
PEMINAT automotif sering disajikan tentang penala barat memilih produk Eropah untuk dijadikan kereta projek. Mempunyai jutaan pembeli, mengapa penala ini tidak menumpukan pada kereta buatan China?
Ini yang dilakukan oleh MANSORY dengan projek terbaru Zeekr 9X.
Zeekr 9X by MANSORY

Langkah terbaharu MANSORY dalam memperkukuh portfolio kenderaan mereka menyaksikan pengenalan Zeekr 9X, sebuah model yang disasarkan untuk menguasai segmen SUV ultra mewah global.
Menurut Kourosh Mansory, Pengasas MANSORY Design dan Holding GmbH, potensi besar pada Zeekr 9X menjadikannya platform terbaik untuk memperluas pengaruh jenama itu ke peringkat lebih tinggi.

Versi First Edition membuat kemunculan sulung di Pameran Auto Beijing (Auto China 2026), dan apa yang menarik, Zeekr 9X turut dijadualkan untuk memasuki pasaran Malaysia kelak.
Jika model-model China sebelum ini menyaingi jenama kebanyakan, Zeekr 9X pula dilihat mahu melangkah ke dunia elit seperti Rolls-Royce.
Sentuhan Gentian Karbon dan Pintu Suicide

Rupa luaran Zeekr 9X menerima transformasi agresif melalui penggunaan komponen gentian karbon sepenuhnya.
Ini termasuk rekaan bibir depan baharu yang dilengkapi logo MANSORY serta lampu nyalaan siang bersepadu. Profil sisi dan belakang turut dikemas kini dengan gerbang roda yang lebih lebar, skirt sisi baharu, serta spoiler bumbung yang lebih dominan.
Satu perincian teknikal yang paling menyerlah adalah pengubahsuaian pintu belakang kepada jenis Suicide Doors.

Proses ini melibatkan kejuruteraan yang rumit, di mana kedudukan engsel pada tiang B perlu dipindahkan ke tiang C tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan keharmonian reka bentuk asal.
Teknik ini merupakan kesinambungan daripada kepakaran yang pernah dipamerkan MANSORY pada model Mercedes G Class pada tahun 2022.
Melengkapkan rupa luaran adalah rim tempa FT.19 bersaiz 10×24 inci yang dibalut tayar 295/30R24.
Trenkuasa REEV dan Prestasi Luar Biasa

Zeekr 9X di pasaran China ditawarkan dengan pilihan trenkuasa Range Extended EV (REEV) yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder Geely berkuasa 279 ps (205 kW) sebagai penjana kuasa sahaja.
Varian asas dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan 897 ps (660 kW) dan tork 935 Nm. Bagi projek MANSORY, mereka memilih varian Hyper sebagai asas yang menggunakan tiga motor elektrik serta dilengkapi bateri NMC 70 kWj.
Jurutera MANSORY mengekalkan unit trenkuasa tersebut tanpa sebarang pengubahsuaian mekanikal, di mana ia menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,381 ps dan tork setinggi 1,410 Nm.

Output yang amat berkuasa ini membolehkan jentera memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 3.1 saat dengan kelajuan tertinggi 240 km/j.
Bagi memberikan karakter bunyi yang lebih mantap, MANSORY memasang sistem ekzos berinjap dengan dua paip ekzos pada setiap sisi yang disepadukan pada apron belakang gentian karbon.
Kemewahan Dalaman

Di dalam kabin, kemewahan ditonjolkan melalui penggunaan kulit penuh dengan gabungan dua warna. Keselesaan penumpang diutamakan menerusi tempat duduk elektrik dengan fungsi pengudaraan serta kehadiran peti sejuk di konsol tengah belakang.

Varian First Edition mendapat sentuhan istimewa pada panel pintu yang memaparkan garisan luar berlampu simbolik kepada lokasi global penting bagi Zeekr, di samping penggunaan komponen karbon pada segenap ruang dalaman.































