PEMILIK kereta mewah dikatakan mampu berbelanja sehingga RM400,000 seorang sepanjang tempoh percutian. Angka itu menggambarkan betapa besar nilai segmen pelancongan premium yang pernah menjadi nadi ekonomi Pulau Bebas Cukai itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, jika status bebas cukai penuh dikembalikan, Langkawi berpotensi menghidupkan semula ekosistem berimpak tinggi ini, yang bukan sekadar pelancongan biasa, tetapi perbelanjaan kelas atasan yang memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan.
Langkawi Sebagai ‘Safe Haven’
Beliau berkata, Langkawi suatu ketika dahulu menjadi lokasi simpanan lebih 2,000 unit kereta mewah milik individu berprofil tinggi dari seluruh dunia. Kehadiran kenderaan itu bukan sekadar gaya hidup, tetapi mencipta rantaian industri tersendiri.
Pemilik kenderaan akan datang semula secara berkala, menggunakan kereta mereka dan berbelanja dalam jumlah besar sepanjang berada di pulau tersebut.
Mereka datang dan berbelanja besar.
“Pengusaha kereta mewah memaklumkan saya, jualan tahunan sebelum ini adalah sekitar 250 unit. Setiap kali pemiliknya datang ke Langkawi, mereka berbelanja sehingga RM400,000 seorang. Ini menyumbang kepada ekonomi tempatan dan hasil Kerajaan,” katanya.

Ekosistem Premium: Bilik Pameran, Simpanan Hingga Servis Khas
Kehadiran segmen itu secara langsung mencipta permintaan terhadap fasiliti khas seperti bilik pameran eksklusif, pusat jualan, gudang penyimpanan, garaj khas dan pusat servis bertaraf tinggi.
Sanusi berkata, semua komponen itu berkembang seiring, menjadikan industri kereta mewah sebagai antara pemacu ekonomi yang signifikan di Langkawi ketika itu.
Polisi Berubah, Segmen Elit Terjejas
Namun, perubahan kepada polisi bebas cukai memberi kesan besar. Kini, pengecualian hanya terpakai kepada kenderaan di bawah RM300,000, sekali gus menutup ruang kepada pasaran kereta mewah.
Apabila kemudahan ini ditarik balik, kita kehilangan segmen utama pelancong yang berbelanja tinggi,” katanya.
Isu Sebenar: Penguatkuasaan, Bukan Pemansuhan
Beliau turut menyentuh punca perubahan dasar itu, iaitu kegagalan sebahagian pemilik mematuhi syarat membawa semula kenderaan selepas keluar ke tanah besar.

Bagaimanapun, Sanusi berpendapat langkah lebih tepat adalah memperketat penguatkuasaan, bukan menarik balik keistimewaan tersebut.
Ada undang-undang untuk kereta yang dibawa keluar dari pulau. Saya percaya pihak Kastam boleh menguruskannya.
“Penguatkuasaan yang sepatutnya diperketat, bukan menarik balik keistimewaan bebas cukai tersebut,” tegas beliau.
Kesan Berganda kepada Ekonomi, MM2H
Industri itu bukan saja menjana pendapatan langsung, tetapi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan menyokong sektor lain seperti hartanah melalui program Malaysia My Second Home (MM2H).
Walaupun Langkawi terkenal dengan alam semula jadi dan aktiviti membeli-belah, segmen automotif mewah dilihat sebagai antara penyumbang utama perbelanjaan skala besar.
Kutipan Mencecah RM150 Juta Setahun
Sanusi turut mendedahkan, hasil berkaitan pergerakan keluar masuk kenderaan ke Langkawi pernah mencapai sekitar RM150 juta setahun.
Sektor kereta mewah ini akan kembali aktif jika pembeli dapat menikmati status bebas cukai. Apabila segmen ini disekat, kita kehilangan sumber pendapatan besar untuk Langkawi dan negara,” katanya.
Peluasan Status Bebas Cukai Jadi Kunci
Usaha menghidupkan semula sektor itu selari titah Sultan Kedah yang mahu senarai barangan bebas cukai dipeluaskan bagi mengembalikan daya saing Langkawi sebagai destinasi utama.
Pada masa sama, beliau mengakui segmen pelancongan mewah seperti hotel lima hingga tujuh bintang masih bertahan, tetapi penginapan bajet dan homestay semakin terkesan, antaranya disebabkan kekangan perkhidmatan feri.
Bola di Tangan Pembuat Dasar
Asasnya, Langkawi masih mempunyai kekuatan untuk kembali menjadi hab pelancongan premium di rantau ini.
Namun, kebangkitan semula industri kereta mewah bergantung sepenuhnya kepada hala tuju dasar, sama ada mahu membuka semula potensi besar itu atau terus membiarkannya sebagai peluang yang tidak dimanfaatkan.
SUMBER: The Star | The Vocket | FB Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)


















