WMOTO memperkenalkan skuter baharu WMoto NX150S 2026 yang sarat pelbagai ciri moden dan direka untuk praktikaliti, selain dilengkapi teknologi terkini dan mudah ditunggang harian pada harga kompetitif.
Ditawarkan pada harga RM6,688 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), WMoto NX150S 2026 hadir dalam pilihan tiga warna: Grind Green (hijau), Glacier Grey (kelabu) dan Lava Brown (coklat).
Enjin 149.6cc Berkuasa 11.6kW
WMoto NX150S 2026 dikuasakan enjin 4-lejang silinder tunggal 149.6cc penyejukan cecair dengan sistem pencucuhan unit kawalan elektronik (ECU) dan penghidup elektrik yang menghasilkan output kuasa 11.6kW (15.6hp) @ 8,500rpm, dan tork 14.7Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT bersama pacuan akhir jenis tali sawat bagi memberikan pecutan lancar dan mudah dikendali untuk tunggangan harian.
Kapasiti tangki petrol 15 liter memberikan jarak tunggangan lebih jauh, manakala sistem pelinciran adalah gabungan tekanan dan percikan minyak.
Suspensi Teleskopik, Brek Cakera dengan ABS
Dari segi casis, WMoto NX150S 2026 menggunakan fork teleskopik di depan dan dwi-absorber (belakang) untuk keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan ketika menunggang di bandar.
Sistem brek menggunakan brek cakera tunggal di depan dan belakang, serta dipadankan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek.
Tayar 13 Inci, Dimensi Kompak
WMoto NX150S 2026 menggunakan tayar 130/70-13 di depan dan belakang, termasuk dipasang rim aluminium bagi memberikan kestabilan dan cengkaman baik.
Dari segi dimensi, skuter tersebut memiliki dimensi panjang 1,954mm, lebar 780mm dan tinggi 1,162mm, manakala jarak roda 1,363mm.
Tinggi pelana 758mm, dan jarak tinggi bumi 90mm, manakala berat bersih 132kg, membuatkan skuter itu mudah ditunggang untuk penggunaan harian.
PAnel Meter LCD, Kunci Pintar, Kawalan Traksi
Ciri kemudahan dan teknologi WMoto NX150S dilengkapi panel meter LCD, sistem kunci pintar dan port USB jenis Type-A dan Type-C.
Antara ciri keselamatan diberikan ialah suis keselamatan tongkat sisi, tuil brek boleh laras dan Sistem Kawalan Traksi (TCS) yang boleh dinyah aktif. Sistem lampu pula menggunakan lampu LED penuh pada lampu depan, lampu belakang, lampu signal belok dan lampu kecemasan.
Praktikaliti skuter itu dilengkapi cangkuk tersembunyi, ruang simpanan depan dan ruang simpanan bawah pelana 19 liter. Ia juga didatangkan visor angin bagi meningkatkan keselesaan tunggangan dan menggunakan bateri 12V7Ah.
Waranti Dua Tahun
Dengan gabungan ciri praktikal, teknologi moden dan harga kompetitif, WMoto NX150S 2026 direka bagi memenuhi keperluan mobiliti harian penunggang di Malaysia.
Setiap pembelian WMoto NX150S 2026 disertakan waranti pengeluar dua [2] tahun atau 20,000km (mana satu tiba dahulu) dan sokongan pembelian alat ganti tulen secara salam talian daripada Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.



































