Close Menu
PanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
Facebook Instagram YouTube TikTok Threads
  • UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI
  • DriveFast.com.my (English)
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
PanduLaju.com.myPanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
PanduLaju.com.my
Home»Auto Terkini»Ferrari 12Cilindri Manuale – Gear Manual Kembali, Tanpa Transmisi Manual!
Auto Terkini

Ferrari 12Cilindri Manuale – Gear Manual Kembali, Tanpa Transmisi Manual!

Abang HirataBy Abang Hirata06/07/2026
Facebook Twitter Telegram Threads
Share
Facebook Twitter Telegram Threads

FERRARI memperkenalkan 12Cilindri Manuale, sebuah edisi khas berasaskan Ferrari 12Cilindri yang mengembalikan pengalaman pemanduan menggunakan tuil gear manual, namun dengan pendekatan yang jauh berbeza daripada transmisi manual konvensional.

Model ini menampilkan sistem Manuale By-Wire, iaitu teknologi baharu yang membolehkan pemandu mengendalikan pertukaran gear menggunakan tuil gear dan pedal klac, sambil mengekalkan kelebihan transmisi F1 DCT 8-kelajuan.’

Sistem itu dibangunkan di Maranello bagi menggabungkan emosi pemanduan Ferrari Gran Turismo era 1950-an hingga 1970-an dengan ketepatan teknologi moden, sekali gus mewujudkan hubungan lebih langsung antara pemandu dan jentera.

Ferrari 12Cilindri Manuale akan dihasilkan dalam jumlah 1,499 unit, angka yang dipilih sempena sesaran enjin V12 Ferrari pertama yang diperkenalkan pada 1947.

Manuale By-Wire: Pengalaman Manual Tanpa Transmisi Manual

Keunikan Ferrari 12Cilindri Manuale terletak pada sistem Manuale By-Wire, yang dibangunkan bagi memberikan pengalaman pertukaran gear analog tanpa membangunkan kotak gear manual baharu.

Sebaliknya, Ferrari mengekalkan transmisi F1 DCT 8-kelajuan sedia ada dan memfokuskan inovasi kepada antara muka pemandu menerusi tuil gear, pedal klac elektronik serta perisian kawalan enjin dan transmisi.

Menurut Ferrari, pendekatan itu membolehkan sistem menawarkan ketepatan, konsistensi dan kemudahan penggunaan seperti transmisi moden, namun masih mengekalkan rasa mekanikal ketika menukar gear.

Pembangunan sistem ini turut melibatkan pasukan projek Hypersail, yang menggunakan pendekatan teknologi by-wire dalam pembangunan sistem kawalan untuk sektor nautika.

Enam Gear Manual, Lapan Kelajuan Automatik

Walaupun menggunakan transmisi DCT 8-kelajuan, hanya enam gear hadapan serta gear undur dikendalikan secara manual menggunakan tuil gear.

Dua lagi gear dikekalkan bagi operasi automatik, membolehkan pemandu memilih antara pengalaman pemanduan lebih mengasyikkan atau keselesaan ketika memandu harian.

Tidak seperti Ferrari moden lain, 12Cilindri Manuale juga tidak lagi menggunakan pedal gear (paddle shift) pada stereng.

Sebaliknya, semua pertukaran gear bergantung sepenuhnya kepada penggunaan tuil gear dan pedal klac, sekali gus mengembalikan pengalaman pemanduan yang lebih tradisional.

Tuil Gear Dibangunkan Dari Kosong

Walaupun tidak menggunakan transmisi manual sebenar, Ferrari membangunkan modul tuil gear serba baharu bagi memastikan setiap pergerakan menghasilkan maklum balas seperti kotak gear manual klasik.

Modul itu dibina daripada blok keluli berkekuatan tinggi yang dimesin daripada logam padu dan dilengkapi:

  • Mekanisme kinematik khas.
  • Sensor sudut pada setiap paksi.
  • Fungsi self-centering yang mengembalikan tuil ke kedudukan neutral secara automatik.
  • Mekanisme klik dan variasi daya ketika pertukaran gear.
  • Talaan bunyi mekanikal bagi meningkatkan pengalaman pemanduan.

Jika pedal klac tidak ditekan atau gear yang dipilih tidak dibenarkan, sistem akan menghalang tuil daripada memasuki gear tersebut.

Gear undur pula hanya boleh dipilih dengan menekan tuil ke bawah sebelum mengalihkannya ke kedudukan kiri atas, sama seperti transmisi manual Ferrari klasik.

Keseluruhan modul mempunyai berat kurang daripada 3.5kg.

Pedal Klac Elektronik Rasa Mekanikal

Ferrari turut membangunkan susunan tiga pedal baharu, dengan pedal klac menggunakan teknologi clutch-by-wire sebagai penghubung antara pemandu dan transmisi.

Sensor berketepatan tinggi akan membaca setiap pergerakan pedal sebelum menghantar arahan kepada unit kawalan transmisi DCT untuk mengawal operasi klac.

Bagi memastikan rasa pedal menyerupai transmisi manual tradisional, Ferrari menggunakan gabungan spring prabeban, cam dan roller yang menghasilkan lengkung tekanan pedal seperti sistem mekanikal.

Hasilnya, pemandu masih perlu menyelaraskan penggunaan pedal klac dan pendikit ketika menukar gear.

Jika dilakukan dengan tepat, pertukaran gear berlaku dengan lancar dan tepat. Sebaliknya, koordinasi yang kurang sempurna boleh menyebabkan sentakan atau enjin mati (stall), sekali gus mengekalkan karakter pemanduan manual sebenar.

Pemanduan Lebih Mengasyikkan, Heel-and-Toe

Ferrari menyatakan interaksi antara tuil gear, pedal klac dan pedal pendikit menjadi elemen utama pengalaman memandu Ferrari 12Cilindri Manuale.

Sistem ini membolehkan pemandu melakukan teknik pemanduan klasik seperti heel-and-toe, selain memberikan maklum balas tork yang lebih semula jadi ketika pertukaran gear.

Pada masa sama, Ferrari turut membangunkan logik kawalan khas bagi memastikan peralihan antara mod Manual dan Automatik berlangsung dengan lancar, termasuk fungsi coasting yang membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan sehingga melahu tanpa menghasilkan sentakan.

Kabin Diinspirasikan Ferrari Manual Klasik

Ruang dalaman menerima beberapa perubahan yang menyerlahkan identiti Manuale tanpa mengubah reka bentuk asas Ferrari 12Cilindri.

Konsol tengah direka semula bagi memudahkan operasi tuil gear, manakala gear shift gate ikonik Ferrari kembali memainkan fungsi sebenar dan bukan sekadar elemen hiasan.

Antara ciri utama ialah:

  • Corak gear 6-kelajuan klasik dengan gear undur di bahagian kiri atas.
  • Tombol gear aluminium anodis dengan paparan lampu putih dan amber yang menunjukkan gear aktif serta mod Manual atau Automatik.
  • Struktur aluminium berbentuk tuning fork yang menggabungkan panel kawalan dan ruang penyimpanan kunci.
  • Susun atur tiga pedal yang direka bagi meningkatkan ergonomik pemanduan.

Ferrari berkata setiap perubahan itu direka supaya pengalaman menggunakan tuil gear terasa semula jadi, sambil mengekalkan reka bentuk moden Ferrari 12Cilindri.

Enjin V12 6.5L Tanpa Perubahan

Ferrari mengekalkan enjin V12 aspirasi semula jadi 65 darjah berkapasiti 6.5 liter (6,496cc) tanpa sebarang perubahan mekanikal.

Ferrari menjelaskan karakter enjin sehingga 9,500rpm menjadikannya padabab paling sesuai untuk sistem Manuale By-Wire kerana setiap pertukaran gear dapat dirasai dengan lebih jelas, selain mengekalkan penghantaran kuasa yang linear dan bunyi V12 yang menjadi identiti.

Spesifikasi enjin:

  • Enjin 6,496cc V12 65° aspirasi semula jadi
  • Kuasa maksimum 830PS@9,250rpm (termasuk 5PS Dynamic Overboost menggunakan petrol RON98)
  • Tork maksimum 678Nm @7,250rpm
  • Had putaran enjin 9,500rpm
  • Nisbah mampatan 13.5:1

Prestasi:

  • Kelajuan maksimum: melebihi 340km/j
  • 0-100km/j: 2.9 saat
  • 0-200km/j: kurang daripada 7.9 saat
  • Jarak membrek 100-0km/j: 31.4 meter
  • Jarak membrek 200-0km/j: 122 meter

Tailor Made Eksklusif Untuk 1,499 Pemilik

Ferrari 12Cilindri Manuale bukan sekadar menerima sistem transmisi baharu, malah dibezakan menerusi spesifikasi eksklusif di bawah program Tailor Made.

Lencana sisi menerima logo model menggunakan teknologi laser, manakala pemisah hadapan dan sayap belakang dihiasi kemasan pinstripe sebagai penghormatan kepada Ferrari 365 GTB4.

Model ini turut dilengkapi rim tempa lima jejari rekaan khas, Scudetto timbul yang dihasilkan menggunakan teknik menyerupai pembuatan syiling berharga, serta ambang pintu aluminium dengan logo model atau pilihan kemasan gentian karbon.

Ferrari turut menawarkan pilihan livery enam jalur yang melambangkan enam gear manual, sementara kerusi versi Comfort dan Racing menerima kemasan kulit atau Alcantara bersama enam jalur menegak yang mengulangi tema tersebut.

Pelanggan boleh memilih daripada 25 warna ikonik Ferrari, termasuk warna pelancaran Rosso Rubino, selain Argento Nürburgring, Nero Daytona, Rubino Micalizzato, Rosso Dino, Giallo Montecarlo, Verde Zeltweg, Azzurro La Plata, Blu Pozzi, Bianco Mille Miglia dan Viola Hong Kong.

 

Ferrari Ferrari 12Cilindri Ferrari 12Cilindri Manuale
Abang Hirata

    Artikel Berkaitan

    GWM Wey 05 Malaysia
    Autotainment

    Protected: Kenapa Hibrid Pintar GWM Hi4 Lebih Masuk Akal Berbanding Lompat Terus ke EV?

    06/07/2026
    Auto Terkini

    G.C. Ann Motor Enterprise Dilantik Sebagai CFMOTO Flagship Store Di Kuala Selangor

    06/07/2026
    Yamaha GearEV dan Yamaha News GearEV 2027
    Kenderaan Elektrik (EV)

    Yamaha GearEV, News GearEV 2027 – Skuter EV untuk Penghantaran Jarak 100km

    06/07/2026
    Toyota Corolla Cross 2027
    Roda4

    Toyota Corolla Cross 2027 untuk Jepun dengan Edisi Khas Z Adventure Sempena Aniversari 60 Tahun

    04/07/2026
    Leave A Reply Cancel Reply

    • Facebook401K
    • Instagram194K
    • YouTube593K
    • TikTok1000K
    • Threads46.6K
    Pilihan Ramai Minggu Ini
    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL)
    Auto Terkini

    Tiada Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur Tahun Ini

    By Shazwan Hisam30/06/2026
    GWM bangunkan teknologi hibrid pintar Hi4
    Elektrifikasi

    Hibrid Hanya untuk Jimat Minyak? GWM Hi4 Buktikan Sebaliknya

    By Han Othman26/06/2026
    Vespa Edizione Ottantesimo 2026
    Roda2

    Vespa Edizione Ottantesimo 2026 – Model Unit Terhad 80 Tahun dengan Enjin 310 HPE Kuasa Tinggi

    By Abang Hirata02/07/2026
    Toyota Corolla Cross 2027
    Roda4

    Toyota Corolla Cross 2027 untuk Jepun dengan Edisi Khas Z Adventure Sempena Aniversari 60 Tahun

    By Abang Hirata04/07/2026
    Yamaha GearEV dan Yamaha News GearEV 2027
    Kenderaan Elektrik (EV)

    Yamaha GearEV, News GearEV 2027 – Skuter EV untuk Penghantaran Jarak 100km

    By Abang Hirata06/07/2026
    Autotainment

    Protected: Nak Pakai EV Tapi Risau Nak Cas? Inilah Cara GWM Hi4 Selesaikan Masalah ‘Range Anxiety’

    By Han Othman28/06/2026
    Roda2

    Honda CBR650R, CB650R E-Clutch Terima Warna Baharu Untuk 2027

    By Shazwan Hisam03/07/2026
    Mazda Roadster Special Edition PS 2026 Jepun.01
    Roda4

    Mazda Roadster (MX-6) 2027 untuk Jepun, Dapat Edisi Khas PS Baharu

    By Abang Hirata29/06/2026
    PanduLaju.com.my
    TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
    • Auto Terkini
    • Roda4
    • Roda2
    • Pandu Uji
    • Bikin Auto
    • Autotainment
    • Sembang Deras
    • Aksesori
    • PR NEWSWIRE
    © 2026 PanduLaju.com.my · GYL Media Services Sdn Bhd (1257406-V)
    designXCII TECH

    Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.