
SAINGAN Toyota GAZOO Racing (TGR) Vios Challenge Musim Ke-9 semakin hangat selepas berakhirnya Pusingan Kedua di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hujung minggu lalu.
Berlangsung dalam cuaca panas di Litar Selatan Sepang, perlumbaan kali ini menyaksikan pelbagai drama, kebangkitan luar biasa, kemunculan pemenang baharu serta cabaran besar buat beberapa pendahulu kejuaraan ketika musim memasuki pertengahan saingan.
Lebih 50 Kereta Meriahkan Perlumbaan

Sebanyak 37 penyertaan bertanding dalam tiga kategori utama iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie.
Turut mencuri tumpuan ialah Classic Challenge yang menghimpunkan 14 jentera dengan 25 pemandu, menjadikan keseluruhan hujung minggu perlumbaan lebih kompetitif dan menarik. Aksi perlumbaan itu turut disaksikan lebih 618,000 penonton menerusi siaran langsung.
Mitchell Cheah Kembali Ke Puncak

Dalam kategori Super Sporting yang menampilkan pemandu profesional dan elit, bekas juara musim 2024, Mitchell Cheah, kembali membuktikan kemampuannya apabila muncul juara Race 1.
Memandu jentera Team Prima Pearl SP Selatan, Mitchell memulakan perlumbaan dari petak ketujuh sebelum melakukan kebangkitan cemerlang untuk menewaskan Nabil Azlan dari Laser Motor Racing yang mendahului hampir keseluruhan perlumbaan.
Bradley Benedict Anthony melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
William Ho Menang Race 2

Race 2 pula menyaksikan keputusan berbeza apabila William Ho dari Toyotsu Racing muncul pemenang selepas aksi pertarungan sengit di kelompok hadapan.
Nabil Azlan sekali lagi menaiki podium di tempat kedua, sekali gus mengumpul dua keputusan podium sepanjang hujung minggu perlumbaan. Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukannya, Ady Rahimy.
Sementara itu, juara bertahan Freddie Ang berdepan hujung minggu yang sukar apabila dikenakan penalti 30 saat dalam Race 1 sebelum sekadar menamatkan Race 2 di kedudukan keenam.
Pemandu Thailand Kuasai Kelas Sporting

Kategori Sporting pula menyaksikan penguasaan pemandu antarabangsa dalam Race 1 apabila Varunchit Wattanathanakun dari Thailand muncul juara.
Beliau mempamerkan aksi dominan selepas mengambil alih kedudukan pendahulu seawal perlumbaan dan terus melebarkan jurang sehingga lebih 11 saat ketika melintasi garisan penamat.
Elson Lew menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala pemandu India, Aditya Patnaik melengkapkan podium.
Adam Mikail Cemerlang Pada Ahad

Race 2 kategori Sporting menyaksikan Adam Mikail dari G-Mart Best Autosport tampil cemerlang untuk meraih kemenangan.
Beliau menamatkan perlumbaan hampir tiga saat di hadapan Justin Toh dari BAE Racing by ES Yang, sementara Taj Aiman dari Saksama Motorsports menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Imran, Ethen Bersinar Dalam Rookie
Kategori Rookie terus menjadi pentas pembangunan bakat muda negara dengan Imran Iskandar meraih kemenangan pertama musim ini dalam Race 1.
Pelumba berusia 17 tahun itu menamatkan perlumbaan di hadapan Ethen Low yang mencipta sejarah tersendiri apabila meraih podium pada penampilan sulungnya dalam siri perlumbaan tersebut. Ngo Yong Jian pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Ethen Low Raih Kemenangan Sulung
Race 2 menjadi milik Ethen Low yang menutup hujung minggu perlumbaan dengan cukup bergaya.
Selepas menamatkan Race 1 di tempat kedua, pelumba muda itu berjaya meraih kemenangan sulung dalam penampilan pertamanya di TGR Vios Challenge.
Ervin Lim menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Imran Iskandar melengkapkan podium.
Drama Besar Dalam Classic Challenge
Kategori Classic Challenge menyajikan antara aksi paling dramatik sepanjang hujung minggu apabila kereta keselamatan terpaksa dikeluarkan sebanyak dua kali dalam Race 1.
Insiden pertama berlaku seawal pusingan kedua apabila jentera Aylezo Motorsport dipandu Harkiesh Geeva terbalik selepas terlibat dalam pelanggaran. Walaupun pemandu tidak mengalami kecederaan, kereta tersebut mengalami kerosakan serius dan gagal kembali beraksi dalam Race 2.
Satu lagi insiden berlaku menjelang penghujung perlumbaan apabila jentera Rock Racing dipandu Nurul Husna terbabas ke penghadang konkrit selepas berlaku sentuhan dengan pesaing lain.
Kegani Racing Menang Race 1
Race 1 kategori Classic Challenge dimenangi pasangan Kegani Racing Academy, Loke Yin Yi dan Kenny Lee. Mereka berjaya menggunakan strategi hentian pit yang tepat untuk menewaskan pasangan adik-beradik Brendan
Paul dan Bradley Benedict Anthony yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Tempat ketiga menjadi milik gandingan Thailand, Mekkaradkeeta Kalantananda dan Varunchit Wattanathanakun.
Bradley, Brendan Balas Dendam Dalam Race 2
Race 2 pula menyaksikan Bradley Benedict Anthony dan Brendan Paul Anthony muncul juara selepas pertarungan sengit sehingga ke garisan penamat.
Pasangan itu berjaya menewaskan Kenny Lee dan Loke Yin Yi dengan kelebihan yang amat tipis, manakala pasangan Thailand dari RUKTeam PMC 52 sekali lagi meraih podium ketiga.
Sepang Jadi Penentu Separuh Kedua Musim
Musim ke-9 TGR Vios Challenge yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM876,000 kini memasuki fasa lebih kritikal apabila kejuaraan semakin terbuka dalam semua kategori.
Pusingan ketiga akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 25 hingga 26 Julai depan, kali ini menggunakan keseluruhan konfigurasi litar sepanjang 5.543 kilometer yang dijangka memberikan cabaran lebih besar kepada semua peserta.
















