
SEJAK ditubuhkan pada tahun 1945, MV Agusta bukan sekadar menghasilkan motosikal berprestasi tinggi, malah setiap model dibangunkan dengan pendekatan yang menggabungkan kejuruteraan dan seni dalam satu produk.
Menurut pengeluar Itali itu, falsafah yang digelar “Where Engineering Becomes Art” bermaksud setiap komponen direka bukan sahaja untuk berfungsi dengan baik, tetapi turut memiliki nilai estetik yang tinggi, termasuk bahagian yang biasanya tidak kelihatan.

Malah, apabila sesebuah motosikal dibuka atau dileraikan, kemasan pada bahagian dalaman komponen tetap diberikan perhatian sama seperti bahagian luar, tanpa mengabaikan kualiti atau mengambil jalan mudah.
Menurut Ketua Produk MV Agusta, Federico Macario, setiap komponen dibangunkan supaya kelihatan menarik dan kekal berkualiti walaupun selepas dibuka daripada motosikal.
Beliau berkata pendekatan itulah yang menjadikan setiap motosikal MV Agusta bukan sekadar sebuah jentera, tetapi juga sebuah karya seni.
Bahan Dipilih Berdasarkan Fungsi

Berbeza dengan sesetengah pengeluar yang menonjolkan prestasi melalui angka semata-mata, MV Agusta menjelaskan setiap bahan yang digunakan dipilih berdasarkan fungsi sebenar.
Antara faktor yang diambil kira ialah keupayaan bahan menahan beban, getaran dan berat keseluruhan komponen. Pendekatan itu diterapkan pada pelbagai komponen utama, dengan penggunaan bahan berbeza mengikut tahap model.
Evolusi Penggunaan Bahan

Salah satu contoh ialah penyokong papan pemuka (dashboard support) yang dipasang terus pada tangki minyak, reka bentuk yang menurut MV Agusta tidak ditawarkan oleh pesaing lain.
Komponen itu bermula dengan penggunaan bilet luminium yang dimesin daripada bongkah pepejal bagi mendapatkan kekuatan optimum.
Pada Rush Mamba, ia menggunakan aluminium tersinter (sintered) yang dibangunkan menggunakan perisian pengoptimuman topologi.
Kaedah itu mengenal pasti bahagian yang menerima beban dan getaran sebelum bahan pada bahagian yang tidak diperlukan dibuang bagi mengurangkan berat.

Bagi Rush Titanio, komponen sama dihasilkan menggunakan titanium, membolehkan ketebalan bahan dikurangkan sekali gus menjadikannya lebih ringan serta mempunyai kemasan lebih halus.
Pendekatan sama turut digunakan pada sokongan lampu hadapan, yang dihasilkan menggunakan keluli, kemudian bilet aluminium, sebelum beralih kepada titanium.
Begitu juga dengan emblem Itali (fregio), yang berevolusi daripada aloi yang dicap kepada kepada bilet aluminium, sebelum menggunakan titanium pada model Rush Titanio.
Titanium Bukan Sekadar Hiasan

MV Agusta menggunakan titanium kerana kelebihan prestasi dan kejuruteraannya, bukan semata mata untuk mencantikkan motosikal.
Antara penggunaan titanium pada motosikal MV Agusta ialah:
- 16 injap radial titanium pada enjin empat silinder bagi mengurangkan jisim komponen yang bergerak dan membantu enjin beroperasi pada putaran tinggi.
- Empat rod penyambung (connecting rod) titanium tempa untuk mengurangkan berat komponen dalaman enjin.
- Digunakan pada sistem ekzos yang dibangunkan bersama Arrow dan Akrapovič, termasuk sistem penuh serta sistem yang memenuhi piawaian homologasi.
- Pada Rush Titanio, titanium turut digunakan pada sokongan papan pemuka, sokongan lampu hadapan dan lencana fregio, membolehkan reka bentuk lebih nipis, ringan dan kemas.
Gentian Karbon Sebagai Struktur dan Kemasan

MV Agusta turut menggunakan gentian karbon sebagai bahan struktur dan juga elemen visual.
Komponen seperti roda serta sokongan papan pemuka Superveloce 1000 Serie Oro dihasilkan menggunakan teknik laminasi tangan dan proses autoklaf, selain kaedah “compression moulded pre-preg” bagi mencapai kekuatan tinggi.
Corak anyaman gentian karbon juga ditawarkan dalam pilihan twill, plain (biasa) atau chopped short fibre.
Kemasan pula ditawarkan dalam pilihan berkilat, lutsinar, kusam atau lutsinar berwarna yang menampakkan pigmen di bawah anyaman karbon.
Roda Mengikut Keperluan Model

MV Agusta menggunakan beberapa jenis roda mengikut karakter dan keperluan setiap model:
- Roda jejari yang direka untuk tayar tanpa tiub pada Enduro Veloce, Superveloce 1000 AGO dan Superveloce 98.
- Roda aluminium tuang.
- Roda aluminium tempa.
- Roda gentian karbon penuh pada F3 Competizione, yang juga pilihan paling ringan dalam barisan model syarikat.
Pelana Diberi Perhatian Khas

Bagi MV Agusta, pelana bukan sekadar tempat penunggang duduk, tetapi sebahagian daripada identiti sesebuah motosikal.
Model asas menggunakan beberapa jenis bahan yang dicantum menggunakan jahitan kontras, berbanding hanya menggunakan satu lapisan penutup.
Model lebih tinggi pula menerima kemasan Alcantara yang dilindungi teknologi EXO bagi meningkatkan ketahanan terhadap air.
Bagi Superveloce 1000 Serie Oro, pelana menggunakan gabungan kulit anak lembu asli (full grain calf leather) dan Alcantara.

Pelbagai teknik kemasan turut digunakan seperti jahitan berpetak (quilting), sulaman (embroidery), ukiran laser (laser engraving) dan kimpalan haba (thermo welding) pada Alcantara bagi meningkatkan ergonomik serta ketahanan.
Rush Titanio pula didakwa menjadi motosikal pertama di dunia yang menggunakan pelana diperbuat sepenuhnya daripada Alcantara dengan gabungan teknik kimpalan haba dan ukiran laser pada satu komponen.
Cat dan Grafik Dibuat di Itali

Semua motosikal MV Agusta dicat sepenuhnya di Itali menggunakan warna yang dibangunkan sendiri oleh syarikat.
Grafik pula dipasang menggunakan pelekat berasaskan air sebelum disalut di antara lapisan clear, menghasilkan permukaan yang lebih licin, tahan lama dan memberi kesan visual yang lebih mendalam berbanding pelekat biasa.





































