tetapi nisbah mampatan ditingkatkan kepada 13.3:1, selain penggunaan injap titanium menggantikan injap keluli pada model standard.
Hasilnya, kuasa maksimum meningkat kepada 145hp pada 13,500rpm dan 83Nm tork, berbanding 135hp sebelum ini dan 80Nm tork, dengan had putaran enjin mencecah 14,750rpm.
Lebih Ringan, Komponen Premium

Selain peningkatan kuasa, berat keseluruhan turut dikurangkan kepada sekitar 186kg (basah), iaitu kira-kira tujuh kilogram lebih ringan berbanding 820RR standard.
Pengurangan berat itu banyak disumbangkan oleh penggunaan rim aloi tempa, selain model ini turut dilengkapi fork boleh laras penuh KYB 43mm, penyerap hentak belakang KYB serta sistem brek Brembo M50 lengkap dengan pam brek utama Brembo.
Turut melengkapkan pakej ialah lima mod tunggangan, sistem kawalan cengkaman ketika membelok, ABS selekoh, quickshifter dua hala, paparan TFT 6.2 inci berasaskan Android, pemantau tekanan tayar, sistem tanpa kunci serta steering damper dwi-ruang.
Harga Jauh Lebih Murah Berbanding Pesaing Jepun

Di China, ZXMoto menawarkan 820RR-R pada harga sekitar 65,000 yuan (kira-kira RM38,700), jauh lebih rendah berbanding Yamaha YZF-R9 yang dijual pada harga hampir 144,000 yuan (kira-kira RM94,000) di negara tersebut.
Walaupun lebih mahal daripada 820RR standard yang dijual sekitar 46,000 yuan (kira-kira RM30,000), model RR-R masih menawarkan nilai yang kompetitif berdasarkan spesifikasi dan kelengkapan yang diberikan.
Larang Penunggang Baharu Membeli 820 Series

Menariknya, pengasas ZXMoto, Zhang Xue, mengambil pendekatan luar biasa dengan menetapkan bahawa siri 820 tidak boleh dibeli oleh individu yang mempunyai pengalaman menunggang kurang daripada setahun di China.
Menurut syarikat itu, langkah tersebut diambil atas faktor keselamatan memandangkan prestasi motosikal berkenaan dianggap terlalu tinggi untuk penunggang baharu.
Lebih unik, ZXMoto turut menawarkan ganjaran 5,000 yuan kepada mana-mana individu yang melaporkan pembeli yang didapati tidak memenuhi syarat pengalaman menunggang, selepas laporan tersebut disahkan oleh pihak pengeluar.

Pengembangan Pasaran Global Sedang Bermula
ZXMoto kini giat mengembangkan operasinya ke pasaran antarabangsa. Jenama itu sudah mengumumkan kemasukannya ke pasaran United Kingdom dengan menawarkan model 500RR dan MX250, manakala 820RR serta 500F dijangka menyusul pada 2027.
Syarikat itu turut menyenaraikan Amerika Syarikat sebagai antara destinasi pasaran masa depan, sekali gus menunjukkan hasrat untuk bersaing dengan jenama motosikal utama dunia dalam segmen motosikal berprestasi tinggi.
SUMBER: CycleWorld














