
PELUMBA Formula Satu (F1), Max Verstappen sekali lagi mengulangi pendirian mengenai peraturan baharu 2026 sukan permotoran itu.
Pelumba Belanda itu menegaskan, F1 perlu kekal dengan identiti sendiri dan tidak menghampiri konsep siri perlumbaan elektrik tunggal, Formula E.
Sebelum ini ketika ujian pramusim di Bahrain, Verstappen melabelkan set peraturan baharu itu sebagai antiperlumbaan yang disifatkan seperti ‘Formula E on steroids’, dan menjadi kenyataan yang mencetuskan perdebatan hangat di padok.
Enjin 2026: Lebih Elektrik, Kurang Bunyi Tradisional?

Bermula 2026, trenkuasa F1 akan menggunakan nisbah hampir 50:50 antara enjin pembakaran dalaman (ICE) dan tenaga elektrik. Ini bermakna strategi pengurusan tenaga bateri dan sistem pemulihan tenaga akan memainkan peranan lebih besar sepanjang perlumbaan.
Terdapat kebimbangan pemandu mungkin perlu memperlahankan jentera di laluan lurus atau menukar gear untuk menjimatkan tenaga, situasi yang sering dilihat dalam Formula E, yang mana pelumba sengaja berundur untuk menyimpan bateri sebelum membuat serangan saat akhir.
Verstappen: Biarlah FE Jadi FE, F1 Kekal F1
Pelumba Oracle Red Bull Racing Formula 1 itu menolak idea F1 bergerak ke arah sama. Baginya, peningkatan kebergantungan terhadap bateri boleh mengubah karakter asas perlumbaan Grand Prix (GP).
Menurut Verstappen, F1 sepatutnya menumpukan kepada enjin yang mantap dan pengalaman pemanduan tulen, manakala Formula E wajar kekal dengan identiti elektrik sepenuhnya.
Beliau turut mengakui kereta generasi baharu FE menarik, tetapi kedua-dua kejuaraan perlu mempunyai haluan berbeza tanpa mencampuraduk konsep.
Pendapat Berbeza dalam Grid
Pandangan Verstappen bukan suara tunggal dalam isu tersebut. Juara bertahan, Lando Norris, misalnya menyifatkan jentera baharu sebagai menyeronokkan untuk dipandu.
Verstappen pula menegaskan, beliau sekadar berkongsi pendapat peribadi apabila ditanya media, dan berpendapat setiap pelumba berhak menyuarakan pandangan masing-masing mengenai hala tuju sukan tersebut.
Peraturan 2026 Terus Cetus Perdebatan

Perubahan besar yang bakal dilaksanakan jelas membahagikan komuniti F1. Ada melihat sebagai langkah penting ke arah teknologi lebih lestari, manakala sebahagian lagi bimbang ia mengubah DNA perlumbaan.
Apapun, musim 2026 bakal menjadi titik perubahan penting dalam sejarah F1. Sama ada pendekatan baharu itu akan memperkaya aksi atau mencetuskan lebih banyak kritikan, hanya masa akan menentukan.
SUMBER: Motorsport.com








