
Triumph mendedahkan kemas kini utama Daytona 660 2026 yang tampil lebih tajam, sporti dan segak.
Jentera kelas pertengahan ini menerima penambahbaikan signifikan pada spesifikasi teknikal dan penampilan visual namun tetap mengekalkan gaya reka bentuk teras yang sama.
3 Silinder 95 ps 69Nm

Jentera ini dikuasakan enjin tiga silinder 660 cc Triumph yang memberikan tujahan julat pertengahan yang kuat dan pecutan hujung yang padu.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 95 ps pada 11,250 rpm dan tork setinggi 69Nm pada 8,250 rpm dengan had putaran enjin mencapai 12,650 rpm
Karakter bunyi enjin triple yang unik ini dihasilkan melalui gabungan badan pendikit tiga kali ganda, sistem aruhan yang cekap dan peredam bunyi kompak di bahagian bawah bersama sistem ekzos 3-ke-1.
Sebanyak 80 peratus daripada tork puncak tersedia di sepanjang julat putaran enjin bagi memastikan pacuan linear yang kuat.

Sistem pendikit ride-by-wire memastikan kawalan yang jelas dan responsif dalam keadaan tunggangan dunia sebenar.
Untuk model tahun 2026, setiap pertukaran gear kini lebih lancar dengan ciri Triumph Shift Assist yang dipasang sebagai standard bagi membolehkan anjakan naik dan turun tanpa klac.
Ia dipadankan dengan klac slip and assist yang meringankan beban tuas serta melancarkan sambungan kuasa terutamanya dalam trafik henti-mula atau perjalanan jauh yang laju.
Dinamik Tunggangan dan Teknologi

Casis Daytona 660 menerima peningkatan prestasi yang diilhamkan daripada kejayaan dalam kelas Sportbike CIV di Itali, IDM di Jerman dan Kejohanan Pirelli National Sportbike di UK.
Bahagian hadapan kini dilengkapi fork Showa 41 mm upside down separate function big piston (SFF-BP) yang boleh dilaras untuk redaman mampatan dan lantunan.
Bahagian belakang pula menggunakan unit suspensi Showa dengan pelarasan prabeban.
Teknologi yang disertakan merangkumi tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain yang mengoptimumkan tindak balas pendikit dan kawalan cengkaman.

Sistem instrumen menampilkan paparan warna TFT dengan skrin LCD manakala sistem My Triumph Connectivity tersedia sebagai aksesori untuk fungsi navigasi, muzik dan panggilan.
Sistem lampu LED penuh turut digunakan termasuk lampu hadapan baharu dengan DRL bersepadu.
Bagi aspek keselamatan, brek hadapan menggunakan angkup radial empat piston Triumph dengan cakera berkembar 310 mm dan hos jenis braided.
Sistem ini disokong oleh modulator ABS Continental untuk kawalan brek yang lebih baik.
Reka Bentuk Luaran

Terdapat tiga pilihan skema warna baharu untuk tahun 2026 iaitu Sapphire Black yang menampilkan kemasan hitam pada fairing, rim dan tangki.
Pilihan premium pula merangkumi gabungan Aluminium Silver dan Sapphire Black dengan aksen Diablo Red, serta pilihan warna Cosmic Yellow dan Sapphire Black.
Perincian turut dipertingkat dengan pedal brek aluminium baharu dengan kemasan anodised jernih, sekali gus melengkapkan bahagian kokpit yang kemas dengan susunan kabel tersembunyi.

Reka bentuk badan yang ramping dengan pelana terpisah memastikan keselesaan dengan ketinggian pelana standard 810 mm, manakala aksesori pelana rendah boleh mengurangkannya kepada 785 mm.
Daytona 660 kini menggunakan tayar premium Metzeler M9RR Supersport yang dipadankan dengan rim aluminium tuang lima jejari bersaiz 17 inci.
Kos Pemilikan dan Ketersediaan

Triumph menawarkan kos pemilikan yang kompetitif dengan selang servis setiap 16,000 km atau 12 bulan. Setiap unit disertakan dengan jaminan perbatuan tanpa had selama dua tahun.
Terdapat lebih 30 pilihan aksesori tulen termasuk kit penukaran lesen A2 untuk pasaran Eropah yang mengehadkan kuasa kepada 35 kW.
Model ini akan mula berada di pengedar Triumph UK bermula April 2026 dengan harga jualan bermula dari £8,995 atau kira-kira RM47,034.86.

Spesifikasi Teknikal Triumph Daytona 660
- Enjin: 660 cc tiga silinder sebaris, 12 injap, DOHC, sejukan cecair
- Kuasa Maksimum: 95 ps@11,250 rpm
- Tork Maksimum: 69Nm@8,250 rpm
- Kotak Gear: 6 kelajuan dengan Triumph Shift Assist
- Sistem Bahan Api: Suntikan elektronik berurutan berbilang titik dengan kawalan pendikit elektronik
- Suspensi Hadapan: Fork Showa 41 mm upside down SFF-BP, boleh laras redaman mampatan dan lantunan, jarak 110 mm
- Suspensi Belakang: Monoshock Showa RSU dengan pelarasan prabeban, jarak 130 mm
- Tayar Hadapan: 120/70 ZR 17
- Tayar Belakang: 180/55 ZR 17
- Brek Hadapan: Cakera terapung berkembar 310 mm, kaliper radial 4 piston, ABS
- Brek Belakang: Cakera tetap tunggal 220 mm, kaliper piston tunggal, ABS
- Ketinggian Pelana: 810 mm
- Berat Basah: 201 kg
- Kapasiti Tangki: 14 liter
- Penggunaan Bahan Api: 4.9 l/100 km


















