BERSAMA Maxima (2019), Nissan turut menambah baik kenderaan utiliti popular, Murano sempena tahun depan dengan menambah beberapa ciri dan gaya supaya tampak relevan di pasaran massa dan kini ditayangkan di Pameran Auto Antarabangsa Los Angeles (LAIAS) 2018.
Penampilan Murano (2019) kini lebih menonjol dengan gril V-Motion yang menjadi signatur model-model baharu Nissan dan disempurnakan teknologi LED untuk semua sistem lampu SUV saiz pertengahan ini. Rekabentuk rim direka semula dengan menawarkan opsyen saiz 18 dan 20 inci, termasuk warna badan diperbaharui, Deep Blue Pearl (biru), Sunset Drift Chromaflair (jingga) dan Mocha Almond Pearl (coklat).
BACA >>> Nissan Murano (2018) Naik Harga dengan Tambahan Ciri Keselamatan
KABIN DISEGARKAN
Ruang kabin disegarkan semula dengan kemasan dalaman baharu menerusi aksen metalik dan kayu warna cerah dan gelap. Paling menonjol ialah material kulit semi anilina dengan paten berlian untuk kemasa kerusi. Model gred atas, Platinum diberikan pad perehat lengan di konsol tengah dan panel pintu untuk ekstra keselesaan.
Murano (2019) turut dilengkapkan sistem infotainment NissanConnect dengan skrin multisentuh 8 inci sebagai standard, dan disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto. Model SL dan ke atas dipakejkan bersama sistem navigasi versi kemas kini 2019 yang mampu memaparkan bentuk bangunan dalam tiga dimensi (3D), memberikan imej satelit dan membenarkan carian Internet untuk lokasi hendak dituju atau POI (points of interest).
Sama seperti model baharu Nissan lain, Murano (2019) baharu ini dibekalkan dengan Nissan Safety Shield 360 yang terdiri daripada enam teknologi termaju untuk membantu pemandu dan mengelak perlanggaran. Ini termasuk:
- Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki
- Monitor Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Amaran Tukar Lorong (LDW)
- Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- Parkir Automatik Belakang (RAP)
Bagi perlindungan tambahan, SUV ini siap dipasangkan beg udara impak sisi di kerusi baris kedua dan beg udara lutut untuk penumpang depan.
Murano (2019) versi facelift ini ditawarkan dalam empat varian: S, SV, SL dan Platinum, dengan menyediakan dua opsyen trim, termasuk pakej premium untuk varian pertengahan SV. Pakej Platinum memberi peluang kepada pembeli untuk melengkapkan kereta mereka dengan monitor 360º, Around View bumbung bulan panoramik, sistem bunyi Bose 11 pembesar suara, dan lain-lain. Pakej SL Technology menawarkan ciri Safety Shield 360, pengecaman tanda jalan dan bumbung bulan.
BACA >>> Ghosn: "Saya Tak Buat Salah Apa"
Akhir sekali ialah trenkuasa di sebalik bonet. Sesuai dengan cita rasa gaya Amerika, Murano (2019) baharu ini dikuasakan enjin 3.5L V6 berkuasa 260hp dan tork 325Nm dengan transmisi variabel berterusan (CVT) Xtronic dalam pilihan sistem pacuan semua roda (AWD) dan roda depan (FWD).
Murano (2019) facelift ini akan berada di bilik pameran seluruh Amerika Syarikat (AS) bulan ini.
GALERI
SUMBER: AutoGuide
Leave a Reply