
JENAMA motosikal, Honda Motorcycle & Scooter India (HMSI) secara rasmi memperkenalkan Honda XR300L dan Honda XR300 Rally serba baharu, sekali gus menambah pilihan dalam segmen motosikal dwi-kegunaan (dual-purpose) dan adventure ringan yang kini semakin mendapat perhatian di pasaran global.
Pelancaran itu turut menyaksikan kemas kini beberapa model lain seperti ADV160, CB500, CB350S serta Rebel 300 dan Rebel 500. Namun, kemunculan dua model XR baharu ini menjadi tumpuan utama kerana menawarkan alternatif lebih mampu milik kepada peminat motosikal adventure dan lasak.
XR300L Fokus Tunggangan Harian, Off-Road, XR300 Rally Lebih Sesuai Kembara

XR300L dibangunkan sebagai motosikal serba boleh yang menggabungkan kemampuan tunggangan lasak di laluan off-road dengan keselesaan penggunaan harian. Model itu dijana enjin silinder tunggal 293.5cc penyejukan udara yang turut dilengkapi penyejuk minyak (oil cooler), dengan fokus diberikan kepada meringankan beban, mudah dikendalikan dan mesra penunggang pelbagai tahap pengalaman.
Suspensi jenis panjang (long-travel suspension) membolehkan XR300L mengharungi laluan tanah, denai serta jalan tidak berturap dengan lebih yakin sebelum kembali digunakan di jalan raya seperti motosikal harian biasa.
XR300 Rally Tampil Dengan Gaya Dakar, Sesuai Pengembaraan Jarak Jauh

Bagi mereka yang gemar menjelajah, XR300 Rally dibina berasaskan platform sama tetapi menerima pelbagai kelengkapan tambahan untuk perjalanan jarak jauh. Rekaan badan diinspirasikan daripada jentera rali Dakar Honda, termasuk fairing lebih besar, pelindung angin yang lebih tinggi serta ergonomik yang lebih selesa untuk tunggangan lama.
Laporan dari India turut menyatakan XR300 Rally bakal dilengkapi sistem sambungan telefon pintar Honda RoadSync, sekali gus menawarkan lebih banyak ciri moden berbanding XR300L yang tampil dengan spesifikasi lebih asas.
Kongsi Platform CB300F, Belum Disahkan Untuk Pasaran Global

Walaupun Honda masih belum mendedahkan spesifikasi penuh, kedua-dua model dipercayai menggunakan platform serta enjin yang sama seperti Honda CB300F yang dipasarkan di India. Ini bermakna kuasanya dijangka sekitar 25hp, selain dipadankan rim jejari bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sistem ABS dwi-saluran boleh dinyahaktif, serta casis yang direka khusus untuk kegunaan off-road.
Buat masa ini, Honda hanya mengesahkan XR300L dan XR300 Rally untuk pasaran India, dengan pengeluaran dilakukan di negara itu. Tiada sebarang pengumuman mengenai pemasaran global termasuk Asia Tenggara atau Eropah.
Sekiranya model ini diperkenalkan ke Malaysia pada masa depan, ia berpotensi menjadi pilihan menarik dalam segmen motosikal adventure 300cc yang semakin berkembang, terutama bagi penunggang yang mahukan gabungan kemampuan off-road, praktikaliti harian dan harga yang lebih kompetitif berbanding model adventure berspesifikasi lebih tinggi.
SUMBER: AutoCar India













