JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lama lagi bakal menayangkan drama bersiri 13 episod berjudul 'Skuad JPJ' yang akan menemui penonton bermula 4 April ini di saluran RTM TV1.
Bagi mempromosikan drama itu, JPJ menerusi laman rasmi Facebook agensi Kerajaan berkenaan memuat naik gambar poster berserta maklumat mengenai waktu tayangan drama tersebut.
Tayangan 'Skuad JPJ' dijadualkan disiarkan pada jam 11.10 pagi hingga 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Khamis. Menurut maklumat dikongsikan, drama aksi tersebut berkisarkan realiti tugas, dan cabaran dihadapi JPJ sepanjang menjalankan tugas.
Namun, walaupun belum ditayangkan, status promosi drama tersebut meraih perhatian netizen yang memberikan pelbagai reaksi. Antara isu dibangkitkan adalah aksi kereta JPJ dikejar tonto, dan babak di kaunter yang hanya dibuka sedikit hingga menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang.
Tidak kurang juga mengharapkan kehadiran watak Din Sardin, dipetik daripada drama lakonan Izzue Islam mengenai mat rempit jatuh cinta dengan pegawai JPJ yang kemudian mengubahnya menjadi anggota JPJ.
Terdahulu, drama siri berkenaan turut mengundang persoalan ramai apabila trailer drama itu menunjukkan adegan tembak-menembak kerana ramai berpendapat bidang kuasa JPJ tidak melibatkan penguatkuasaan menggunakan senjata api.
Drama ‘Skuad JPJ’ dibintangi pelakon Saharul Ridzwan, Kodi Rasheed, Fify Azmy, Sefik Khair dan ramai lagi.
BACA>>> Drama Belum Siar, Tapi Netizen Pertikai Aksi Tembak 'Skuad JPJ'!
BACA>>> Anggota JPJ Maut Jatuh Motosikal Ketika Kejar Penunggang Lari SJR di MRR2
Leave a Reply