PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) rasmi melancarkan model terbaharu dalam barisan Proton e.MAS, Proton e.MAS 7 PHEV 2026, yang juga model elektrifikasi kedua di bawah jenama Proton selepas model hibrid ringan (MHEV), Proton X90.
Berbeza sistem hibrid plug-in (PHEV) konvensional, Proton e.MAS 7 PHEV 2026 dibangunkan sebagai kenderaan berteraskan elektrik (electric-first), dengan pemanduan harian mengutamakan kuasa elektrik, manakala enjin petrol berperanan sebagai sokongan tenaga untuk perjalanan jarak jauh dan kelajuan lebuh raya.
Harga bermula RM109,800 untuk varian Prime, sekali gus menjadi antara model PHEV paling kompetitif dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrifikasi di Malaysia.
PHEV ‘Electric-First’ – Konsep Lebih Logik untuk Malaysia
Dibina berasaskan platform Arkitektur Modular Global (GMA), Proton e.MAS 7 PHEV 2026 direka dengan integrasi komponen lebih ringkas dan efisien.
Enjin petrol tidak sentiasa memacu roda, sebaliknya hanya berfungsi apabila lebih cekap, seperti ketika memandu di lebuh raya atau mendaki cerun panjang.
Menurut Pro-Net, pendekatan itu lebih sejajar corak penggunaan pemandu Malaysia, yang mahukan:
- Pemanduan elektrik senyap untuk kegunaan harian
- Kebebasan jarak jauh tanpa kebimbangan pengecasan
- Kos pemilikan lebih rendah berbanding enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional
Sistem Pacuan EM-i, Transmisi DHT 11-dalam-1
Proton e.MAS 7 PHEV 2026 dijana sistem pacuan EM-i, yang direka untuk memastikan peralihan antara mod elektrik dan hibrid berlaku automatik dan tanpa gangguan.
Ciri utama sistem itu adalah:
- Transmisi hibrid khas Dedicated Hybrid Transmission (DHT) 11-dalam-1
- Tiada pertukaran gear konvensional
- Agihan kuasa pintar antara motor elektrik dan enjin petrol
- Respons pecutan ala EV dengan kelancaran tinggi
Enjin petrol khas hibrid pula ditala untuk kecekapan maksimum, yang beroperasi secara senyap dan hanya aktif apabila diperlukan.
Bateri LFP: Selamat, Tahan dan Sesuai Iklim Tropika
Proton e.MAS 7 PHEV 2026 menggunakan bateri litium-besi-fosfat (LFP) yang terkenal dengan:
- Ketahanan haba tinggi
- Keselamatan lebih baik
- Jangka hayat panjang
Sistem pengurusan tenaga akan memilih sumber kuasa paling efisien secara automatik, yang memastikan penggunaan bahan api kekal rendah walaupun bateri tidak dicas penuh yang menjadikan pengecasan sebagai pilihan, bukan keperluan mutlak.
Ada Tiga Mod Pandu Pintar
Pemandu boleh memilih tiga mod, dengan pertukaran berlaku tanpa campur tangan manual:
- Mod Tulen (Pure Mode): Pemanduan elektrik sepenuhnya, ideal untuk bandar dan ulang-alik harian
- Mod Hibrid (Hybrid Mode): Gabungan pintar elektrik dan petrol, sesuai untuk lebuh raya dan laluan berbukit
- Mod Kuasa (Power Mode): Prestasi maksimum dengan output sistem gabungan, sesuai untuk memotong dan pemanduan agresif
Ujian Dunia Sebenar: Lebih 1,200km Tanpa Cas, Isi Minyak
Sebelum pelancaran, Proton e.MAS 7 PHEV 2026 melengkapkan perjalanan 1,104.5km dari Pulau Pinang dan Johor Bahru ke Subang Jaya tanpa sebarang pengisian minyak atau pengecasan tambahan.
Menariknya, ujian itu disiarkan secara langsung selama 25 jam, yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan kenderaan masih mencatat baki jarak 189km, sekali gus membuktikan potensi jarak pemanduan melebihi 1,200km.
Kos Pemilikan Lebih Rendah Berbanding ICE
Pro-Net menganggarkan:
- Kos bahan api dan penyelenggaraan 10 tahun: ~RM29,200
- SUV petrol setara: ~RM49,800
- Kos servis keseluruhan: Bawah RM8,000 dalam 10 tahun
- Selang servis seperti kenderaan elektrik (EV): Setahun atau setiap 15,000km
Rekabentuk Berbeza, Kabin Lebih Premium
Berbanding model EV Proton e.MAS 7, versi PHEV tampil dengan identiti tersendiri seperti:
- Bar LED depan penuh dan lampu belakang LED tiga dimensi (3D)
- Rim aloi 19 inci
- Bumbung suria panoramik
- Rekabentuk aerodinamik untuk kesenyapan lebuh raya
Dalaman pula menampilkan:
- Tema hitam atau putih
- Pencahayaan ambien 256 warna
- Stereng dua jejari unik
- Kerusi kulit sintetik (leatherette) ergonomik
- Sistem audio premium dengan 16 pembesar suara
Varian, Harga Proton e.MAS 7 PHEV 2026
Harga OTR Tanpa Insurans:
| Varian | Semenanjung | Sabah & Sarawak |
|---|---|---|
| Prime | RM109,800 | RM112,800 |
| Premium | RM123,800 | RM126,800 |
| Premium Plus | RM129,800 | RM132,800 |
Harga Promosi (5,000 pembeli terawal – rebat RM4,000):
- Prime – dari RM105,800
- Premium dan Premium Plus turut menikmati manfaat pelancaran terpilih
Waranti, Pakej Pemilikan
- Waranti kenderaan enam [6] tahun, perbatuan tanpa had
- Waranti bateri voltan tinggi lapan [8] tahun atau 160,000km
- Pek khas Five Power Packs bernilai hingga RM7,500
(pengecas rumah, data internet, tukar beli (trade-in), pelupusan kenderaan lama dan insurans khas)
Bukan Sekadar EV dengan Enjin
Proton e.MAS 7 PHEV 2026 bukan sekadar ‘EV dengan enjin’, tetapi jawapan realistik untuk peralihan elektrifikasi Malaysia yang senyap dan jimat untuk harian, serta masih bebas untuk perjalanan jauh.





























































































































