• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Auto Terkini / #TunggangUji: Honda CB250R - Retro Moden dengan Resepi Gaya dan Keunggulan

#TunggangUji: Honda CB250R - Retro Moden dengan Resepi Gaya dan Keunggulan

January 28, 2019 By ZY Leave a Comment

2.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter


APAKAH yang anda harapkan dari sebuah motosikal naked bersesaran 250cc?

Jika kelajuan maksimum 200kmj sebagai kriteria utama, artikel panjang ini bukan untuk anda. Motosikal bersesaran 500cc ke atas pasti lebih menepati cita rasa anda yang kami sudah pun senaraikan beberapa pilihan dalam artikel sebelum ini.

BACA >>> 5 Motosikal Naked Middleweight Pilihan dengan Bajet RM30k

Berbalik topik, baru-baru ini saya berpeluang menunggang uji model terbaharu, Honda CB250R. Apa yang menjadi tarikan utama jentera ini ialah gaya cafe racer yang diberikan acuan moden,  kali pertama gaya sebegini dikenakan dalam kelas 250cc untuk pasaran Malaysia.

Tetapi rupa menarik sahaja tidak cukup, apatah lagi harga yang perlu dibayar hampir menyamai harga sebuah motosikal bersesaran 800cc terpakai. Adakah berbaloi jadikan CB250R milik anda? Ikuti ulasan penulis di bawah.

GAYA & REKABENTUK

Ironinya, Honda CB250R hampir sama dengan KTM Duke 250 (2017) yang terkenal dengan imej streetfighter moden yang ranggi. Abaikan sekejap lampu depan, sekarang anda boleh lihat CB250R ini mempunyai penampilan yang sama ganas dengan lekuk tajam pada depan tangki, enjin padat dan tayar lebar.

Seperti motosikal naked lain, ergonomik atau postur badan sedikit menegak, jadi tiada isu sakit pergelangan tangan. Deruan angin menerpa dada ketika menunggang laju (sekitar 130-140kmj) juga tidak ketara. Pelana belakang terpisah dari depan, walaupun nampak seperti satu bahagian dan cukup lebar untuk menampung perempuan dewasa bersaiz kecil dan sederhana.

Jadi, jika anda peminat jentera KTM seperti disebut di atas, tetapi imej ganas dengan warna terang agak kurang menepati cita rasa diri, mungkin gaya dibawa Honda menerusi jentera naked ini ialah pilihan yang lebih 'selamat'. Ada tiga pilihan warna ditawarkan: Graphite Black (hitam), Candy Chromosphere Red (merah) dan Matt Bullet Silver (perak), tetapi warna perak sahaja yang ada kemasan kusam (matte), dan selebihnya jenis berkilat atau gloss.

Sejujurnya, warna perak bagi saya ialah pilihan muktamad untuk motosikal sebegini, tetapi terpulanglah kepada cita rasa masing-masing.

PRESTASI KUASA & PENGENDALIAN

Melihat senarai spesifikasi di bawah, tiada apa yang begitu menarik perhatian.

Namun, jika anda berpeluang menunggang CB250R ini, angka-angka itu semua pasti dirasakan tidak lagi relevan. Hantaran kuasa bagi saya sudah sempurna, setiap pulasan terotel terus saja disusuli kuasa. Tidak kira ketika menunggang santai di jalan-jalan bandar, atau bermain selekoh, hantaran pikap sentiasa ada apabila diperlukan.

Bagaimanapun, seperti dijangka, CB250R mula sedikit lelah apabila kelajuan menghampiri 150kmj, karakteristik biasa untuk motosikal silinder tunggal 250cc. Namun, kebolehan jentera ini mengoptimumkan setiap julat RPM sebaik-baiknya membuatkan terasa lebih 'cergas' berbanding motosikal lain dalam kelas suku liter.

Dari segi pengendalian pula, CB250R begitu stabil ditunggang, terutama ketika mengambil selekoh dengan keadaan jalan tidak rata dan berombak. Dalam situasi ini, saya dapat rasa fork terbalik (USD) Showa bukan hiasan semata-mata. Suspensi belakang pula bertindak cemerlang menyerap daya hentakan, tidak membuai di selekoh dan tidak terlalu melantun, sedang-sedang saja.

Menunggang laju di lebuh raya juga bukan masalah besar, berbekalkan rim dan tayar lebar dalam kelas 250cc, CB250R  langsung tidak goyah ketika memotong rapat kenderaan lain yang lebih besar. Sistem brek menggunakan cakera tunggal depan dan belakang, dengan bahagian depan menggunakan kaliper jenis radial buatan Nissin, memang nampak lebih bergaya seperti 'big bike'. Prestasi brek cukup baik untuk tunggangan harian.

Hal getaran kuat dan tangan kebas menjadi antara masalah utama motosikal silinder tunggal. Bagaimanapun getaran pada CB250R tidaklah begitu ketara. Bersama kombinasi ergonomik tunggangan menegak, dan pelana lebar lagi empuk, pengalaman menunggang berterusan dalam jarak 60-100km langsung tiada masalah.

TEKNOLOGI & PRAKTIKALITI

Seperti dimaklumkan, walaupun berwajah retro, CB250R masih sebuah motosikal moden. Jadi, pada harga 'tidak bajet', anda sendiri sudah boleh fikirkan tentang ciri apakah yang dipakejkan pada sebuah motosikal 250cc seperti ini.

  • Lampu depan, signal dan brek menggunakan teknologi LED yang terang dan lebih sejuk. Kedua-dua lampu signal depan berterusan menyala sebaik saja kunci dipulas. Ini bagi memudahkan pengguna jalan raya lain mengesan kehadiran penunggang di belakang. [Bagus]

  • Panel meter digital penuh LCD songsang (inverted LCD) menawarkan fungsi biasa motosikal moden dengan tambahan trip berserta penggunaan bahan api semasa dan purata, dan indikator untuk tongkat sisi, anjakan gear (shift light), dan ABS (Sistem Brek Anti Kunci). [Bagus]

  • Ya, ABS dual-channel (depan dan belakang) didatangkan sebagai standard, antara ciri yang patut dicontohi pengeluar lain yang masih menawarkan motosikal berkuasa tinggi tanpa varian ABS. [Bagus]

  • Bunyi kipas radiator masih senyap berbanding pesaing. Aliran udara panas juga ditambah baik menerusi penggunaan sirip deflektor pada sisi radiator yang berfungsi mengalirkan udara panas jauh dari penunggang. [Bagus]

BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang Perlu Anda Tahu

  • Tiada paparan posisi gear, yang pasti lebih memudahkan penunggang novis dan tiada suis tambahan untuk lampu hazard atau lampu signal jika anda tidak mahu ia menyala sepanjang masa. [Kurang Bagus]
  • Pilihan muatan tambahan terhad. Ruang simpanan bawah pelana belakang cukup untuk menyimpan sarung tangan dan perkakas ringkas (cangkuk helmet disediakan). Pelindung tangki daripada material plastik sepenuhnya, ini bermakna beg tangki magnet tidak boleh digunakan. Jika anda selalu guna jaring cangkuk, bahagian ekor dan pemegang belakang CB250R tiada cangkuk atau komponen khas yang boleh digunakan untuk menyangkut. [Kurang Bagus]
  • Purata penjimatan bahan api yang saya dapat ialah sekitar 25.6km/liter atau 3.9liter/100km. Dengan tangki 10.1 liter, jarak tunggangan ialah sekitar 220km sebelum isian semula. Angka ini sepadan dengan kuasa dihasilkan. Jika anda menunggang lebih santai, memang boleh mencapai purata penggunaan minyak 33km/liter. [Bolehlah...]

KESIMPULAN

Keseluruhannya, saya boleh katakan CB250R ini ialah jentera naked 250cc yang cukup sempurna, mengambil kira setiap nilai ditawarkan.

Ia bukan paling berkuasa dalam kelas, tetapi digabungkan hantaran kuasa yang cekap dan kualiti pengendalian mantap, apa yang anda dapat ialah sebuah motosikal berkuasa tinggi aras mula yang boleh dinikmati sepanjang masa. Selain itu, gaya retro moden sebegini membuatkan ia tampak kekal relevan dan tidak mudah disaingi jentera naked atau sport lain untuk jangka masa lebih lama.

Mengenai harga, benar jentera naked Honda ini boleh diklasifikasikan sebagai 250cc paling mahal dalam kelas. Tetapi RM22,999 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) untuk sebuah motosikal yang saya anggap lengkap serba serbi, reliabel dan kurang meragam (berdasarkan respon pemilik Honda sebelum ini) serta masih enak dipandang sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun lagi, saya rasa ia berbaloi dengan harga yang perlu anda bayar.

SPESIFIKASI

HONDA CB250R

ENJIN: 4-lejang sebaris, silinder tunggal, DOHC, penyejukan cecair
SESARAN: 250cc
GEREK x LEJANG: 76mm x 55mm
KUASA MAKSIMUM: 27.2hp @ 9000rpm
TORK MAKSIMUM: 23.3Nm @ 8000rpm
SAIZ TANGKI MINYAK: 10.1 liter
JENIS KLAC: Klac manual
TRANSMISI: 6-kelajuan
DIMENSI: 2,020mm (panjang) x 805mm (lebar) x 1,050mm (tinggi)
JARAK RODA: 1355mm
TINGGI PELANA: 800mm
JARAK KELEGAAN TANAH:150mm
BERAT: 145kg
SUSPENSI DEPAN: Teleskopik USD
SUSPENSI BELAKANG: Lengan ayun monoshock
SAIZ RODA DEPAN: 110/70 R17
SAIZ RODA BELAKANG: 150/60 R17
BREK DEPAN: Cakera hidraulik ABS
BREK BELAKANG: Cakera hidraulik ABS

GALERI

Related

2.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter

Filed Under: Auto Terkini Tagged With: Boon Siew Honda, Honda CB1000R, honda cb250r, honda cb250r malaysia, honda cb250r review, honda cb250r review malaysia, tunggang uji cb250r

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu
    #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu
  • Bot TLDM Rempuh Bot Pelancong dalam Raptai Demonstrasi LIMA ’25
    Bot TLDM Rempuh Bot Pelancong dalam Raptai Demonstrasi LIMA ’25
  • Polis Tahan Dua Warga Asing Panjat Bumbung Kereta Bergerak di LDP
    Polis Tahan Dua Warga Asing Panjat Bumbung Kereta Bergerak di LDP
  • #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)
    #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)

PANDU UJI

KL ke Belum Resort Cuma 3.9L/100km, Yogeswaran Menang Cabaran Jimat Minyak Haval H6 HEV

GWM Malaysia baru-baru ini menamatkan cabaran jimat minyak Haval H6 … [Baca Lagi...]

#PanduUji: Proton e.MAS 7 Bukan EV Biasa, Ini Masa Depan Automotif Negara!

PROTON e.MAS 7 boleh diibaratkan semacam satu fenomena yang menarik … [Baca Lagi...]

#PanduUji: Kia Sportage 2025 dari Shah Alam ke Janda Baik, Mampu Cabar Pasaran SUV Segmen-C!

SAYA dan rakan media pada 23 Januari lalu dijemput Dinamikjaya Motors … [Baca Lagi...]

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my
🚀 XCII WebDev