YAKIN dengan masa depan dan hala tuju baharu Proton, empat pengedar jenama automotif nasional itu memutuskan menaik taraf pusat servis masing-masing kepada model 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan 4S (jualan, servis, alat ganti dan cat) dalam usaha menambah baik kepuasan dan keselesaan pengguna.
Empat pengedar yang berani menyahut transformasi baharu Proton itu terdiri daripada:
- Vantage Speed, Klang (4S)
- Setia Gemilang, Subang (4S)
- Baiduri Auto, Rawang (4S)
- Bunga Raya Auto Credit, Melaka (3S)
Keempat-empat pengedar di atas juga merupakan kumpulan pertama yang menghadiri majlis menandatangani insentif menaik taraf pusat servis masing-masing. Lebih istimewa, setiap pengedar turut mendapat sokongan insentif berbentuk bantuan kewangan untuk mempercepatkan lagi proses penaiktarafan.
Menurut Proton, kerja-kerja naik taraf itu dijangka dapat disempurnakan menjelang penghujung 2018 yang bakal menyaksikan bilik pameran sedia ada berubah imej baharu yang lebih premium, sekali gus menambah baik khidmat selepas jualan.
BACA >>> Demi Proton, Kami Sanggup Labur Jutaan Ringgit - Pengedar
PENGEDAR BERI MAKLUM BALAS POSITIF
Pengarah Urusan Bunga Raya Auto Credit Sdn Bhd, Lee Chee Hong berkata, keputusan bagi menaik taraf kepada pusat 3S adalah untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan lebih baik buat pelanggannya.
“ Saya yakin zaman kegemilangan Proton akan kembali dan untuk itu kami sebagai pengedar harus memainkan peranan penting dengan menyahut cabaran dengan menaik taraf bilik pameran kepada pusat 3S.
“ Proton juga banyak memberi sokongan dan bantuan dari segi insentif kewangan bagi membantu kami merealisasikan impian untuk memberikan perkhidmatan lebih baik buat semua pemilik Proton terutamanya di sekitar kawasan Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Vantage Speed, Datuk Sri Tee Boon Kee turut berkongsi matlamat sama iaitu mahu menyediakan servis selepas jualan lebih bagus.
“ Demi Proton, kami sudah mendapatkan tanah seluas dua ekar bagi membangunkan pusat 4S dan ini ialah sebahagian daripada tanggungjawab buat pelanggan yang banyak menyokong selama ini.
“ Selepas kehadiran Geely di Proton, kami lebih yakin dan masa depan Proton tampak cerah. Begitu juga dengan hala tuju Proton semakin jelas.
“ Saya juga baru pulang daripada melawat Geely di China, baru-baru ini dan tanpa segan silu menyatakan kualiti kenderaan China semakin baik dan di luar jangkaan.
“ Pada asalnya saya agak skeptikal dengan kualiti dari China. Tetapi segalanya berubah selepas saya berpeluang memandu uji Boyue dan ternyata persepsi negatif saya salah selama ini. Saya yakin Boyue akan mampu memikat hati rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.
BACA >>> Jenama Proton Tak Ada Masalah, Cuma Servis Lepas Jualan Kena Tambah Baik - Ryan Lai
APA YANG PEMILIK PROTON MAHUKAN?
Menjawab persoalan mengenai apa sebenarnya yang dimahukan pemilik Proton berikutan pelbagai isu melanda jenama automotif tempatan itu, Pengarah Baiduri Auto Sdn Bhd, Aref Borhan yang kini menguruskan Pusat Servis Proton di Rawang mengakui kemahuan itu sama saja seperti pemilik jenama lain, yakni mengharapkan produk yang bagus, berkualiti dan reliabel, termasuk khidmat selepas jualan yang baik.
"Tidak betul kalau kita kata produk Proton sangat teruk. Sesetengah isu sudah pun lama berlalu, tapi masih kekal diperkatakan. Sesetengah orang, dia sendiri tidak pernah cuba produk Proton.
"Ada sesetengah pelanggan tidak ambil peduli hal menyenggara kereta, ada pula isu kerosakan biasa. Mana-mana jenama pun sama.
“ Isunya, apabila masalah menimpa kereta Proton, mereka terus saja kaitkan dengan kualiti dan produk yang tidak bagus. Saya rasa ia lebih kepada sentimen dan persepsi. Dan kita perlu ambil masa untuk pulihkan," kata Aref.
Leave a Reply