
PROGRAM keselamatan kereta baharu, Asean NCAP secara rasmi menarik balik rating keselamatan 5-bintang untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-D, Proton X90 selepas model facelift 2026 tidak lagi dilengkapi beberapa teknologi keselamatan penting.
Menurut badan penilaian keselamatan itu, pengurangan spesifikasi melibatkan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) menyebabkan model terbaharu tersebut kini hanya menerima rating keselamatan 1-bintang di bawah protokol Asean NCAP 2021–2025.
X90 Pernah Dapat 5-Bintang Dengan 83.79 Mata
Ketika kali pertama diuji pada 2023, Proton X90 memperoleh 5-bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata, termasuk:
- Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP): 37.75 mata
- Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP): 17.79 mata
- Bantuan Keselamatan (SA): 15.71 mata
- Keselamatan Penunggang Motosikal (MS): 12.50 mata
Rating tersebut diberikan berdasarkan varian yang dilengkapi pakej penuh teknologi ADAS ketika itu.
Banyak Sistem Keselamatan Kini Tiada
Namun selepas meneliti spesifikasi rasmi model facelift 2026, Asean NCAP mendapati beberapa teknologi keselamatan penting digugurkan, seperti:
- Brek Kecemasa Autonomi (AEB)
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Amaran Tukar Lorong (LDW)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Teknologi Titik Buta (BST)
Pengguguran sistem Pengesan Titik Buta (BSD) memberi kesan besar kepada markah kategori MS kerana teknologi tersebut memainkan peranan penting dalam mengesan kehadiran motosikal di kawasan titik buta.
Rating Keseluruhan Terhad 1-Bintang
Di bawah protokol Asean NCAP 2021 – 2025, rating keseluruhan kenderaan boleh dihadkan jika mana-mana kategori mencatat keputusan terlalu rendah.
Dalam kes Proton X90 2026 facelift:
- SA jatuh ke tahap 4-bintang
- MS merosot ke 1-bintang
Kesannya, rating keseluruhan model tersebut kini dihadkan kepada 1-bintang.
Proton X90 2023 – 2025 Masih Kekal 5-Bintang
Bagaimanapun, Asean NCAP menjelaskan rating 5-bintang masih sah untuk Proton X90 keluaran 2023 – 2025, kerana model tersebut disahkan dilengkapi semua teknologi ADAS ketika penilaian dilakukan.
Pengguna juga disaran menyemak spesifikasi keselamatan setiap varian sebelum membuat pembelian untuk bagi memastikan model dipilih memenuhi standard keselamatan yang diharapkan.
MIROS: Keselamatan Jangan Jadi Kompromi
Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jakan Raya Malaysia (MIROS), Profesor Madya Ir Ts Dr Siti Zaharah Ishak berkata, keputusan menarik balik rating dibuat bagi melindungi kepentingan pengguna dan mengekalkan integriti standard keselamatan.
Sementara itu, Ketua Teknikal Asean NCAP, Ts Yahaya Ahmad menegaskan, teknologi seperti BSD memainkan peranan penting dalam keselamatan penunggang motosikal.
Juateru kes Proton X90 itu menunjukkan betapa rating keselamatan boleh berubah jika spesifikasi model diubah selepas penilaian dibuat.
Bagi pengeluar, teknologi keselamatan seperti ADAS bukan sekadar ciri tambahan, tetapi kini menjadi faktor utama dalam menentukan tahap keselamatan sesebuah kenderaan.













