PENGEDAR rasmi kenderaan Subaru di Malaysia, TC Subaru Malaysia hari ini rasmi melancarkan Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 di The Gardens Mall, Kuala Lumpur yang menandakan kemasukan generasi baharu kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B itu ke pasaran tempatan.
Model serba baharu itu ditawarkan pada harga RM190,788 (persendirian) dan RM190,988 (syarikat), tidak termasuk insurans, yang juga unit import penuh (CBU) dari Jepun, selari strategi Subaru yang kini beralih sepenuhnya kepada barisan model CBU untuk Malaysia.
Evolusi XV – Masih DNA Sama, Tapi Lebih Matang
Kalau nama Crosstrek rasa ‘janggal’, sebenarnya ini ialah model pengganti Subaru XV generasi terdahulu. Secara asas, masih berpaksikan platform hatchback Subaru Impreza, tetapi dalam gaya SUV yang lebih rugged.
Antara ciri klasik SUV subkompak itu adalah:
- Pelapik (cladding) plastik hitam pada gerbang roda
- Rekabentuk badan lebih tinggi
- Jarak tinggi bumi 200mm
Semua ciri di atas masih dikekalkan yang menjadikan model tersebut sesuai untuk pemanduan bandar dan juga off-road ringan.
Dimensi Baharu, Platform Dipertingkat
Dibina berasaskan platform versi terkini Subaru Global Platform (SGP), Subaru Crosstrek generasi ketiga ini hadir dengan sedikit perubahan dimensi:
- Panjang: 4,480mm (+15 mm)
- Lebar: 1,800mm
- Tinggi: 1,575mm (-40 mm, lebih rendah dan stabil)
- Jarak roda: 2,670mm
Secara ringkas, Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 nampak lebih lebar, rendah dan sporty berbanding model lama.
Pertaruh Enjin Boxer NA, AWD Sebagai Resipi
Tiada kejutan besar di bawah bonet, tetapi sebenarnya berita baik buat peminat Subaru. Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 dilengkapi spesifikasi berikut:
- Enjin Boxer aspirasi natural (NA) 2.0L 4-silinder (FB20D)
- Output kuasa: 156ps @ 6,000rpm, dan tork 196 Nm @ 4,000rpm
- Transmisi Lineartronic CVT
- Sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive (AWD)
Tetapan tersebut memang sinonim dengan Subaru yang walaupun bukan paling pantas, tetapi menumpukan kepada keseimbangan, kestabilan dan kawalan.
Rekabentuk Luaran Nampak Macam Biasa, Tapi Lebih Garang
Dari segi gaya, Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 masih mengekalkan bentuk asas lama, tapi dengan sentuhan lebih moden.
Antara perubahan utama adalah:
- Gril heksagon lebih besar dan agresif
- Jalur krom bersambung dengan lampu siang (DRL) LED
- Elemen rekabentuk ‘C-shape’ pada lampu dan bampar
- Rim 18 inci dengan tayar 225/55 R18
- Rel bumbung lebih bersegi (gaya rugged)
Secara keseluruhan, rupa model kali ini lebih matang dan premium berbanding XV sebelum ini.
Dalaman Gaya Moden Ala Subaru WRX
Masuk kabin, rekabentuk papan pemuka kini mengambil ilham model Subaru seperti Levorg dan WRX. Antara ciri utama:
- Unit infotainmen vertikal di tengah
- Kluster instrumen analog + paparan multo-info (MID) digital
- Tiada lagi skrin kecil atas papan pemuka (XV lama)
- Port USB Type-C dan Type-A (depan dan belakang)
- Pengecas wayarles Qi
- Konektiviti Android Auto dan Apple CarPlay
Tempat duduk belakang pula boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40,tersedia pautan ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, dan tayar ganti jenis jimat ruang
EyeSight – ADAS Lengkap Sebagai Standard
Seperti nama varian, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), EyeSight menjadi tumpuan utama, seperti:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Henti dan Mula (Stop & Go)
- Bantuan Pemusatan Lorong (LCA)
- Bantu Stereng Elak (ESA)
- AEB ketika mengundur
- Sistem Pemantau Pemandu (DMS)
Ini adalah antara pakej ADAS paling lengkap dalam kelas.
Kehadiran Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 di Malaysia bukan sekadar model baharu, tetapi kesinambungan DNA Subaru yang menumpukan kepada aspek keselamatan, kestabilan dan pemanduan meyakinkan.
Kelebihan Utama
- AWD standard (jarang ada dalam segmen ini)
- ADAS EyeSight lengkap
- Kualiti pemasangan Jepun (CBU)
- Pengendalian tipikal Subaru
Kekangan
- Enjin NA mungkin rasa ‘kurang menyengat’ berbanding turbo pesaing
- Harga cecah RM190,000, sudah masuk zon kompetitif SUV segmen-C
Namun kepada mereka yang mahukan SUV dengan ciri AWD sebenar, dan karakter pemanduan unik, Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 kekal sebagai pilihan yang unik dan langka di pasaran Malaysia.













































































