HYUNDAI-Sime Darby Motors (HDSM) sebentar tadi melancarkan Kona versi dipertingkat (facelift) edisi 2021 yang didatangkan dengan trenkuasa baharu dan beberapa ciri moden.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) subkompak itu kini didatangkan dalam dua varian pilihan dengan harga seperti berikut, termasuk cukai jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia, iaitu:
- Kona Standard - RM119,888
- Kona Active - RM136,888 (premium)
Berikut perincian mengenai Kona (2021) facelift:
TRENKUASA
- Kedua-dua varian dijana enjin petrol 4-silinder Smartstream G2.0 Atkinson 1,999cc berkuasa 147hp @ 6,200rpm dan tork 180Nm @ 4,500rpm. Pecutan 0-100kmj ialah 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum 198kmj.
- Menggunakan kotak gear mirip CVT, iaitu transmisi variabel pintar (IVT) dan dinamakan sebagai Smartstream IVT 8-kelajuan. Transmisi ini memastikan penukaran gear lebih lancar, praktikal dan menjimatkan bahan api.
- SUV pacuan dua roda ini ada empat mod pemanduan: Normal, Eco, Sport dan Smart, termasuk tiga pilihan mod Kawalan Traksi: Snow (salji), Mud (lumpur) dan Sand (pasir). Kenapa salji? Sebabnya, ini ialah model import (CBU) dari Korea Selatan.
- Enjin Smartstream menawarkan prestasi dinamik yang lebih lancar, pengalaman pemanduan selesa, rendah emisi dan cekap bahan api.
- Enjin kedua-dua varian boleh dihidupkan dan dimatikan menggunakan kunci kawalan jauh.
WARNA
- Kona Standard ada empat warna badan: Chalk White (putih), Galactic Grey (kelabu), Surfy Blue (biru) dan Pulse Red (merah). Kemasan kabin tona gelap dengan upholsteri fabrik.
- Kona Active ada lima warna badan dan dua warna kabin: Surfy Blue (biru), Ignite Flame (merah) dan Misty Jungle (kelabu) dengan kemasan kabin hitam. Pilihan warna Dive in Jeju (biru) dan Dark Knight (hitam) menampilkan kemasan kabin Light Beige (kuning cair). Upholsteri pula menggunakan material kulit.
REKABENTUK
- Ada pembaharuan membabitkan bampar depan, bampar belakang, lampu depan dan belakang, gril dan rim.
- Lampu signal belok Active diposisikan bersama lampu siang (DRL), manakala lampu utama dan belakang jenis LED. Hanya lampu kabus masih mentol halogen. Varian Standard pula kekal dengan lampu mentol.
- Bahagian sisi didapati lebih panjang 40mm berbanding model lama, tetapi saiz ruang kabin masih sama seperti model terdahulu.
- Varian Standard diberikan rim 17 inci dengan tayar Nexen N-Fera SU1 215/55. Varian Active menggunakan rim 18 inci dan tayar Continental PremiumContact 6 (235/45). Tiada lagi antena batang dan digantikan sirip jerung (shark fin) yang tebal dan trendy.
KABIN
- Ada perubahan kabin, khususnya papan pemuka yang dipisahkan bahagian konsol tengah. Gaya papan pemuka kini lebih lapang dan ventilator penyaman udara turut direka semula.
- Brek tangan digantikan butang Brek Parkir Elektrik (EPB) dengan fungsi Pegun Automatik (Auto Hold) atas permintaan pelanggan Hyundai sebelum ini.
- Varian Active dipasangkan unit infotainment LCD digital penuh 10.25 inci dan paparan dongak (HUD), manakala varian Standard masih menggunakan kluster instrumen analog.
- Kedua-dua varian menggunakan unit infotainment skrin sentuh LCD AVN 8 inci yang dilengkapi konektiviti wayarles Android Auto dan Apple CarPlay, termasuk dibekalkan sistem navigasi Google Map dan Waze. Kawalan audio boleh dikawal menerusi butang stereng.
- Kerusi pemandu Active jenis boleh laras elektrik, manakala Standard masih manual.
CIRI KESELAMATAN
Kona Standard dan Active menerima ciri keselamatan standard seperti 6 beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Pengurusan Sistem Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Traksi (TCS), ISOFIX, Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC), Kawalan Turun Bukit (HDC), Sistem Bantuan Parkir (PAS).
Varian Active menerima teknologi bantuan pemandu Hyundai Smart Sense, terdiri daripada:
- Bantuan Cegah Perlanggaran Titik Buta (BCA)
- Bantuan Cegah Trafik Lintas Belakang (RCCA)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Bantuan Ikut Lorong (LFA)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan (FCA)
- Bantuan Suluh Tinggi (HBA)
- Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
- Amaran Penumpang. Belakang (ROA)
- Amaran Keluar Selamat (SEW)
Setiap pembelian dipakejkan waranti lima tahun atau had perbatuan 300,000km. Selain itu, pembeli Kona facelift (2021) juga menerima servis penyenggaraan percuma tiga tahun atau had perbatuan 50,000km (mana satu tiba dulu).
BACA >>> Hyundai Kona (2021) Facelift Lancar 16 April Ini! Harga Masih Misteri
BACA >>> Hyundai Kona Electric (2021) Facelift Lancar di Australia, Harga Mula RM195k
BACA >>> Hyundai Kona N Akan Guna Enjin 2.0L Turbo, Transmisi DCT 8-Kelajuan, Kuasa Dijangka 275hp!
BACA >>> Hyundai Malaysia Akan Lancar Palisade, Kona Facelift Tidak Lama Lagi
Leave a Reply