
SEMPENA ulang tahun ke-40 model ikonik, BMW memperkenalkan BMW M3 40th Anniversary Limited Edition (BMW M3 Edition 40 Jahre), yang membuat kemunculan sulung di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2026 (Auto China 2026).
Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu sedan dan touring (wagon), dengan jumlah keseluruhan hanya 40 unit untuk pasaran China, masing-masing 20 unit setiap varian dan pelancaran pasaran dijadualkan pada separuh kedua 2026.

Model edisi khas ini dibangunkan berasaskan warisan perlumbaan dan DNA prestasi tinggi BMW M3, yang selama empat dekad mentakrifkan keseronokan pemanduan berkonsepkan man and machine as one.
40 tahun warisan perlumbaan BMW M3
Sejak diperkenalkan pada 1986, BMW M3 dibangunkan untuk memenuhi keperluan homologasi perlumbaan German Touring Car Masters (DTM). Model ini dikenali dengan badan ringan, pengendalian tepat serta enjin aspirasi semula jadi putaran tinggi, sekali gus membentuk asas DNA sebagai jentera yang dilahirkan untuk litar.
Sepanjang sejarahnya, BMW M3 mencatat pelbagai kejayaan di litar seluruh dunia dan terus mengukuhkan status sebagai penanda aras dalam prestasi pengendalian. Falsafah prestasi BMW M tidak hanya tertumpu kepada kelajuan, tetapi menekankan ketepatan, keseimbangan dan kawalan.
Setiap generasi BMW M3 dibangunkan dengan pendekatan menyeluruh melibatkan trenkuasa, struktur casis dan sistem kawalan elektronik, melalui ujian litar yang ketat serta talaan terperinci bagi mencapai keseimbangan antara pemanduan harian dan prestasi ekstrem.
Selepas 40 tahun evolusi, model ini kekal sebagai antara sedan sport paling ikonik dalam segmennya.
Gayaan Eksklusif Edisi Terhad

Bagi edisi ulang tahun ke-40 ini, kedua-dua varian menampilkan elemen rekaan eksklusif yang diilhamkan daripada model klasik BMW M, digabungkan dengan pendekatan moden.
Varian sedan hadir dengan kemasan warna Laguna Seca Blue, dipadankan rim 826M bersaiz 19/20 inci berwarna hitam serta kaliper brek prestasi M berwarna biru, menonjolkan imej sport yang dinamik.
Varian touring pula menggunakan warna Wildberry Red, digabungkan rim 826M berwarna Crimson Copper bersaiz 19/20 inci serta kaliper brek prestasi M berwarna merah, menghasilkan kontras visual yang lebih menonjol.

Kedua-dua model menampilkan kemasan hitam pada bahagian luaran termasuk gril double kidney berbingkai hitam yang diperkenalkan buat pertama kali untuk edisi terhad, serta lampu hadapan jenis smoked.
Elemen eksklusif turut diterapkan melalui lencana 40th Anniversary Limited Edition pada bumbung, ambang pintu, penyandar kepala kerusi hadapan dan pemegang cawan tengah.

Di ruang kabin, kedua-dua model dilengkapi kerusi bucket gentian karbon BMW M dengan balutan kulit Merino dalam gabungan Silverstone White dan hitam.
Varian sedan menampilkan jahitan Arctic Blue, manakala touring menggunakan jahitan Amethyst bagi membezakan identiti setiap model.

Stereng pelbagai fungsi BMW M berbalut Alcantara dengan fungsi pemanas turut disediakan sebagai standard, menawarkan cengkaman lebih baik tanpa menjejaskan keselesaan pemanduan harian.
Trenkuasa dan Prestasi
Kedua-dua varian BMW M3 40th Anniversary Limited Edition dilengkapi enjin 3.0 liter enam silinder sebaris turbo kembar, turbo berprestasi tinggi eksklusif M, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda pintar M xDrive.

Gabungan ini memastikan keseimbangan antara prestasi berkuasa, cengkaman optimum dan pengendalian tepat, selari dengan falsafah man and machine as one.
Model ini turut dilengkapi M Driving Mode sebagai standard, membolehkan tetapan dinamik kenderaan dilaraskan mengikut keperluan pemanduan sama ada untuk kegunaan harian atau pemanduan di litar.

Kelajuan maksimum turut dipertingkatkan dengan angka berikut:
- Sedan: 290 km/j
- Touring: 280 km/j
BMW M3 40th Anniversary Limited Edition dijadualkan dilancarkan di China pada separuh kedua 2026.
BMW M3 40th Anniversary Limited Touring
BMW M3 40th Anniversary Limited Edition Sedan
BMW M3 40th Anniversary Limited Edition
















