VOLKSWAGEN memberikan bayangan awal model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak elektrik terbaharu, iaitu Volkswagen ID. Cross 2027 melalui kemunculan model tersebut di jalan raya Amsterdam, Belanda.
Model kenderaan elektrik (EV) itu dijadualkan memasuki pasaran Eropah bermula musim luruh 2026 (September – November) dengan sasaran harga bermula sekitar €28,000 (RM126,280). Langkah itu sebahagian misi Volkswagen dalam menawarkan EV pada harga mampu milik.
Rekabentuk Luaran Tampil Ringkas, Tanpa Drama
Dari sudut estetik, luaran Volkswagen ID. Cross menggunakan bahasa rekabentuk baharu Volkswagen, dikenali sebagai ‘Pure Positive’. Gaya model itu dicirikan dengan garisan jelas, perkadaran badan seimbang, dan penampilan berkualiti tinggi.
Walaupun lengkap dengan pelekat samaran, dimensi luaran SUV dengan panjang 4,100mm dan tinggi 1,580mm itu tampil ringkas dan kurang drama.
Ruang Kabin, Kualiti Dalaman

Suasana kabin Volkswagen ID. Cross menumpukan kepada ketenangan dan kejelasan menerusi penggunaan bahan serta kualiti buatan terarah kepada standard kelas kenderaan lebih tinggi.
SUV itu menawarkan 5-kerusi dengan penggunaan ruang sangat cekap. Bagi memudahkan pemandu, ia dilengkapi fungsi dan butang intuitif serta unit infotainmen skrin format besar yang melengkapkan lagi impresi keseluruhan berkualiti tinggi.
Trenkuasa, Pilihan Bateri

Volkswagen ID. Cross ditawarkan dalam tiga tahap kuasa:
- 85kW (115ps)
- 99kW (135ps)
- 155kW (211ps)
Trenkuasa itu dipadankan dua pilihan saiz bateri, iaitu 37kWj dan 52kWj (kapasiti bersih). Dari segi pengecasan, model itu boleh menerima pengecasan pantas (DC) sehingga 90kW dan sehingga 105kW bagi varian bateri lebih besar.
Harga
Dengan gabungan dimensi kompak, teknologi dan sistem bantuan moden, kualiti buatan tinggi, ruang luas serta harga permulaan sekitar €28,000, Volkswagen ID. Cross baharu menawarkan pakej yang menarik.
Ciri Ringkas Volkswagen ID. Cross
- Pilihan kuasa motor elektrik 85kW (115ps), 99kW (135ps) dan 155kW (211 ps)
- Saiz bateri 37kWj dan 52kWj (bersih)
- Sistem pengecasan pantas (DC) 90kW – 105kW
- Harga bermula €28,000 (RM126,280)
- Tarikh pelancaran Eropah musim luruh 2026 (September – November)





























