KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap membawa barangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bertujuan memberi penjelasan kepada orang awam, pemilik kenderaan dan pemain industri mengenai penggunaan kenderaan berkenaan secara sah dan selamat.
Menurut Loke, garis panduan tersebut juga bertujuan mengelakkan kekeliruan selain memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan agensi berkaitan secara lebih konsisten.
Berkuat Kuasa 1 April
Loke berkata, menerusi garis panduan itu, kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500kg dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled.
Ini bermakna pemilik atau syarikat boleh menggunakan kenderaan tersebut untuk membawa barangan milik sendiri yang berkaitan aktiviti perniagaan tanpa perlu mendapatkan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Garis panduan baharu itu akan berkuat kuasa bermula 1 April, sekali gus memberi tempoh kepada pemilik kenderaan dan syarikat menyesuaikan operasi masing-masing.
Trak Pikap Persendirian Turut Dibenarkan
Garis panduan tersebut turut menjelaskan, kenderaan pikap persendirian dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi muatan diangkut secara selamat dan tidak melebihi had ditetapkan.
Selain itu, Kerajaan turut mengekalkan kelonggaran pentadbiran kepada pemegang Lesen Memandu Kelas D untuk memandu kenderaan de-controlled dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) sehingga 4,000kg, walaupun had asal lesen berkenaan adalah 3,500kg.
Kelonggaran itu mengambil kira pertambahan berat akibat pemasangan badan kargo atau struktur tambahan pada kenderaan.
Pengangkutan Komersial Masih Perlu Permit
Bagaimanapun, Loke menegaskan, penggunaan kenderaan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewa atau upah masih tertakluk peraturan sedia ada.
Dalam situasi tersebut, pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Menurut beliau, garis panduan baharu itu diharap dapat memudahkan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan mengelak penyalahgunaan kenderaan bagi tujuan komersial tanpa permit.
SUMBER: SinarHarian













