![]()
PENGEDAR motosikal, Boon Siew Honda terus mengukuhkan barisan motosikal sport fairing mereka dengan memperkenalkan Honda CBR150R warna baharu Black, atau lebih tepat digelar Stealth edition.
Selepas kemunculan edisi khas CyberRoar tahun lalu, versi kali ini tampil dengan imej lebih gelap, lebih garang dan lebih matang. Kalau sebelum ini ramai sinonimkan CBR150R dengan livery Trico, versi Stealth Black ini nampak lebih low-profile tetapi masih ada aura sportbike yang kuat.
Rekaan Lebih Gelap, Lebih Agresif

Apa yang terus mencuri perhatian ialah kemasan matte black yang memberikan karakter lebih taktikal dan premium. Tanpa kemasan berkilat, garisan fairing aerodinamik serta bentuk agresif CBR150R kini nampak lebih menyerlah.
Sesuai untuk penunggang yang mahukan gaya lebih stealth tetapi masih mahu motosikal yang nampak sporty atas jalan.
Enjin 150cc – 16.1 HP, 13.7 Nm

Di sebalik rupa baharu, spesifikasi mekanikal kekal sama dan masih antara yang kukuh dalam kelas 150cc.
CBR150R dikuasakan enjin 150cc DOHC 4-injap penyejukan cecair, menghasilkan 12.0 kW, yang bersamaan kira-kira 16.1 HP, bersama 13.7 Nm tork.
Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan, lengkap dengan Assist & Slipper Clutch untuk pertukaran gear yang lebih lancar, selain membantu mengurangkan rear wheel hop ketika downshift agresif.
Suspensi USD, Tangki 12 Liter

Dari segi casis, model ini masih mengekalkan fork depan jenis upside-down (USD) dengan kemasan warna emas yang memang jadi signature CBR150R. Setup ini bukan sahaja nampak premium, tetapi turut membantu kestabilan bahagian depan dan memberi feedback lebih baik ketika masuk selekoh.
Tangki bahan api pula berkapasiti 12 liter, direka untuk ergonomik tunggangan yang lebih selesa sambil mengekalkan kecekapan aerodinamik.
Ciri Keselamatan Lengkap

Seperti biasa, Honda terus mengekalkan fokus pada aspek keselamatan.
Antara ciri utama termasuk:
- ABS dua saluran (Dual-Channel ABS)
- Emergency Stop Signal (ESS)
- Sistem lampu LED penuh
- Meter digital penuh
Ciri-ciri ini turut menyumbang kepada penarafan 5-Star MyMAP, sesuatu yang cukup penting untuk pembeli muda dan penunggang harian.
Harga Honda CBR150R Stealth Black Malaysia
Honda CBR150R warna baharu Black, bersama pilihan Tricolor Black dan Silver, ditawarkan pada harga cadangan RM13,399.
Harga ini adalah harga bilik pameran dan tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.
Model ini akan mula berada di semua pengedar sah Honda Impian X seluruh negara bermula 16 April 2026.
Boon Siew Honda turut menawarkan waranti pengilang dua tahun atau 20,000 km, mana yang tiba dahulu.
Secara keseluruhan, warna Stealth Black ini memang nampak fresh dan bagi kami, antara pilihan paling cun untuk mereka yang mahukan CBR150R dengan imej lebih mature dan lebih ganas atas jalan.














