
JENAMA motosikal, QJMOTOR Malaysia, menerusi pengedar rasminya Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., mengumumkan pelaksanaan program panggil semula melibatkan penggantian komponen muffler bagi unit terpilih model AX200S.
Merujuk kepada pengumuman terdahulu, proses penggantian kini telah dimulakan selepas bekalan komponen muffler baharu diterima daripada pihak prinsipal.
Isu Keretakan Muffler Dikenal Pasti

Program ini dilaksanakan susulan siasatan kemungkinan berlakunya keretakan pada pemasangan komponen muffler bagi beberapa unit AX200S.
Sebagai langkah proaktif, pihak Mforce telah memperkenalkan rekaan muffler yang telah dipertingkatkan bagi memastikan ketahanan serta prestasi yang lebih baik untuk penggunaan jangka panjang.
Penggantian Percuma Untuk Pemilik

Pemilik motosikal QJMOTOR AX200S yang terlibat disarankan untuk segera menghubungi atau mengunjungi pengedar sah tempat pembelian dibuat bagi mengatur proses penggantian.
Selain itu, pelanggan juga boleh membuat semakan status kenderaan melalui portal rasmi di https://productrecall.mforceservice.my/ . Proses penggantian ini akan dilakukan secara percuma, termasuk kos alat ganti dan upah kerja.
Komitmen Kualiti & Keselamatan

Mforce Bike Holdings menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan kualiti secara berterusan, selaras dengan komitmen untuk memastikan tahap keselamatan, kebolehpercayaan serta kepuasan pelanggan berada pada tahap optimum.
Dalam masa sama, semua unit pengeluaran baharu bagi model AX200S bermula bulan ini telah dilengkapi dengan muffler versi terkini yang telah dipertingkatkan.
QJMOTOR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan dan rangkaian pengedar atas sokongan berterusan serta komitmen dalam memastikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.
Untuk maklumat lanjut, pemilik boleh menghubungi pengedar masing-masing atau melayari portal semakan rasmi yang disediakan.







