PASARAN automotif kini menyaksikan kebangkitan semula trend kenderaan utiliti sukan (SUV) berkotak dengan gaya lasak yang semakin mendapat tempat di hati pengguna.
Rekabentuk yang menonjolkan imej utilitarian itu dipopularkan kembali jenama automotif dari China seperti BYD, GWM, Haval, Chery dan iCar.
Gaya sebegitu sebenarnya mengulangi trend klasik yang pernah dibawa model ikonik dari Britain, Amerika, dan Jepun.
Terbaharu, Hyundai mempemarkan SUV konsep Hyundai Boulder Concept 2026 di Pameran Auto Antarabangsa New York (NYIAS) 2026 sebagai model yang menggariskan hala tuju baharu jenama itu dalam segmen kenderaan lasak.
Berada di Amerika Syarikat (AS) dan berdasarkan gaya dibawa, Boulder Concept seperti mahu menyaingi Ford Bronco dan Jeep Wrangler.
Hyundai Boulder Concept 2026 – Pratonton SUV Menjelang 2030
Hyundai Boulder Concept 2026 membuat debut global di NYIAS 2026 pada 1 April 2026.
Walaupun tampil dalam gaya jip penumpang, Boulder Concept sebenarnya kajian rekabentuk dalam bentuk SUV yang berfungsi sebagai pratonton awal kepada seni bina badan-atas-frem (body-on-frame) pertama Hyundai untuk pasaran AS.
Platform baharu itu disahkan bakal menjadi asas kepada pengeluaran trak pikap saiz sederhana yang dijangka tiba di pasaran menjelang 2030.
Langkah itu menandakan penyertaan Hyundai dalam segmen yang belum pernah diceburi sebelum ini. Trak pikap Hyundai Santa Cruz di pasaran sekarang menggunakan binaan badan tunggal (uni-body).
Struktur frem tanggan (ladder-frame) pada model konsep itu sememangnya menjadi pilihan utama pengguna di AS yang mementingkan keupayaan off-road yang serius dan kemampuan tunda serta muatan tinggi.
Sebelum tampil dengan Boulder, Hyundai terlebih dahulu mempamerkan Crater Concept di Los Angeles pada 2025 (foto atas).
Falsafah Rekabentuk ‘Art of Steel’
Penampilan luar Hyundai Boulder Concept 2026 menterjemahkan falsafah rekabentuk ‘Art of Steel’ yang diilhamkan daripada teknologi keluli canggih Hyundai Steel.
Bahasa rekabentuk itu menukarkan kekuatan keluli kepada bentuk arca yang berfungsi dengan lengkok badan lancar dan garisan tepat.
Keseluruhan badan SUV itu disaluti kemasan warna Liquid Titanium (perak). Rekabentuk luarann menampilkan siluet jenis dua kotak tegak dengan struktur bumbung dan tingkap tinggi.
Itu bukan saja memberikan jarak penglihatan cemerlang, tetapi menyerlahkan badan kenderaan yang lebih dominan atas jalan.
Antara ciri unik ditampilkan ialah tingkap atas gaya safari jenis tetap untuk pencahayaan kabin lebih baik dan pintu gaya coach yang memudahkan penumpang keluar masuk serta memuatkan barang pada barisan pertama dan kedua tempat duduk.
Keupayaan Off-Road, Utiliti Luaran
Hyundai Boulder Concept 2026 dibina untuk pengembaraan ekstrem menerusi jarak tinggi bumi tinggi, dengan tayar lumpur (mud-terrain) 37 inci (37 x 12.50R 18LT), membabitkan tayar ganti saiz penuh yang dipasang pada pintu but belakang.
Rekabentuk itu turut memberikan sudut depan, sudut belakang dan lepasan tengah agresif bagi meningkatkan kelincahan ketika meredah laluan off-road.
Jika terdapat aliran air atau sungai kecil yang menghalang laluan, ciri kedalaman mengharung air tinggi membolehkan Boulder terus bergerak dengan selamat.
Ketika malam, elemen seperti cangkuk tunda dan hendal pintu dengan material reflektor cahaya memudahkan pengecaman dari jauh. Bahagian bumbung pula dipasang rak profil rendah untuk kargo tambahan.
Ciri paling versatil bahagian belakang ialah pintu belakang dua sisi dengan engsel kembar boleh buka dari pelbagai arah.
Selain itu, tingkap belakang kuasa pada pintu belakang boleh diturunkan untuk membawa barangan panjang selain memberikan aliran ventilasi ketika kenderaan sedang bergerak.
Ruang Dalaman, Teknologi Lapangan

Bahagian dalaman menggunakan bahan tahan lasak untuk kawasan yang sering disentuh seperti pemaut dan bahagian yang mempunyai kadar haus tinggi.
Tumpuan diberikan kepada aspek ergonomik, yang mana kawalan utama menggunakan tombol dan butang fizikal mudah capai walaupun ketika memandu atas permukaan jalan tidak rata.
Kabin juga bersifat boleh laras bagi menyokong pelbagai aktiviti dengan meja lipat unik untuk kegunaan menjamu selera atau sebagai ruang kerja ketika di lapangan.

Bagi membantu pemandu ketika aktiviti lasak, sistem panduan off-road masa nyata berasaskan perisian turut disediakan yang berfungsi sebagai pembantu digital (digitals potter).
Hyundai Boulder Concept 2026 juga direka sebagai kanvas kosong bagi memudahkan penambahan pelbagai aksesori mengikut cita rasa pemilik.
Strategi Pembangunan, Pengeluaran

Pihak pengurusan tertinggi Hyundai mengesahkan projek body-on-frame itu adalah sebahagian rancangan besar memperkenalkan 36 model baharu di Amerika Utara menjelang 2030.
Pengeluar dari Korea itu turut menetapkan garis panduan ketat bagi memastikan model itu memenuhi keperluan khusus pasaran tersebut.

Trak pikap saiz sederhana yang bakal menyusul daripada model konsep itu akan direka pasukan Hyundai Design North America (HDNA) di AS yang berpangkalan di California Selatan.
Model itu akan dibangunkan dan dibina menggunakan keluli AS yang dihasilkan sendiri Hyundai untuk ketahanan dan kualiti selari jangkaan pelanggan tempatan.

Ringkasan, Spesifikasi Hyundai Boulder Concept 2026
- Jenis: SUV konsep dan pratonton trak pikap saiz sederhana
- Struktur: Rekabentuk kotak sepenuhnya, body-on-frame, frem tangga
- Bahasa Rekabentuk: Art of Steel
- Tayar: 37×12.50R18 LT mud-terrain 37 inci
- Saiz Rim: 18 inci
- Ciri Pintu: Jenis coach dan pintu belakang dua sisi dengan engsel kembar
- Warna Luaran: Liquid Titanium (perak)
- Ciri Luaran: Rak bumbung keluli, tingkap safari, dan tingkap belakang kuasa
- Ciri Keselamatan Luaran: Bahan reflektor cahaya pada cangkuk tunda dan hendal pintu
- Teknologi: Sistem panduan off-road masa nyata (digital spotter)
- Sasaran Pengeluaran: Menjelang 2030
- Asal Pembangunan: Direka, dibangunkan dan dibina di AS menggunakan keluli Hyundai USA



































