MUGEN memperkenalkan pelbagai komponen dan aksesori khas untuk Honda ZR-V 2026 yang diperkenalkan pada akhir Mac lalu.
Pengumuman itu dibuat selepas Honda Motor Co Ltd memperkenalkan Honda ZR-V 2026 versi dipertingkat (facelift) yang sudah mula menemui pengguna di Jepun pada 27 Mac lalu.
Aksesori MUGEN itu dibangunkan berasaskan konsep Emotional Urban Sports bagi menyerlahkan lagi identiti sporty tipikal MUGEN, dengan fokus utama diberikan kepada aspek penggayaan dan prestasi pemanduan bagi memenuhi gaya hidup pelanggan yang aktif.
Kemasan Luaran CROSS TOURING
Bahagian luaran, MUGEN memperkenalkan spoiler bawah depan baharu dengan rekabentuk lebih berani bagi menonjolkan imej kenderaan utiliti sukan (SUV) lasak, Honda ZR-V CROSS TOURING yang baru diperkenalkan.
Honda ZR-V CROSS TOURING ialah model edisi khas baharu yang menumpukan kepada gaya hidup aktif dan aktiviti off-road.
Selain itu, spoiler sisi dan spoiler bawah belakang kini hadir dalam pilihan warna hitam kusam yang memberikan imej lebih lasak.
Walaupun terdapat pengenalan komponen baharu, pelbagai kit aero sedia ada untuk varian X, Z, dan Black Style masih lagi ditawarkan kepada pelanggan.
Komponen Prestasi, Pengendalian
MUGEN turut menambah produk prestasi menerusi pengenalan rim aluminium CU20 19 inci dengan rekabentuk jejaring pentagon (pentagonal mesh) menerusi corak geometri yang digabungkan bersama warna logam meriam (gunmetal) bagi memberikan penampilan lebih mantap.
Selain itu, sistem ekzos sport yang menawarkan rekabentuk menarik dan deruman mengujakan terus dikekalkan dalam senarai pilihan.
Bagi meningkatkan aspek kestabilan pengendalian, MUGEN turut menawarkan damper prestasi yang berfungsi untuk menyerap getaran kecil pada badan kenderaan.
Trenkuasa ZR-V e:HEV
Sebagai makluman, Honda ZR-V 2026 di pasaran Jepun kini hadir eksklusif dalam nadi hibrid dan tidak lagi menawarkan pilihan enjin 1.5L Turbo.
- Tersedia dalam pilihan pacuan roda depan (FF) atau pacuan empat roda (4WD)
- Enjin petrol 4-silinder sebaris 2.0L DOHC kitaran Atkinson suntikan terus LFC berkuasa 141ps, dan tork 182Nm
- Motor elektrik 135kW (184ps), dan tork 315Nm
- Harga bermula 3.7 juta yen (RM93,425) sehingga 4.7 juta yen (RM118,675)
Aksesori MUGEN untuk Honda ZR-V 2026
Berikut aksesori diwarkan MUGEN untuk Honda ZR-V 2026:
- Spoiler bawah depan (front under spoiler), kod 71110-XNTB-K0S0-ZB – 110,000 yen (RM2,780)
- Spoiler sisi (side spoiler), kod 70219-XNT-K0S0-ZB – 104,500 yen (RM2,640)
- Spoiler bawah belakang (rear under spoiler), kod 84111-XNT-K0S0-ZB – 88,000 yen (RM2,220)
- Rim aluminium CU20 19 inci, kod 42700-XNTB-985G-50 – 71,500 yen (RM1,810) setiap unit
- Aksesori utiliti lain tersedia ialah tingkap ventilasi, karpet sport, sil pintu, dan cermin LED hidrofilik














