LEBIH dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang bakal menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih efisien harini apabila Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau kini dikenali sebagai Laluan Shah Alam mula beroperasi sepenuhnya bermula hari ini (Isnin), 29 Jun 2026.
Laluan sepanjang 37.8km yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia itu dibangunkan bagi meningkatkan kesalinghubungan rangkaian rel bandar selain membantu mengurangkan kesesakan trafik yang semakin kritikal di kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.
Laluan Strategik Hubungkan Bandar Utama, Klang
Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata, projek bernilai RM16.63 bilion itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kawasan sepanjang jajaran LRT3.
Menurut beliau, LRT Laluan Shah Alam turut menyediakan akses lebih mudah ke beberapa kawasan tumpuan utama seperti pusat komersial, kawasan perumahan dan hab perniagaan di Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.
Sasaran Lebih 67,000 Penumpang Sehari Tahun Pertama
Pihak pengendali menyasarkan purata 67,000 perjalanan penumpang setiap hari pada tahun pertama operasi sebelum angka itu meningkat kepada lebih 117,000 penumpang sehari dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perjalanan dari hujung ke hujung laluan dijangka mengambil masa kira-kira 70 minit, sekali gus menawarkan alternatif lebih pantas berbanding perjalanan menggunakan kenderaan persendirian pada waktu puncak.
Integrasi Laluan Rel Sedia Ada
Bagi memudahkan pergerakan pengguna, LRT Laluan Shah Alam disambungkan secara terus dengan dua rangkaian rel utama sedia ada di Lembah Klang.
Antaranya, sambungan ke Laluan Kelana Jaya menerusi Stesen Glenmarie 2, dan akses ke Laluan Kajang MRT melalui Stesen Bandar Utama, membolehkan penumpang melakukan pertukaran tren lebih mudah.
Lima Stesen Ditangguh Akan Dibina Semula
Kerajaan sebelum ini mengesahkan pembinaan semula lima stesen ditangguh, iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik menerusi peruntukan RM4.7 bilion di bawah Belanjawan 2024.
Pembinaan stesen tambahan tersebut dijadualkan bermula penghujung tahun ini bagi meningkatkan lagi liputan perkhidmatan kepada penduduk kawasan sekitar.
Tren Tambahan, Bas Elektrik Sokong Operasi
Peruntukan sama turut merangkumi pembelian tujuh set tren tambahan, peluasan depoh sedia ada di Johan Setia dan penambahbaikan sistem sokongan operasi.
Selain itu, Kerajaan turut melaburkan RM600 juta bagi pemerolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan dua depoh bas baharu sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara.
LRT3 Guna Teknologi U-Trough Pertama di Malaysia
Projek LRT3 turut mencipta sejarah sebagai sistem rel pertama negara yang menggunakan teknologi U-Trough iaitu struktur jejambat berbentuk ‘U’ yang direka dengan pengadang bunyi terbina dalam.
Teknologi tersebut bukan saja membantu mengurangkan pencemaran bunyi kepada penduduk sekitar, malah mempercepat proses pembinaan dan pemasangan infrastruktur laluan rel.
Ciri Hijau, Penjimatan Tenaga Diterap
Aspek kelestarian turut diberi perhatian menerusi penggunaan sistem brek regeneratif yang mampu menukarkan tenaga daripada proses membrek kepada tenaga elektrik untuk kegunaan fasiliti stesen.
Selain itu, stesen direka dengan sistem pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, manakala air hujan dikitar semula untuk kegunaan tandas dan penyiraman landskap.
Tren Dilengkapi Teknologi Penyaman Udara Pintar
Keselesaan penumpang turut dipertingkat menerusi penggunaan sistem penyaman udara teknologi inverter bersama sistem kawalan pintar yang mampu menyesuaikan suhu berdasarkan jumlah penumpang dalam tren.
Setiap gerabak juga dilengkapi lampu LED cekap tenaga dan sistem pencahayaan pintar yang memanfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan penggunaan elektrik.
22 Tren CRRC Zhuzhou dengan Kapasiti 624 Penumpang
LRT Laluan Shah Alam akan dikendali menggunakan 22 unit tren tiga gerabak keluaran CRRC Zhuzhou yang mampu mencapai kelajuan operasi maksimum 80kmj.
Setiap tren mempunyai kapasiti sehingga 624 penumpang, manakala keseluruhan laluan merangkumi 20 stesen, termasuk 2.5km jajaran bawah tanah.
Frekuensi Seawal 8 Minit pada Waktu Puncak
Perkhidmatan LRT3 akan beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan kekerapan 8 minit pada waktu puncak.
Bagi waktu luar puncak pula, tren dijadualkan tiba setiap 10 hingga 15 minit bergantung permintaan penumpang dan situasi operasi semasa.
Lebih 2,300 Petak Parkir ‘Park And Ride’ Disediakan
Bagi pengguna yang memandu ke stesen, sebanyak 2,300 petak parkir Park & Ride disediakan di enam stesen utama sepanjang laluan tersebut.
Antara stesen yang menawarkan kemudahan itu ialah Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Besar Klang, Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Kemudahan Mesra OKU Diberi Keutamaan
Semua stesen dan tren dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pengguna orang kurang upaya (OKU) seperti penyediaan laluan landai, lif, tandas khas serta penanda sentuhan (tactile) untuk golongan cacat penglihatan.
Selain itu, setiap gerabak turut dilengkapi sistem hebahan audio, lampu penunjuk pintu dan ruang khas untuk pengguna kerusi roda bagi memastikan perjalanan lebih selesa dan selamat.
Bas Perantara, Rapid On-Demand Lengkapkan Ekosistem Pengangkutan
Bagi memperkukuhkan perjalanan batu pertama dan batu terakhir, sebanyak 40 bas perantara melibatkan 13 laluan dan 323 hentian disediakan dengan tambang RM1.
Perkhidmatan Rapid On-Demand pula menggunakan 44 van kapasiti 10 penumpang di 20 zon berbeza dengan kadar tambang RM2, sekali gus melengkapkan rangkaian mobiliti untuk pengguna LRT Shah Alam.
SUMBER: BeritaHarian























