
KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) sedang meneliti cadangan mewajibkan pemandu tertentu, khususnya mereka yang mempunyai rekod kesalahan serius atau lesen digantung, mengikuti kursus pemanduan defensif sebagai langkah memperkukuh keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan baharu itu selari usaha menambah baik kurikulum latihan pemanduan sedia ada, dengan memberi tumpuan kepada kemahiran sebenar di jalan raya dan teknik mengelak kemalangan, berbanding sekadar lulus ujian lesen.
Fokus Kemahiran Pemanduan Berhemah
Loke berkata, kursus pemanduan defensif dilihat sebagai kaedah berkesan membentuk semula sikap dan tingkah laku pemandu berisiko.
Ini satu pendekatan baharu yang kita mahu bawa, sama ada mewajibkan atau menggalakkan pemandu yang pernah dikenakan tindakan seperti lesen digantung supaya kembali mengikuti kursus pemanduan defensif atau latihan memandu secara lebih berhemah dan selamat,” katanya.
Intervensi Lebih Bersasar kepada Pelajar Sekolah
Dalam perkembangan berkaitan, Loke memaklumkan, MOT dan Kementerian Pendidikan sudah bersetuju melaksanakan intervensi lebih bersasar terhadap pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah.
Keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang berlangsung 20 Januari lalu.
Menurut beliau, Program MyLESEN B2, yang sebelum ini menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 secara umum, akan disasarkan kepada pelajar sekolah menengah, bagi memastikan mereka mendapat latihan menunggang secara formal dan berstruktur.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kemalangan akibat kurang pengalaman dan latihan dalam kalangan penunggang muda.
Helmet, Zon Sekolah Selamat
Selain itu, MOT turut menyusun semula program pertukaran helmet percuma, dengan memberi fokus kepada pelajar sekolah yang menunggang motosikal.
MOT juga melaksanakan inisiatif Zon Sekolah Selamat, yang menyokong dasar had laju 30kmj di kawasan sekolah melalui:
- Penambahbaikan papan tanda had laju
- Pelapor jalan raya
- Rekabentuk jalan yang memperlahankan kelajuan kenderaan di depan sekolah
Penunggang Motosikal Catat Peratus Kematian Tertinggi
Loke berkata, penunggang motosikal mencatatkan 66.4 peratus daripada jumlah mangsa kemalangan maut tahun lalu, dengan kumpulan umur 16 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai mangsa utama.
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan, antara faktor utama kemalangan jalan raya, terutama melibatkan motosikal, adalah:
- Tingkah laku berisiko
- Interaksi trafik bercampur antara kenderaan berat dan motosikal
- Kekurangan kemahiran menunggang secara selamat
- Tahap kesedaran keselamatan rendah
Beliau menjawab soalan asal Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai punca utama peningkatan kemalangan jalan raya dan langkah Kerajaan bagi menanganinya.
SUMBER: BeritaHarian









