TIDAK lengkap rasanya kalau tiada sebarang ulasan pasal segmen super moped aka kapcai super sepanjang tahun lalu. Siapa sangka sejak Yamaha melancarkan Y15ZR pada 2015, selepas tiga tahun berlalu, Malaysia sudah ada empat model super moped jenama berbeza yang saling berentap di pasaran tempatan.
Tahun lalu menyaksikan kemunculan satu lagi model super moped, SYM VF3i dengan sesaran paling besar setakat ini. Pesaing lain juga tidak ketinggalan memperkenalkan warna dan grafik baharu, dan ada pula mengeluarkan model edisi terhad.
Artikel kali ini akan mengulas sepintas lalu pembaharuan yang ditampilkan semua model super moped di Malaysia sepanjang 2018. Mungkin boleh dijadikan panduan kepada mereka yang berminat memiliki kapcai berkuasa tinggi ini. Ataupun buat ramalan tentang apa pula pembaharuan yang bakal muncul tahun ini?
1. SYM VF3i [RM7,988] - 17.7hp, 15.3Nm
Pendatang baharu super moped ini dilancarkan wakil pengedar, MForce Bike Holdings Sdn Bhd pada April tahun lalu pada harga yang dikatakan tidak masuk akal, RM7,988. Menariknya, inilah super moped paling berkuasa di Malaysia (dan dunia) setakat ini dengan menawarkan enjin 4-lejang silinder tunggal 185cc SOHC penyejukan cecair.
BACA >>> 5 Sebab Kenapa Perlu Pilih SYM VF3i - Kapcai 185cc Pertama di Dunia!
Antara ciri menarik SYM VF3i ialah kapasiti tangki 7 liter yang dikatakan mampu bergerak dari Pulau Pinang ke Kuala Perlis (~178km) dengan sekali isian saja. Ada juga spidometer kombo analog dan digital, kaliper brek 2-piston, dan brek cakera depan 250mm. Rekabentuk pula boleh tahan, memang menepati trend kapcai semasa. Rekaan rim pun nampak menarik dan unik.
KELEMAHAN
- Laman web hodoh
- Kena tunggu member isi minyak (sebab tangki besar)
- Laju sangat
2. BENELLI RFS 150i LIMITED EDITION [RM7,488] - 15.5hp, 13Nm
Dilancarkan pada April 2017, juga di bawah wakil pengedar MForce Bike Holdings Sdn Bhd. Jangan tidak tahu, Malaysia ialah negara pertama dunia yang memperkenalkan super moped di bawah jenama Benelli. RFS 150i dijana enjin 4-lejang silinder 150cc SOHC penyejukan cecair dan teknologi suntikan bahan api EFI (Delphi) dengan transmisi 6-kelajuan.
Tangki bahan api berkapasiti 4.8 liter, manakala ciri menarik kapcai ini ialah kaliper brek 2-piston dan brek cakera jenis petal saiz besar untuk roda depan (240mm) dan belakang (220mm) yang nampak cantik dipandang. RFS 150i juga satu-satunya super moped yang menggunakan tiga palam pencucuh yang mampu memberikan lebih prestasi optimum. Katanya, terotel boleh dikerah hingga 9,000rpm dengan steady. Lagi satu, dapat fork terbalik (USD)!
Pembaharuan 2018 ialah RFS150i versi LIMITED EDITION, dikeluarkan 5,000 unit sahaja dengan strip unik warna bendera Itali yang disertakan bersama sijil ketulenan dan imprin khas nombor siri pada badan motosikal. Setakat ini belum nampak atas jalan. Mungkin sedang diselimut tuan motor yang menunggu masa untuk dijual 3-4 tahun nanti pada harga hobi kami mahal.
KELEMAHAN
- Laman web tak cantik
- Lampu depan nampak pelik
- Palam pencucuh banyak sangat
3. HONDA RS150R [RM7,999] - 15.4hp, 13.5Nm
Tahun lalu masuk usia ke-2 Honda RS150R dilancarkan untuk pasaran Malaysia sejak Jun 2016. Super moped ini dijana enjin 4-lejang silinder tunggal 150cc DOHC dengan teknologi suntikan bahan api, PGMFI yang dipacukan transmisi manual klac basah 6-kelajuan. Tangki minyak pula berkapasiti 4.5 liter.
BACA >>> Honda RS150R (2018) Kini Lebih Garang & Sporty - Yamaha Y15ZR Diminta Bertenang!
Pembaharuan ditampilkan untuk 2018 ialah tambahan satu warna dan grafik baharu, Hitam Mutiara Magellanic, kepada tiga pilihan warna sedia ada (juga strip baharu): Merah Candy, Biru Mutiara Nightfall dan Edisi Repsol.
Berbanding warna sedia ada yang lebih cerah, warna hitam baharu memberikan penampilan lebih jahat dan sporty untuk kapcai ini. Rekaan grafik juga unik dengan strip hijau muda yang memberikan efek kontras menarik. Bahagian badan lain semuanya serba hitam daripada fairing, enjin, pelana, rim, carrier dan tiub lower fork.
KELEMAHAN
- Sensitif dengan barang aftermarket
- Masih belum jadi juara Cub Prix
4. YAMAHA Y15ZR GP EDITION 2018 [RM9,288] - 15hp, 13.8Nm
Yamaha Y15ZR ialah perintis kepada trend kapcai kategori super moped di Malaysia sejak dilancarkan pada Ogos 2015. Model ini boleh dikatakan mengambil baton ditinggalkan kapcai Yamaha versi 2-lejang 125Z, yang mula dipadamkan dalam senarai model Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), tahun lalu.
Selaku raja (glamor) super moped tempatan, Y15ZR tidaklah begitu terdesak untuk bersaing. Jadi sebagai pelengkap 2018, Yamaha sekadar memperkenalkan baju baharu buat model ini dalam warna biru GP EDITION yang diilhamkan daripada grafik jentera factory MotoGP. Pembeli juga diberikan set miniatur kapcai dan gelang senaman. Harga pula cuma ditambah RM700 daripada harga standard RM8,588, menjadi RM9,288. Dan usahlah ditanya berapa pula harganya di kedai.
BACA >>> Yamaha Y15ZR Edisi GP (2018) Diperkenal, Tampil Grafik Ilham Jentera MotoGP
Masih mengekalkan prestasi enjin yang sama, 4-lejang silinder tunggal 150cc SOHC penyejukan cecair berkuasa 15.1hp @ 8,500rpm dan tok 13.8Nm @ 7,000Nm dengan klac basah 5-kelajuan dan tangki bahan api 4.2 liter.
Ciri menarik? Semestinya rekabentuk signatur gaya Yamaha yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pembeli juga mendapat brek cakera depan 245mm, lampu posisi dan lampu belakang LED, panel meter kombo analog-digital dan sistem ekzos dengan tiga silenser yang mampu membuatkan mana-mana anak muda buat loan kedai 5 tahun lamanya.
Ciri paling utama lain ialah kerana ada huruf Y. Cuba gantikan dengan huruf J, adakah tuan-tuan kenal motor Jamaha? Simple.
KELEMAHAN
- Atas jalan kalah dengan Honda, SYM dan Benelli (tapi masih juara Cub Prix)
- Kerap dipandang serong sebagai motor rempit
- Harga Tel Aviv, tapi kekal laku
5. MODENAS XXX175
Spekulasi pasal moped Modenas ini sudah lama. Pada Mac 2017, kami dikhabarkan supaya berhenti berharap, tetapi tup tup beberapa bulan selepas itu muncul banyak foto intip pasal prototaip motosikal itu (siap frem trellis kot) di jalan raya Malaysia. Katanya, bukan 150cc, tapi 175cc dan bakal lancar pada 2018 (tahun lepas).
Tapi itulah, 2018 pun sudah habis, sekarang sudah masuk 2019. Mungkin tahun depan gamaknya sempena menyambut Wawasan 2020. Hmmm...
KELEMAHAN
- Halimunan
kuda belang says
hahaha terbaik la artikel ni.. da ramai pilihan untuk super moped ni..harapnya harga akan jadi lebih kompetitif la.. teruskan artikel macam ni bosku..nice dan informative..
akmal says
tak banyak komen tapi nak komen pasal kelemahan, adakah ia betul2 kelemahan sesebuah motor atau just playsafe sebab tak nak dibandingkan moto yang lain
AO says
Kelemahan lebih kepada persepsi umum. Untuk spesifik teknikal boleh pergi ke forum jenama motor tu. Sebabnya, tak nak terlalu bias. Sebab setiap jenama kat atas ada peminat tersendiri yang akan kata model masing-masing ok
Wahidalwie says
Walau pun Y kalah di jln.. tapi masih podium di Cubprix.. ini yg Y laku keras. Mudah di Modi utk kelajuan menggila..
Riders for speed says
Beli motor untuk racing ke hik hik
Ajari says
Halimunan tu mmg Win!